Bab 33
Ifran duduk kembali diatas sofa sambil melepaskan keluhan
kecil. Langsung televisyen yang terpasang tidak berjaya menarik minat hatinya.
Pemikirannya kini lebih tertumpu pada bait-bait jawapan yang diterima daripada
Umairah seketika tadi.
‘apa yang aku harapkan sebenarnya? Aku harap dia marah
kerana cemburu ke?’ soal Ifran didalam hati kecilnya. Jawapan yang diperolehi
daripada Umairah sebentar tadi sedikit sebanyak membuatkan jiwanya terkilan.
Dia kecewa!
‘sudahlah Ifran... kau tak payahlah nak taruh harapan
sangat dengan Mai tu. dia dah sah-sah tak cintakan kau. dia kahwin dengan kau
pun kerana Atikah. tak payahlah berangan nak dengar ayat I Love You dari mulut
dia tu.’ hasut satu suara dalam pelipat hatinya. Ifran mengangguk-anggukkan
kepalanya. Setuju seratus peratus dengan pendapat bernas dalam jiwanya itu.
‘yang kau berharap sangat nak dengar ayat keramat macam
tu dari mulut dia apasal? Kau pun cintakan dia ke?’ sergah suara lain pula. Ifran
menggeleng-gelengkan kepalanya. Yang ini dia tidak setuju. Bukankah sudah lama
dia kuburkan perasaannya pada Umairah? Bukankah cintanya kini hanya pada
Atikah?
‘tak payah nak geleng-gelengkan kepala sangatlah. Kalau
dah cinta tu mengaku je la. Jangan nak ego sangat, nanti melepas macam
dulu-dulu baru kau tahu. Alang-alang dia tu isteri kau, apa kata kau pikat
balik hati dia. Jadikan dia isteri kau yang sebenar. Bukan isteri atas kertas
jer.’
‘Hoi... pandai-pandai jer kau ajar Ifran pikat bini dia
tu... dah tu Atikah nak baling dekat mana? Dalam tong sampah?’ dua suara hati
bergaduh sesama sendiri buat perasaan Ifran kian gelisah. Entah mana satu yang
dia perlu ikut.
‘Atikah tu kisah lama la bro... buat apa dikenang kisah
lama yang dah jadi sejarah tu.’
‘lama tak lama yang pasti diorang berpisah pasal Umairah!
Dalam hal ni Umairah yang bersalah.’ Bentak satu suara lagi. Cuba melawan pendapat
bernas suara yang lain. Ifran pegang kepalanya yang terasa berdenyut-denyut.
Boleh putus wayar otaknya kalau memikirkan perihal Umairah. Ahh... ada baiknya
mengadap kerja daripada melayan perasaannnya berbicara. Ada juga manfaatnya!
Setelah hampir 4 bulan menetap di Seremban bersama
suaminya, baru hari ini Umairah sempat meluangkan masa dengan teman rapatnya
semasa di Universiti dahulu. Wajah Zizie yang kelihatan semakin cantik berseri
itu dipandang dengan senyuman memekar dibibir. Gadis itu kelihatan sedang
tersengih mesra kepadanya.
“ Assalamualaikum... kau apa khabar Mai. Sihat?” soal
Zizie setelah selesai bersalam-salaman dengan Umairah. Wajah temannya yang
kelihatan makin berisi itu dipandang lama.
“ Alhamdullilah... kau Zizie sihat? Lama dah kita jumpa.
Rindu benar aku dekat kau.” Balas Umairah berbasa basi. Minuman yang sudah siap
dipesan oleh Zizie disedut untuk melegakan dahaga.
“aku sihat Mai... kau tu la dah lama menetap dekat
Seremban baru hari ni datang cari aku. Kau sekarang tinggal dengan If ke?” soal
Zizie sedikit sebanyak mahu mengorek rahsia. Teringin juga dia mendengar kisah
perkahwinan sahabatnya yang sorang ini. kalau tidak silap, semasa mereka masih belajar
dahulu ikatan perkahwinan Umairah dah Ifran hampir terlerai. Tetapi untuk masa
sekarang dia tidak tahu pula bagaimana, apa yang dia tahu Umairah sudah pun
tinggal bersama suaminya hampir 4 bulan lamanya. Bukankah itu petanda bahawa
hubungan antara Ifran dan Umairah sudah pulih sepenuhnya?
“ a’ah... aku tinggal dengan dia sekarang.” Akur Umairah
perlahan. Dari reaksi wajah Zizie, Umairah yakin gadis itu cukup tertanya-tanya
tentang situasi rumahtangganya yang terkini.
“ kau dengan dia dah okey ke? Dah boleh terima antara
satu sama lain?” Umairah diam sejenak mendengar persoalan daripada Zizie,
berbolak-balik dalam hatinya memikirkan jawapan yang sesuai untuk temannya ini.
perlukah dia cerita semuanya kepada Zizie tentang keadaan rumah tangganya?
Umairah merengus perlahan, dia sedar kadangkala teman baik amat diperlukan
untuk menghilangkan rasa resah gelisah dalam sanubarinya.
“hai mengeluh panjang macam ni... tak okey lagilah tu
agaknya korang berdua ni.” Zizie buat serkap jarang apabila melihat rona wajah
berserabut Umairah. Dari air muka wanita itu dia dapat membaca bahawa hubungan
Umairah dan Ifran belum pulih sepenuhnya.
“entahlah Zie... aku pun dah tak faham apa yang berlaku
dalam rumah tangga aku sekarang. Nak kata bahagia, memang tak la. If masih lagi
sayangkan Tikah dan aku rasa diorang masih lagi bersama. Nak kata menderita pun
tak jugak... kami dah boleh berbual dan bercakap dengan baik sekarang. Jarang
dah gaduh-gaduh macam mula-mula kahwin dulu.” Jelas Umairah akhirnya. Dia
berkeputusan untuk menceritakan kepada Zizie masalah rumahtangganya ini
memandangkan dengan cara ini sahaja mampu menghilangkan sedikit tekanan
perasaan yang dihadapi saat ini. kalau ikutkan hatinya, dia nak sangat bercerai
dengan Ifran meski pun cintanya ada pada lelaki itu, namun dia tidak boleh buat
begitu. Dia sudah berjanji dengan diri sendiri untuk menyerahkan hal cerai itu
kepada Ifran. Dia mahu Ifran membalas dendam sepuasnya terhadap dirinya atas
kesalahan yang sudah dilakukan pada bekas kawan baiknya itu. sekurang-kurangnya,
dengan cara itu hilang sedikit rasa bersalah yang menjerut dilehernya selama
ini.
“ pulak dah... jadi korang dah boleh berkawan balik macam
dululah? Dah alang-alang berbaik tu kenapa korang tak selamatkan sekali
perkahwinan korang berdua? Sampai bila nak hidup macam orang asing sedangkan
korang dah boleh terima antara satu sama lain?” Luah Zizie kurang mengerti. Kadang-kadang
pelik juga dia melihat hubungan Ifran dan Umairah, konon tidak cinta antara
satu sama lain namun tetap berjaya menjaga perkahwinan mereka hampir 2 tahun
lamanya. Orang lain yang berkahwin atas dasar cinta pon boleh bercerai dalam
tempoh tiga bulan perkahwinan tapi lain pulak ceritanya Ifran dan Umairah.
Entah apa yang mereka mencari dalam perkahwinan pun Zizie tidak mengerti, apa
yang pasti dia tahu Umairah berkahwin dengan Ifran atas alasan tertentu dan
bukanlah kerana cinta.
“ tak mudah nak buat semua tu Zie... Ifran masih
sayangkan Tikah dan hubungan diorang masih utuh macam dulu. Macam mana aku nak
selamat perkahwinan kami kalau hati dia pon tak ada pada aku? Actually aku dan
dia ni memang tak akan lama. Aku hanya tunggu dia ceraikan aku, itu jer.” Jelas
Umairah agar Zizie lebih mengerti masalah rumah tangganya saat ini. namun jauh
disudut hatinya cukup perit memikirkan dirinya bakal diceraikan oleh Ifran tak
lama lagi. dia sayangkan Ifran, memang perasaan itu sudah tidak boleh disangkal
lagi. Zizie mengeluh kecil, tergeleng-geleng kepalanya mengenangkan nasib
Umairah. Namun salah Umairah juga yang sanggup pertaruhkan kebahagian sendiri
demi niat tertentu. Dia harap sangat dengan apa yang sudah terjadi saat ini mampu
memberi pengajaran yang baik buat temannya ini.
“ maafkan aku Mai kalau soalan aku ni mungkin akan buat
kau kecil hati... tapi aku nak tanya jugak. Sebenarnya, kenapa kau tergamak
pisahkan Tikah dan Ifran dan akhirnya berkahwin dengan Ifran sedangkan kau tak
cintakan dia. Ifran pulak cintakan Tikah. Apa yang kau nak buat sebenarnya
dengan perkahwinan korang ni?” setelah berdiam untuk beberapa detik, Zizie
kemudiannya mengeluarkan persoalan yang sudah lama berlegar dimindanya. Dari
dulu hingga sekarang dia belum temui jawapan bagi segala tindakan drastik
Umairah kira-kira 2 tahun yang lalu. Seingatnya dulu, Umairah adalah kawan baik
kepada Ifran dan Atikah dan dia sangat tidak sangka Umairah sanggup menikam
kawan baiknya sendiri. Tetapi dia yakin, semua ini bersebab. Umairah yang
dikenali bukan orang yang suka menyakiti hati orang lain. Pasti segala
perbuatan wanita itu ada tujuannya. Umairah pandang wajah Zizie yang penuh
tanda tanya lama. Sedikit sebanyak persoalan Zizie membuatkan dia teringatkan
kenangan lalu, kenangan yang membuatkan dia bertekad untuk sakitkan hati
Atikah!
“ kau tahukan hubungan sebenar antara aku dan Tikah?”
soal Umairah sebagai jawapan kepada pertanyaan daripada Zizie. Wajah Zizie yang
kelihatan berkerut itu mengangguk kepala laju.
“ yup! Dia kakak tiri kau kan... adakah kau buat semua ni
sebab dia kakak tiri kau? Kau nak sakitkan hati dia sebab masuk dalam keluarga
kau? Macam tu?” bertubi-tubi soalan muncul daripada mulut Zizie. Semua ini
andaian yang sudah lama dibuat sebelum ini. namun dia yakin, mustahil dengan
hanya alasan kecil sebegitu membuatkan Umairah tekad merampas Ifran daripada
Atikah. apa salah yang Atikah sudah lakukan dengan menjadi kakak tiri Umairah?
Umairah angguk kepala perlahan. Mengiakan segala tekaan rambang Zizie.
“ Mai... kenapa kau mesti sakitkan hati Tikah sedangkan
apa yang berlaku bukan salah dia? Yang kahwin dengan ayah kau ialah mak Atikah.
yang merampas abah kau dari ibu kau adalah mak Atikah. bukan Atikah! kenapa kau
mesti kenakan Tikah sedangkan dia langsung tak buat salah apa-apa pada kau?”
“ Zie... semua tu tak semudah yang kau cakap... memanglah
semua tu kerja mak tiri aku tapi siapa yang menyokong perbuatan dia? Tikah kan?
Kau tahu tak apa yang terjadi pada ibu aku bila dapat tahu ayah aku nak kahwin
lain? Ibu aku jatuh sakit, demam sampai berminggu-minggu sebab kecewa dengan
ayah aku. Aku pernah nampak ibu aku menangis masa berdoa dimalam perkahwinan
ayah aku. Bertapa sakitnya hati aku tengok ibu aku dibuat macam tu oleh ayah
aku dan Tikah sekeluarga. Tapi diorang tenang siap bergembira lagi. langsung
tak sensitif apa yang berlaku atas ibu aku. Diorang langsung tak minta maaf
dengan apa yang berlaku. Apa yang diorang fikir kebahagian keluarga diorang
jer. Perasaan ibu aku langsung diorang tak ambil peduli. Bukan tu jer... ayah
aku, lepas kahwin dengan mak tiri aku tak habis-habis manjakan Tikah. Semua
yang Tikah buat betul, semua yang Tikah cakap betul, apa yang Tikah nak dibagi
tanpa pertikaian apa-apa. Siap selalu banding-bandingkan aku dengan Tikah lagi,
kononnya Tikah bagus aku ni tak berapa nak bagus. Kau ingat senang ke aku nak
terima semua tu. Padahal ayah tu ayah kandung aku, tapi selalu lebih-lebihkan
Tikah daripada aku. Sampaikan satu kejadian tu aku dan Tikah keluar pergi kedai
naik motor dan berlaku kemalangan kecil. Kau tahu apa yang berlaku lepas tu?
Ayah marah-marah aku, tengking-tengking aku sebab memandai bawa Tikah keluar
sampai anak tiri kesayangan dia tu luka-luka. Padahal masa tu aku yang paling
teruk cedera. Ayah tak tanya langsung aku okey ke tidak luka aku, nak harap
tolong bersihkan luka aku jauh sekali. Kalau bukan kerana anak tirinya
kesayangannya yang merengek ajak aku keluar memang tak la aku bawak motor tu. Tikah
tu pulak tak ada pon nak cakap dekat ayah aku yang dia paksa aku bawa motor tu,
bila ayah aku mengamuk dia diam jer, macam semua tu betul-betul salah aku. Aku
sedih, aku kecewa sangat... selepas Tikah masuk keluarga aku, keluarga aku dah
tak bahagia macam dulu dah. Kasih sayang ayah dah berkurang pada kami. Ayah selalu
lebihkan keluarga Tikah. Tak adil! Kau boleh bayang tak perasaan aku masa tu
macam mana?” luah Umairah panjang lebar. Air matanya laju membasahi pipi
mengenangkan kenangan pahit yang dilalui hampir 3 tahun yang lalu. Selama ini
dia tidak pernah cerita kepada sesiapa pon memori yang menyakitkan hati itu.
namun kali ini dia sudah tidak dapat bertahan lagi, dia perlukan peneman untuk
luahkan segala rasa perit dan geram yang merantai hatinya. Mengingatkan semua
tragedi itu buat perasaan benci dan dendamnya semakin melimpah ruah terhadap
Atikah. Semuanya salah Atikah! dia dan maknya memang dasar perampas. Tak cukup
Atikah rampas Ifran darinya suatu ketika dahulu, kini emaknya pula rampas
ayahnya dari ibu. Bukan itu sahaja, Atikah juga berjaya merampas kasih sayang
ayahnya darinya. Manalah dia tak sakit hati. Zizie gamam sejenak mendengar
cerita yang dibawa oleh Umairah. Terdetik rasa simpati pada Umairah dengan apa
yang menimpa wanita itu. perlahan-lahan Zizie menggosok lembut belakang badan
temannya untuk memujuk hati wanita itu. sungguh dia tidak sangka selama ini
banyak yang ditanggung oleh Umairah tanpa pengetahuan orang lain.
“ sabar Mai... mungkin ayah kau tak terniat pun nak layan
kau, mak kau macam tu. Iyer la manusia, kadang-kadang terlepas pandang banyak
perkara. Tapi kau patut sedar, semua yang berlaku tu bukan salah Tikah. Dia tak
minta pon untuk buat semua tu pada kau. Aku yakin, dia pon mesti rasa bersalah
dengan apa yang menimpa kau. Kau dah berkawan lama dengan Tikah, mesti kau
lebih arif tentang sikap dia daripada aku.” Pujuk Zizie lembut. Dia tahu
bercakap lebih mudah berbanding melaluinya namun dia percaya semua yang berlaku
mungkin hanya kerana salah faham.
“ entah la Zie... aku tak tahu nak cakap apa tapi aku
memang dah hilang kepercayaan pada Tikah. Sekali dia tikam aku dari belakang,
aku masih boleh terima lagi tapi bila melibatkan keluarga aku... tak mudah aku
nak maafkan dia dan mak dia. Aku benci dia sebab dia dan mak dia dah sakitkan
hati ibu aku, dah rampas kebahagiaan keluarga aku. Memang patut aku rampas
Ifran daripada dia, biar dia rasa macam mana sakitnya hati apabila orang
disayang dirampas.” Tutur Umairah dengan perasaan dendam yang masih berbaur.
Zizie merengus perlahan, dia sedar tak mudah untuk menyedarkan Umairah yang
jelas sudah patah hati dengan Atikah. atau sebenarnya masih ada cerita lain
yang dia tidak tahu dirahsiakan oleh Umairah.
“ tapi lepas kau rampas Ifran pon apa yang kau dapat Mai?
Kau dapat sakit hati jer kan... Tikah dan Ifran tak pernah berpisah, yang
menderitanya kau sorang.” Sela Zizie buat Umairah tersentap. Ye, dia sedar apa
yang dibuat suatu ketika dahulu hanyalah kerja gila yang langsung tidak
mendatangkan untung padanya. dia tahu semua itu, tak perlu Zizie ingatkan
padanya kenyataan yang dia sudah tahu. Umairah diam, sedikit berkecil hati
dengan kata-kata pedas Zizie meski pun itulah kenyataannya.
“ aku cakap macam tu bukan sebab nak sakitkan hati kau
Mai... Cuma aku nak kau sedar yang berdendam bukanlah satu cara yang terbaik
untuk selesaikan masalah. Kau tengok jer la sekarang ni macam mana, elok-elok
hidup kau tak ada masalah sekarang tambah masalah baru.” Sambung Zizie sambil
menggenggam lembut jemari Umairah. Riak keruh diwajah Umairah berubah
perlahan-lahan. Wanita itu angkat wajah lalu memanahkan pandangan kearah Zizie
yang merenung wajahnya dengan penuh pengertian.
“ aku tahu semua tu Zie... aku sedar kesilapan aku yang
terlalu berdendam. Salah aku yang terlalu ikutkan perasaan marah terhadap
Tikah.” Akur Umairah jujur. Dia memang sudah sekian lama sedar bahawa
tindakannya dalam mengenakan Atikah adalah satu percaturan yang salah.
“ bagus la tu kau sedar Mai... aku harap kau dengan Tikah
pon boleh berbaik suatu hari nanti.” Umairah diam sahaja. Langsung tak membalas
kata-kata akhir Zizie yang kedengaran cukup ikhlas dipendengarannya. Dia tahu,
Zizie hanya mengharapkan yang terbaik padanya dan Atikah, Cuma dia yang masih
lagi keras hati. Bukan dia tidak pernah cuba untuk memaafkan kesalahan Atikah
namun mengingatkan ibunya terus rasa sakit hati terhadap Atikah dan emaknya
menjelma kembali.
Hmmm...ideanya ego...Umairah pun ego...adoiii luahkan je perasaan tu....
ReplyDeleteHuwarghhh bile nk smbg??? Hee
ReplyDelete