IKLAN NUFFNANG

Saturday, October 25, 2014

Tetap Kau Yang Satu Episod Akhir

BAB 47

Umairah menolak daun pintu rumahnya perlahan. Dalam hatinya berkira-kira dengan kata-kata yang dilemparkan Atikah padanya. Benarkah apa yang diceritakan oleh Atikah itu? Betul ke Ifran sukakan aku dari zaman kami belajar lagi? Atau Atikah sengaja berkata begitu untuk sedapkan hati aku sahaja. Umairah buntu, dia tiada jawapan semua itu.

 Perlahan-lahan langkah diatur menghampiri biliknya. Namun kakinya terhenti tatkala matanya menangkap jasad Ifran yang terbaring kaku diatas sofa. Lama mata Umairah memerhati suaminya itu, timbul rasa sayang dan rindu yang tak berbelah bagi. Umairah masuk ke kamarnya, tidak sampai satu minit dia keluar kembali bersama sebotol losyen. Kakinya mengatur langkah perlahan kearah Ifran lalu badannya duduk bersimpuh disebelah suaminya. Tangan jejaka itu dicapai dan disapunya losyen pada bengkak yang masih kelihatan itu. Namun Umairah sedikit terkedu tatkala Ifran menarik jemarinya kasar. Dia sangka Ifran tidur, rupanya tidak. Suaminya kini sudah bingkas bersila diatas sofa.

“ kenapa Mai sibuk sangat nak sapu losyen dekat luka tangan abang yang tak seberapa ni? Luka dekat tangan abang ni tak teruk kalau nak dibandingkan dengan luka dihati abang.” Tingkah Ifran dengan mata yang bulat memandang sinar mata Umairah yang kelihatan pilu. Umairah ketap bibir, perasaan sedih mula bertebaran dalam hati kecilnya.

“ Mai kan dah tak sayang abang, tak pedulikan abang. Buat apa Mai nak sibuk-sibuk ambil tahu tentang diri abang.” Sambung Ifran lagi. Umairah kelu seribu bahasa. Hanya matanya sahaja membalas pandang wajah mencuka Ifran. Perlahan-lahan air matanya mula mengalir membasahi pipi. Tak terkira sedih dihati apabila Ifran meragui kasih-sayangnya yang tak terbelah bagi.

“ Mai ni ego! Sombong, tak nak mengaku kalah!” komen Ifran buat Umairah terpinga-pinga. Dia sekadar memandang dan memasang telinga bagi setiap tutur kata yang terbit dari bibir suaminya.

“ kenapa susah sangat Mai nak mengaku yang Mai sayangkan abang. Mai tak nak bercerai dengan abang, Mai tak nak abang jadi hak milik Tikah. Kenapa Mai?” luah Ifran buat tangis Umairah kian rancak. Perlahan-lahan jemari suaminya dicapai.

“ Mai sayangkan abang sangat-sangat. Tapi Mai tahu Mai tak boleh pentingkan perasaan Mai sendiri jer. Abang tak sayangkan Mai, abang sayangkan Tikah. Apa yang Mai buat ni untuk kebahagiaan abang jugak.”

“ untuk kebahagiaan abang atau untuk puaskan hati Mai sendiri? Mai hanya nak gunakan abang untuk menebus kesilapan Mai pada Tikah sahaja. Mai tak peduli pun perasan abang macam mana.” Bidas Ifran cukup pedas menusuk jantung Umairah. Terkedu seketika Umairah dengan kata-kata Ifran padanya.

“ abang... Mai tak ada niat pun nak buat macam tu. Apa yang Mai buat ni untuk abang. Untuk kebahagiaan abang.”

“ kebahagiaan abang?” soal Ifran sinis. Umairah ketap bibir, matanya menatap lama anak mata Ifran yang tajam menikam kalbu.

“ kebahagiaan apa yang abang boleh rasai kalau berpisah dengan Mai? Abang sayangkan Mai, abang cintakan Mai. Bukan untuk tempoh sebulan ni jer Mai, tapi 3 tahun abang simpan perasaan sayang abang pada Mai. Cuba Mai terangkan dekat celah mana kebahagiaan yang abang perolehi kalau berpisah dengan Mai?” tingkah Ifran dengan suara yang mula mengendur. Umairah terpana sekali lagi. Betulkah apa yang dia dengar waktu ini.

“ betul ke abang jatuh cinta pada Mai dari waktu kita bersahabat lagi?” duga Umairah untuk mendapatkan kepastian. Air matanya yang galak mengalir kini sudah mula terhenti. Matanya tak lepas dari terus merenung wajah Ifran dihadapannya.

“ ye. Abang sayangkan Mai dari dulu lagi. Macam-macam abang buat untuk luahkan perasaan pada Mai tapi Mai tak pernah nampak. Abang mengaku abang bersalah sebab gunakan Tikah untuk buat Mai cemburu sekaligus buat abang rasa bersalah pada dia, tapi percayalah cinta abang hanya pada Mai. Sama seperti Mai yang sayangkan abang dari zaman universiti lagi.” Tegas Ifran bersungguh-sungguh. Dia berharap sangat dengan penjelasannya kali ini akan membuahkan kepercayaan yang jitu dihati Umairah terhadap cintanya. Umairah tahan sebak yang hadir kembali, cepat-cepat tangan Ifran disalam dan dicium.

“ Mai minta maaf bang... Mai ingatkan keputusan Mai boleh gembirakan abang, tapi Mai silap. Mai terlalu pentingkan diri sendiri.” Minta Umairah penuh penyesalan. Ifran angguk kepalanya. Badan Umairah yang duduk bersimpuh dihadapannya ditarik dan dipeluk kejap. Mahu melepaskan segala rindu dendam setelah lebih 10 hari hubungannya dan Umairah dalam kedinginan.

“ satu je abang minta pada Mai... tolonglah percayakan cinta abang pada Mai sebagai mana abang yakin yang Mai sayangkan abang. Abang hanya cintakan Mai seorang sahaja, tak ada wanita lain dihati abang selain sayang.” Ifran berbisik dekat dengan telinga Umairah.

“ i love you sayang... dari dulu, sekarang dan insyaallah sampai ke akhir hayat abang.” Seru Ifran lagi. Umairah menahan tangis, segera pelukan suaminya dileraikan.

“ Mai pun cintakan abang, dari dulu, sekarang dan insyaallah sampai bila-bila.” Balas Umairah dengan suara yang selembut mungkin. Ifran senyum lebar. Sisa air mata yang masih melekat dipipi isterinya disapu perlahan.

“ abang nak buat satu permintaan!” Umairah kerling wajah Ifran dengan rasa penuh tanda tanya. Pelik mendengar bicara Ifran yang tiba-tiba.

“ abang tak nak Mai rapat sangat dengan Tikah!”

“ Hah??” terkesima Umairah dengan permintaan aneh Ifran.

“ abang cemburu dengan Tikah... Mai selalu sangat utamakan dia dalam apa-apa keputusan yang Mai buat. Abang rasa Mai lagi sayangkan dia daripada abang.” Ulas Ifran tanpa dipinta. Umairah tergelak halus. Permintaan paling kelakar yang diterima sepanjang 25 tahun usianya.

“ apa abang merepek ni? Abang ingat Mai lesbian ke? Tikah tu bukan sahaja kawan baik Mai tapi dia tu kakak kandung Mai.”

“ yang tu abang tahu tapi abang tak suka Mai sayang dia lebih dari abang. Abang rasa tergugat!” desis Ifran tidak puas hati. Umairah ketawa lagi, tangannya cubit kedua belah pipi sang suami yang kelihatan mencuka.

“ abang... abang. Dengan perempuan pun nak cemburu. Untuk pengetahuan abang, Mai sayangkan abang dan Tikah tapi dengan rasa sayang yang lain. Mai sayangkan abang sebagai manusia yang paling istimewa dalam hidup Mai, satu-satunya lelaki yang Mai cintai. Sayang Mai pada Tikah pula adalah sayang buat teman karib, teman rapat macam Zizie. Kalau ikut darjah ketinggian sayang tu mestilah Mai sayang abang lebih. You are my everything.” Terang Umairah dengan senyuman simpul. Ifran tersengih riang, lapang dadanya mendengar penerangan Umairah yang cukup menggembirakan.

“ Iye la tu... nanti sikit-sikit Tikah, sikit-sikit Tikah. Maklumlah dah berbaik semula dengan bestfriend dia tu.” Usik Ifran. Umairah lepaskan gelak, sempat dia mencubit lengan Ifran yang galak mengusiknya.

“ Mai ingat tak hari ni, hari apa?” Umairah tayang wajah keliru, terfikir dimindanya tentang soalan daripada Ifran.

“ hari apa? Sabtu?”

“ish Mai ni... pelupa sungguh. Hari ni genap usia perkahwinan kita yang ke 2! Dan...”

“ dan?” tanya Umairah ingin tahu. Ifran didepannya sudah tersenyum nakal, makin membuatkan minda Umairah keliru.

“ tempoh bertunang kita sudah pun tamat!” Umairah melopong, berkelip-kelip matanya memandang wajah Ifran yang tersenyum penuh makna. Ifran tarik Umairah kembali kepelukkannya. Digosok lembut belakang isterinya.

“ i love you.” Ucap Ifran romantis.

“ love you too abang...”



Setahun kemudian...

“ abang...” jerit Umairah sambil merapati suaminya. Kedua ibubapanya dan Ifran ada dirumahnya hari ini bersempena majlis doa selamat yang dilakukan bagi mendoakan dia selamat melahirkan bayi dalam kandungannya yang kini mencecah 7 bulan.

“ ye Mai? Kenapa?”

“ tu haa, Zizie dan Haikal dah sampai. Jom kita jemput diorang masuk.” Jelas Umairah sambil menarik tangan suaminya menghampiri pintu pagar. Ifran sekadar mengikut, meraikan tetamu yang hadir dimajlisnya.

“ sorry Mai aku lambat sampai. Ada hal sikit tadi. Majlis macam mana? Dah tamat ke?” Pinta Zizie sewaktu menyalami Umairah. Haikal disebelahnya bersalam-salaman dengan Ifran yang melemparkan senyuman nipis.

“ dah tamat pon majlis tu. Tapi keluarga aku ada lagi. Marilah masuk, kami baru nak mula menjamu selera.” Jemput Umairah. Mereka berempat beriringan masuk menuju ke ruang makan. Setelah bersalam-salaman dengan seluruh ahli keluarga Umairah dan Ifran, Zizie mula mengambil tempat disebelah Atikah. Haikal pula duduk disebelahnya.

“ assalamualaikum...” Zizie bersuara setelah semua duduk bersimpuh mengadap makanan. Semua mata yang ada mula terarah pada Zizie, tertanya-tanya dengan salam yang diutarakan dengan tiba-tiba. Namun begitu salam itu tetap dijawab. Zizie, menggagau beg tangannya, dikeluarkan berkeping-keping kad bersampul lalu diedarkan pada setiap ahli keluarga yang ada.

“ ini kad kahwin saya... jemput datang yer semua.” Jelas Zizie tenang. Haikal disebelahnya sekadar menunduk, kadang-kadang sahaja wajah diangkat.

“ eh kau dah nak kahwin... tak cakap pon dekat aku.” Sela Umairah kurang senang. Atikah turut sama menjeling teman rapatnya itu. Sambil itu tangannya membuka kad jemputan yang baru diterima daripada Zizie.

“ siapa pengantin lelakinya?” soal Atikah tatkala kurang familiar dengan nama pengantin lelaki tersebut.

“Muhammad Haikal bin Zahari.” Sahut Umairah dan beberapa suara lain serentak. Umairah terkedu, dia berpandangan seketika dengan Ifran sebelum matanya melabuh kearah Zizie dan Haikal silih berganti. Atikah turut sama melakukan perkara yang dibuat Umairah.

“ kau dengan Haikal Zie?” soal Umairah seakan tak percaya. Zizie dan Haikal angguk kepala malu-malu. Atikah, Umairah dan Ifran tersengih lebar. Gembira dengan khabar berita yang baru diperolehi.

“ tahniah Haikal, Zie.” Serentak tiga suara itu mengalunkan ucapan tahniah. Mata-mata yang lain tumpang gembira, semua tidak menyangka Haikal dan Zizie teman rapat yang suka bergaduh antara satu sama lain itu bakal bersatu. Mungkin inilah dikatakan jodoh, tiada siapa yang tahu ketentuan dariNya.



TAMAT

Tetap Kau Yang Satu bab 46

BAB 46


Umairah melepaskan keluhan panjang, ditarik dalam-dalam nafas agar jiwanya yang bergelora dapat ditenangkan dengan kadar yang segera. Namun semua itu tidak berhasil, dia langsung tidak berjaya mencapai ketenangan yang dicari. Masuk hari ini, sudah 3 hari dia dan Ifran hidup seperti orang asing. Mereka tidak berbual antara satu, kalau berpapasan masing-masing hanya menayang wajah kosong tanpa perasaan. Kini, mereka tidak lagi makan bersama, berbual mahu bercakap. Rumah tangganya dan Ifran betul-betul sudah sampai diambang kemusnahan. Memikirkan semua itu mendatangkan rasa kecewa dan sedih yang sudah tidak terkira dihati Umairah, namun dia tidak boleh berbuat apa-apa. Bukankah semua itu keinginannya, segala rancangan yang diatur berjalan sangat lancar malah lebih licin berbanding yang diingini.

“ sekarang kau menyesal ke dengan keputusan yang kau dah buat tu?” cetus suara Zizie sekaligus menyedarkan Umairah dari ingatannya terhadap suami tercinta. Terus bebola matanya menjamah segenap wajah Zizie yang kelihatan tenang dihadapannya. Kalau diikutkan, Zizie cukup marah dengan keputusan yang diambil. Namun gadis itu tidak boleh berbuat apa-apa, dia hanya mampu menasihati dirinya.

“ aku tak menyesal pun Zie... aku akan lagi menyesal kalau aku terus dengan sikap pentingkan diri sendiri aku ni.” Luah Umairah lemah. Jus oren yang terhidang dihadapannya disedut perlahan, cuba menghilangkan dahaga yang mula terasa.

“ tak menyesal konon, tapi muka tu dah macam orang mati laki jer aku tengok.” Bidas Zizie selamba. Dia bukannya mahu menyakitkan hati Umairah, dia cuma nak Umairah sedar dan fikir masak-masak dengan segala tindakan yang sedang diambil. Dia tahu Umairah cukup sayangkan Ifran tetapi kerana rasa berdosa terhadap Ifran dan Atikah atas kesilapan masa lalunya membuatkan Umairah terdetik untuk menarik diri dalam perkahwinannya sendiri.

“ kalau ikutkan hati aku ni memang la sedih. Aku memang sayangkan Ifran tu tapi untuk terus halang Ifran bersama dengan orang yang dia cintai pasti akan buat aku lebih sedih. Lagi pun ini sahaja cara untuk aku tebus kesalahan yang aku dah lakukan pada Tikah. Sebab aku dia dah kehilangan orang yang dia paling sayang, kerana aku dia dan Ifran berpisah. Bukankah aku sepatutnya kembalikan kebahagiaan yang sememangnya hak milik mereka berdua?” luah Umairah tatkala sedar Zizie belum lagi mahu menyokong segala keputusannya saat ini. Wajah Zizie yang sedang menatap wajahnya dipandang lama-lama.

“ itu aku tahu Mai... aku tahu yang kau buat semua ni untuk kembalikan semula cinta antara mereka tapi kau yakin ke semua ni dapat mengembirakan Ifran dan Atikah?” duga Zizie dengan riak tenang.

“ tak ada sebab diorang tak gembira dengan keputusan aku ni Zie... If dan Tikah saling mencintai, pasti diorang suka dengan pengunduran aku ni.”

“ macam mana kau tahu If masih sayangkan Tikah? Kalau dia sayangkan Tikah kenapa dia nak serius dengan perkahwinan korang sebelum ni?” Zizie melempar soalan lain pula. Semua itu adalah untuk membuatkan Umairah lebih berfikir tentang perasaan Ifran yang sebenar, bukan sekadar memandai mengandaikan perasaan jejaka itu.

“ aku yakin jauh disudut hatinya masih lagi sayang pada Tikah. Dia terima aku pun sebab kecewa dengan Tikah yang tak pernah terima dia semula selepas kahwin dengan aku. Masa dia serius dengan aku pun dia masih lagi ambil berat dan sayangkan Tikah.” Jelas Umairah perlahan. Ingatan teringatkan tragedi di kedai buku Popular kira-kira seminggu yang lalu. Masih diingat kata-kata Ifran bahawa dia sendiri yang mempelawa Atikah untuk hantar gadis itu pulang sekaligus meneman ke kedai buku. Apa maksud itu semua kalau bukan kerana Ifran masih lagi ada perasaan yang berbekas dihatinya terhadap Atikah. Sejak dari kejadian itu lagi Umairah sudah mengesyaki perasaan suaminya yang sebenar.

“ kau yakin?” soal Zizie inginkan kepastian. Riak wajah sendu yang terlukis diwajah Umairah ditatap dalam-dalam. Simpati dia kepada teman baiknya ini namun dia tidak boleh berkata apa-apa lagi kalau Umairah sudah berkeputusan. Umairah angkat kelopak matanya lalu memanah pandangan kedalam anak mata Zizie. Perlahan-lahan kepalanya diangguk mengiakan persoalan temannya itu.

“ kalau dah macam tu kata kau, aku tak boleh nak kata apalah Mai...” sambung Zizie akhirnya. Perlahan-lahan jemari Umairah yang terletak diatas meja itu dielus dan digenggam erat, dia mahu memberi sepenuhnya sokongan pada teman rapatnya itu. Mungkin ini sahaja yang dia mampu lakukan untuk redakan kelukaan dihati Umairah.

“ kau tak payah simpati pada aku Zie... apa yang berlaku saat ni memang penyakit yang aku sendiri cari. Padanlah muka aku yang tergamak rosakkan kebahagiaan orang.” Tingkah Umairah lembut. Dia tak nak Zizie bersimpati dengan nasibnya sedangkan apa yang dirasai saat ini adalah kesan dari sikap kejamnya pada teman baik sendiri. Selayaknyalah dia mendapat balasan sebegini.

“ sudahlah tu ungkit kesilapan lalu kau. Lepas ni kau minta maaf pada Tikah dan Ifran. Kemudian kau teruskanlah hidup macam biasa. Lupakan segala tragedi yang pernah berlaku antara korang bertiga.” Pujuk Zizie. Tangan Umairah digosok lembut. Jauh disudut hatinya masih mendoakan kesejahteraan perkahwinan Umairah dan Ifran namun siapa dia untuk melawan takdir sekiranya Allah sudah tetapkan jodoh Umairah dan suaminya hanya setakat itu sahaja. Umairah tersenyum nipis, walaupun wajahnya penuh kedukaan namun dia cukup senang dengan nasihat dan sokongan dari Zizie yang tak pernah surut untuknya.



“ pang!” dentuman kaca berkecai diatas lantai menyinggah ke gegendang telinga Umairah yang baru sahaja menolak daun pintu biliknya. Serentak itu badannya cepat-cepat menuju kearah tempat yang mengeluarkan bunyi tersebut. Umairah terpana seketika, matanya membulat apabila melihat tangan Ifran yang kemerah-merahan terkena air panas. Tanpa buang masa cepat-cepat Umairah kearah suaminya yang sedang menahan sakit akibat tangannya melecur.
   
“ kenapa ni bang?” soal Umairah pantas sambil menyentuh lembut jemari Ifran yang terkena air milo panas yang baru siap dibuat. Perasaan risaunya semakin menggebu apabila melihat jemari suaminya itu mula kemerah-merahan. Ifran yang sedang menunduk mengangkat wajahnya. Tanpa mempedulikan kehadiran Umairah, dia segera bingkas berdiri dan membasuh tangannya dengan air paip agar rasa pedih yang menyengat itu berjaya dihilangkan. Umairah turut berdiri, dia segera ke biliknya untuk mendapatkan sebotol losyen baby yang dipakai. Mungkin dengan menyapu losyen kurang sikit bengkak pada tangan suaminya itu.

“ Mari Mai sapukan losyen.” Tegur Umairah tatkala Ifran sudah mara bergerak menuju kebiliknya. Lengan Ifran ditarik lembut agar langkah lelaki itu terhenti. Ifran menoleh seketika kearah Umairah, langsung riak wajahnya mengukir senyuman pada isterinya itu.

“ tak payah nak tunjuk baik dekat sini... Mai kan tak sayang abang. Mai peduli apa kalau tangan abang kudung sekali pun!” Jerkah Ifran lantang. Lengannya yang berada dalam genggaman Umairah direntap kasar. Tanpa buang masa Ifran segera bergerak menuju kebiliknya lalu dibenamkan diri dalam kamar tersebut. Umairah terkulat-kulat dengan amarah Ifran namun dia terpaksa menerimanya. Dia tahu Ifran tidak suka diperlakukan seperti barang mainan yang boleh ditolak kesana dan ke mari namun apa yang cuba dilakukan itu sebenarnya untuk kebahagiaan Ifran juga. Ifran pasti lebih bahagia bersama Atikah kerana wanita itulah yang paling dicintai suaminya. 

Setelah melihat Ifran hilang disebalik kamarnya, Umairah mula mengatur langkah ke dapur. Dia mahu mengemas kaca yang bertaburan diatas lantai dek cawan yang berisi air milo itu terhempas. Satu persatu kaca itu dikutip dan dimasukkan ke dalam penyodok sampah. Namun secara tidak sengaja tangannya terluka dek serpihan kaca yang dilanggar secara tidak sengaja. Umairah ketap bibirnya kuat. Setitik demi setitik air matanya mengalir membasahi pipi. Bukan kerana sakit pada tangannya tetapi rasa sebak dan terluka mengenangkan situasi hubungannya dan Ifran saat ini. Dia tak boleh nafikan lagi isi hatinya, sayangnya pada Ifran terlalu dalam, cintanya terhadap Ifran terlalu tinggi dan kasihnya terhadap Ifran terlalu mewangi. Rasanya tak mungkin untuknya melupakan jejaka itu.

“ abang... Mai sayang sangat pada abang. Kenapa kita mesti bertemu macam ni? Kenapa ikatan kita terhasil secara begini. Kalaulah abang bukan milik Tikah, mesti Mai takkan sesekali lepaskan abang pada mana-mana perempuan lain.” Rintih Umairah dengan air mata yang sudah mula membanjiri wajahnya. Dia tidak peduli dengan air matanya itu, dia tidak kisah dengan sakit di jemarinya, apa yang dia tahu perkahwinannya dan Ifran semakin hampir pada penghujungnya.

“ kalaulah Mai boleh undurkan masa, Mai akan mengaku perasaan Mai masa abang acah-acah luahkan perasaan semasa kita berkawan dahulu, Mai akan usaha dapatkan cinta abang sebelum Tikah ambil hati abang dan Mai akan buat abang sayangkan Mai lebih daripada Tikah. Tapi sekarang semuanya dah terlambat, Mai dah lakukan kesalahan besar yang tak mungkin mengembalikan abang dalam hidup Mai.” Luah Umairah lagi.

 Tangannya sudah lama berhenti dari mengutip kaca-kaca yang masih lagi bertaburan. Darah dijarinya pun sudah mula kering. Namun air matanya yang hangat masih lagi laju meluncuri kedua belah pipinya. Ifran yang berada disebalik pintu dapur hanya memandang ratapan Umairah dalam diam. Bukan dia tidak tahu Umairah sayang padanya, bukan dia tidak tahu kasih Umairah padanya menggunung tinggi tetapi hatinya tetap terluka dengan sikap Umairah. Wanita itu sanggup meragui cintanya yang tidak berbelah bagi, Umairah juga sanggup mengambil keputusan tanpa berbincang dengannya dan apa yang paling utama dia cemburukan Atikah. 

Umairah seringkali utamakan Atikah dalam setiap perkara, dalam setiap keputusan yang diambil sedangkan Umairah tidak pernah berfikir pun tentang perasaannya yang kecewa dengan segala keputusan yang sudah dibuat. Mungkin orang lain akan tertawa dengan sikapnya yang cemburukan isteri sendiri dengan wanita lain tetapi itulah yang dirasai saat ini. Bagi Umairah, Atikah lebih penting dari suaminya sendiri. Semuanya jelas terpancar dari tindakan Umairah.


                  
Umairah meliarkan matanya disekitar taman rekreasi yang cukup mendamaikan jiwanya. Perlahan-lahan nafas yang ditarik dihembus perlahan demi menenangkan jiwanya. Entah kenapa waktu ini timbul rasa gementar yang cukup mengganggu perasaannya. Seolah-olah kehadirannya saat ini untuk meluahkan rasa cinta yang tak terperi. Mata Umairah kembali menjamah pergelangan tangan sendiri, jam ditangannya menunjukkan pukul 9.55 minit pagi. Masih lagi awal 5 minit daripada masa yang dijanjikan. Mungkin dek rasa gemuruh yang melampau buat dirinya tiba lebih awal dari masa yang dijanjikan. Tak lama selepas itu, Umairah ternampak seorang wanita yang cukup anggun dengan blous dan skirt labuh yang dipadankan dengan shawl yang dililit kemas pada kepala datang menghampirinya. Tertelan air liur Umairah dibuatnya dek rasa debar yang kian menggongcang jiwa.

“ Assalamualaikum...” sapa si jelita dengan senyuman yang mekar dibibir. Umairah jawab salam perlahan bersama senyuman yang agak kejung. Dia bukan tidak sukakan wanita ini namun pergaduhan antara mereka yang berlangsung hampir 3 tahun lamanya mengundang rasa canggung dalam diri.

“ kau apa khabar Mai... lama tak jumpa dengan kau.” Soal Atikah berbasa-basi. Dia turut berdebar waktu ini setelah hampir 3 tahun hubungannya dan Umairah terputus. Namun waktu ini dia cukup gembira, Umairah sudah mula menunjuk tanda-tanda positif untuk kembali menjalinkan persahabatan dengannya.

“ Alhamdullilah sihat.” Jawab Umairah pendek. Kepalanya buntu, mindanya tepu dan mulutnya bisu untuk terus berbual mesra dengan Atikah. Tercari-cari idea didalam benaknya bagaimana untuk memulakan bicara. Lama suasana antara mereka menyepi, masing-masing tidak tahu untuk ke topik utama.

“ Tikah...” panggil Umairah lembut setelah segala keberanian berjaya dikumpulkan. Wajah menawan Atikah dipandang lama, bersedia untuk meluahkan segala isi hati yang sudah lama dipendamkan. Atikah diam sahaja, tidak menyahut. Hanya matanya sahaja membalas renungan Umairah.

“ Maafkan aku sebab dah sakitkan hati kau, dah lukakan hati kau dan rampas Ifran daripada kau.” Minta Umairah dengan wajah yang mula menunduk. Ada rasa malu dan sebak merantai hatinya namun dia tahu segalanya perlu diselesaikan hari ini.

“ aku tak tahu pun yang kau kakak kandung aku, aku ingatkan kau kakak tiri aku yang cuba rampas kasih abah daripada keluarga aku. Aku tak sangka kau dan mak kau lebih teruk merana dari aku dan keluarga aku. Aku ingatkan emak kau yang rampas abah dari ibu tapi rupanya aku silap. Kami yang rampas abah dari kau dan mak Uda. Maafkan aku Tikah. Aku menyesal sangat dengan apa yang aku dah buat pada kau.” Luah Umairah lagi. Kini tangannya sudah mencapai jemari Atikah agar wanita itu dapat merasa keikhlasan dari bait-bait ucapan maaf yang dipinta. Atikah senyum nipis, kolam matanya sudah mula sarat dengan air hangat. Hanya menanti waktu untuk melimpah keluar sahaja. Perlahan-lahan Atikah tarik badan Umairah ke pelukkannya. Digosok lembut badan adik kandungnya itu.

“ aku dah maafkan kau Mai... lagi pun apa yang berlaku bukan salah kau seratus peratus. Memang aku bersalah, aku yang pentingkan diri sendiri. Memang aku sengaja merebut kasih abah untuk sakitkan hati kau.”

“ tak Tikah... kau tak merebut kasih abah tapi kau memang berhak untuk dapat kasihnya. Kau dah berpisah dengan abah lebih 18 tahun, memang patut abah sayangkan kau dan mak Uda lebih dari kami sekeluarga. Aku yang salah sekarang ni, kalau aku tak ikutkan sangat perasaan cemburu aku pasti kita takkan bergaduh dan kau tak akan berpisah dengan Ifran.” Tekan Umairah lebih tegas. Dia tak nak Atikah salahkan diri sendiri hanya kerana mahu memujuk hatinya. Dia tahu apa yang berlaku sepanjang tempoh 3 tahun ini adalah salahnya seratus peratus.

“ sudah la tu Mai. Kita lupakan je la semua tu. Kita mulakan hidup baru, kita teruskan persahabatan kita yang dah terputus tu dan kuatkan lagi dengan ikatan adik beradik yang baru terbina ini.” Balas Atikah tenang. Pelukan antaranya dan Umairah dileraikan, wajah Umairah yang lencun dengan air mata dipandang dengan senyuman. Tak terucap syukurnya didalam hati, akhirnya Umairah kembali semula kepadanya.

“ untuk tebus kesilapan aku pada kau, aku sanggup bercerai dengan If. Mungkin ini sahaja yang aku boleh lakukan untuk kebahagiaan kita bertiga.” Tambah Umairah perlahan. Atikah tercengang dengan cadangan Umairah yang kedengaran tidak wajar dipendengarannya. Terus matanya membulat merenung riak tenang Umairah.

“ bercerai? Kenapa kau nak bercerai dengan dia, Mai?”

“ mestilah aku kena bercerai dengan dia, kalau tak macam mana kau dengan dia nak bersama. Kita mana boleh bermadu!” sempat Umairah berlucu. Atikah tak terkesan dengan lawak bodoh Umairah, ditatap tajam wajah selamba Umairah meski pun dia boleh nampak ada sinar duka dimata gadis itu. Ah Umairah, aku kenal sangat perangai kau. Mungkin orang lain kau boleh tipu tapi tidak aku!

“ kenapa aku nak kena bersama semula dengan dia?” duga Atikah bersahaja. Soalan dari Atikah mendatangkan senyuman tawar dibibir Umairah. Matanya kini tidak lagi memandang kewajah temannya itu tetapi sudah beralih pada kehijauan di taman rekreasi tersebut.

“ kau lupa atau buat-buat lupa Tikah... Ifran milik kau. Aku yang jadi penghalang antara kau dan dia. Aku yang rampas Ifran dari kau untuk sakitkan hati kau dan sekarang aku sedar semua tu bukan salah kau. Jadi, sekarang dah tiba masanya aku lepaskan Ifran. Kau dan dia saling mencintai dan aku adalah orang ketiga dalam hubungan korang berdua. Ifran pun masih lagi cintakan kau.” Jelas Umairah satu persatu. Dia cuba berlagak setenang mungkin agar Atikah tidak menaruh simpati. Dia tak nak kerana kesian, Atikah sanggup korbankan kebahagiaannya sendiri. Atikah mengeluh kecil, jemarinya menyentuh lembut jemari Umairah.

“ aku dan dia tak mungkin bersama... kami dah putus sepenuhnya.”

“ korang berpisah sebab aku adalah isteri dia tapi tak lama lagi semua tu akan berakhir Tikah. Kau dan dia boleh bersama kembali, menganyam cinta korang yang tak berkesampaian sebelum ini.”

“ tak Mai... aku dan dia tak boleh bersama bukan sebab kau isteri dia! Tapi sebab cinta Ifran dah tak ada pada aku. Dia cintakan kau! Dia sayangkan kau, bukan aku.” Umairah diam, tak terkata dengan jawapan Atikah. Baru sahaja mulutnya dibuka untuk membantah pendapat temannya itu, Atikah datang menghantar peluru yang baru pula.

“ Ifran sayangkan kau sejak korang berkawan baik lagi. Aku tahu Ifran cintakan kau dari dulu lagi tapi sebab aku terlalu sayangkan dia, aku sanggup bohong perasaan kau pada dia dan perasaan dia pada kau. Padahal masa tu aku tahu korang saling sayang menyayang. Kau tahu sebab apa aku berbaik-baik dengan abah lepas mak aku kahwin dengan abah?” soal Atikah buat Umairah memikir. Namun, tiada jawapan yang keluar dari bibir mungil wanita itu.

“ aku sengaja buat abah lebih sayangkan aku sebab aku cemburukan kau dengan Ifran. Aku nak sakitkan hati kau. Padahal masa tu aku kekasih dia, tapi dia selalu utamakan kau. Aku tahu walaupun kami sedang bercinta, tapi hatinya masih ada untuk kau. Dia terima aku pun atas dasar rasa bersalah sebab dah bagi aku harapan palsu.” Jelas Atikah buat mulut Umairah semakin melopong.

“ lagi pun Ifran sendiri tolak cinta aku baru-baru ni. Bukan aku yang tolak dia. Katanya, dia cintakan kau dan dia tak nak menyesal sebab lepaskan kau macam dulu lagi. Kalaulah ada istilah perampas antara kita bertiga, akulah yang sebenarnya merampas Ifran dari kau Mai.” Tutur Atikah lagi. Umairah yang mendengar segala bait bicara Atikah hanya mampu menumpahkan air mata.

“ tak Tikah... kau bukan perampas. Kau memang memiliki Ifran dengan cara yang betul. Cuma aku yang bodoh dan lembab ambil tindakan sehinggakan Ifran beralih arah pada kau.” Tingkah Umairah bersama lelehan air mata yang kian laju membasahi pipi.

“ sudahlah tu Mai. Tak payah la kita ungkit cerita lapuk semua tu. Sekarang kita fokus tentang masa depan sahaja. Kau teruskanlah perkahwinan kau dan Ifran sebab korang berdua saling mencintai. Jangan sia-siakan cinta korang berdua hanya sebab rasa bersalah atau simpati pada aku. Aku ni bukanlah sebaik yang kau fikir, aku juga pentingkan diri sendiri macam orang lain. Jadi kau tak payah nak rasa bersalah sangat.” Nasihat Atikah perlahan. Dia berharap sangat dengan kata-katanya ini akan membuatkan Umairah berubah fikiran seterusnya melupakan niatnya untuk bercerai dengan Ifran.

“ Maafkan aku sekali lagi Tikah... walau apa pun yang terjadi antara kita bertiga memang salah aku. Memang itulah faktanya saat ini.”

“ tak perlulah kita cari siapa salah, siapa betul Mai. Yang penting sekarang ni kita dah berbaik semula. Hubungan kita dah pulih seperti sebelum ini. Itu yang penting. Tentang perkara yang lepas anggaplah kita sama-sama ada bahagian dalam hal tu.” Sambung Atikah lagi. Umairah mengangguk perlahan. Dalam diam dia gembira kerana kekusutan antara dia dan Atikah akhirnya terungkai jua.


Tetap Kau Yang Satu bab 45

BAB 45

Umairah terduduk, terkedu sejenak dengan cerita yang dibawa ibunya. Puan Zaleha sudah lama meninggalkannya bersendirian setelah menceritakan hal sebenar diantara keluarganya dan keluarga Atikah. Umairah tarik nafas dalam-dalam, cuba melegakan pelbagai perasaan yang menyerang dirinya saat ini. Namun sikit pun rasa tenang dapat dirasai malah air mata kian melimpah ruah membasahi kedua belah pipinya.

“ Ya Allah...” seru Umairah disaat mindanya cukup tepu dengan pelbagai rasa. Satu persatu cerita tentang Atikah dan puan Zainab melayari ingatan. Menambahkan beban rasa bersalah yang sudah tak tertanggung dipundaknya. Menurut ibunya, sebelum ibu berkahwin dengan abah, abah terlebih dahulu berkahwin dengan puan Zainab namun tanpa restu keluarga. Dek dibenci keluarga mertua, pelbagai dugaan dihadapi oleh Zainab. Ibunya pula masa itu cukup disukai oleh keluarga encik Ismail dan kebetulan pula ibu turut menyimpan hati pada encik Ismail. 

Oleh kerana rasa pentingkan diri yang meluap-luap, ibu bekerjasama dengan keluarga mertua Zainab dalam meruntuhkan istana yang baru dibina oleh Zainab dan Ismail. Ternyata usaha ibu berhasil, tak sampai 5 bulan, perkahwinan Zainab dan Ismail berjaya dibubarkan. Semasa bercerai, Ismail tidak tahu bekas isterinya sudah pun mengandung. Desakan keluarga menyebabkan Ismail terpaksa menikahi Zaleha beberapa bulan selepas itu. Selepas bercerai, Zainab telah membawa diri dengan hatinya yang terluka termasuk juga kandungan yang belum lagi menampakkan rupa. Identiti Atikah terbongkar sewaktu pertembungan yang tak sengaja antara Zainab dan Ismail sewaktu menghadiri mesyuarat PIBG disekolahnya sewaktu dia tingkatan 6. Selepas kejadian itu, ibu berusaha keras untuk membalas segala kekejaman yang telah dilakukan pada Zainab dengan menyatukan kembali Zainab dan suaminya. Kata ibu, dia cukup menyesal kerana telah merosakkan kebahagian Zainab dan abahnya sekaligus merosakkan kebahagiaan Atikah.

“ Astarfirullah hal azim...” Umairah beristighfar panjang. Rasa bersalah dan berdosa meluap-luap didalam pelipat dada. Wajahnya yang sudah tidak terurus diraup kasar. Dia masih tercari-cari sinar ketenangan dalam diri.

“ apa aku dah buat pada Tikah? Apa yang aku dah lakukan pada dia? Siapa yang keturunan perampas sekarang ni? Bukan dia yang merampas tapi aku... sudahlah ibu rampas abah dari emaknya, sekarang aku pulak yang merampas Ifran darinya. Ya Allah... apa dah aku lakukan ni. Bertapa besarnya dosa aku pada dia.” Luah Umairah dengan kedua belah tapak tangan yang menutupi keseluruhan wajahnya. Tersedu sedan dirinya sendiri memikirkan segala perbuatan keji yang telah dilakukan terhadap Atikah. Air matanya makin laju menitis, membasahi mukanya sehingga terkena pada baju yang dipakai.

“ selama ini aku ingat emak dia yang rampas abah dari ibu, aku fikir dia yang cuba ambil kasih abah dari aku tapi rupanya aku salah. Memang patut abah sayang dia lebih dari aku setelah bertahun-tahun mereka tak bertemu. Memang patut Tikah dapat sepenuhnya kasih sayang itu dari abahnya memandangkan dia merupakan anak kandung abah. Bukan anak tiri! Yang bersalah sekarang ni aku, tergamak sakitkan hati Tikah yang langsung tak berdosa, yang cemburukan Tikah dengan apa yang sememangnya hak dia, yang merampas segala kebahagiaannya selama ini. Aku yang berdosa, aku yang paling hina sekarang ni... bukan Tikah!” bentak Umairah memarahi diri sendiri. 

Wajahnya ditampar-tampar keras, ditepuk-tepuk geram kedua belah pipi memikirkan kesalahan sendiri. Bertapa dia sedar kesalahan yang tak ternilai besarnya sudah dilakukan kepada Atikah, kakak kandungnya sendiri. Air mata yang laju mengalir dibiarkan sahaja mencemari muka, kini kepalanya ligat memikirkan cara terbaik untuk menebus kesalahan yang sudah dilakukan olehnya terhadap Atikah. Dia tahu, segala kebahagiaan yang dirasai saat ini telah dibina di atas air mata Atikah. Perempuan keji sepertinya tak layak untuk terus bergembira, dia tak seharusnya mengecapi bahagia sedangkan pemiliknya yang sebenar sedang mengalir air mata duka. Kebahagiaan yang dinikmati saat ini perlu dikembalikan kepada tuannya! Itu janji Umairah.




Umairah bangkit berdiri, wajahnya yang masih lencun dengan air mata dilap kasar. Langkah gemalai diatur ke biliknya. Dia perlu rehat! Otak, perasaan dan dirinya sendiri terlalu penat memikirkan perkara yang baru diketahui. Mungkin dengan rehat yang cukup, otaknya akan dapat berfungsi dengan baik dan dia juga dapat menyelesaikan kesalahan yang sudah dilakukan terhadap Atikah. Tanpa pamitan Umairah tolak daun pintu biliknya dengan keluhan kecil. Masuk sahaja bilik itu terus matanya menangkap imej Ifran yang sedang tidur diatas katil. Penat barangkali setelah hampir 6 jam memandu kereta dari Seremban ke Terengganu. 

Perlahan-lahan Umairah menghampiri tubuh suaminya yang tenang dilambung mimpi nan indah. Langsung jejaka itu tidak sedar kehadirannya saat ini. Tangannya dipanjangkan, dibelai lembut kepala Ifran. Melihat suaminya saat ini tidak lagi menimbulkan rasa tenang tetapi membuatkan hatinya dipalit rasa sedih dan kecewa yang tidak terperi. Terasa perpisahan antaranya dan Ifran kian menghampiri. Dia perlu, dia wajib memulangkan cinta Ifran kepada pemiliknya yang sebenar. Cinta dan sayang Ifran bukanlah untuknya, cinta jejaka itu hanyalah untuk Atikah. Dia perlu satukan kembali hati mereka setelah menjadi orang ketiga yang menyibuk dalam istana cinta yang telah dibina. 

Dia yakin, masih belum terlambat untuk semua itu. Mungkin cinta Ifran padanya tidak sedalam cinta Ifran pada Atikah suatu masa dahulu. Cinta Ifran juga padanya terlalu baru, mungkin baru beberapa bulan terdetik rasa sayang lelaki itu padanya setelah mereka hidup bersama namun cinta Ifran pada Atikah sudah terlalu lama. Lebih dari 3 tahun Ifran menyemai dan menjaga cintanya pada Atikah. Malah Atikah adalah cinta pertama Ifran! Pasti kasih dan sayang terhadap Atikah masih mewangi dihati Ifran. Jadi, seeloknya dia undur diri. Tidak perlulah dia terus menerus menjadi batu penghalang antara Atikah dan Ifran. Sudah tiba masanya kebahagiaan yang terhalang antara mereka sebelum ini dipulangkan kembali. Mungkin, dengan cara ini sahaja kesilapan besar yang sudah dilakukan terhadap Atikah dan Ifran dapat diampuni. Umairah sentuh jemari kasar milik Ifran lembut. Ditatap wajah damai suaminya lama-lama. Mungkin ini kali terakhir untuk dia merasai semua ini. Selepas ini, tiada lagi istilah suami isteri antara mereka kerana Ifran akan kembali kepada pemilik cinta sejatinya.

“ Mai sayangkan abang sangat-sangat... Mai cintakan abang sepenuh hati Mai... Maafkan Mai atas segala kesilapan dan kekejaman yang Mai dah lakukan keatas abang dan Tikah. Maafkan juga segala kesilapan yang Mai bakal lakukan selepas ini... tapi percayalah, apa yang Mai cuba lakukan saat ini adalah demi kebahagiaan abang dan Tikah sebab Mai yakin jauh disudut hati abang masih sayangkan Tikah. Mai harap kita berdua boleh berpisah secara aman tanpa perlu bermasam muka mahu pun berdendam.” Luah Umairah dengan nada yang rendah dekat pada pendengaran Ifran. Tangan suaminya dicapai dan dicium lembut. Mungkin ini kali terakhir dia dapat menyentuh dan menyalami suaminya kerana selepas ini Ifran bakal bergelar abang iparnya sendiri. Umairah sapu mutiara hangat yang mula membasahi pipi. Biarlah air mata ini terus mengalir untuk masa ini kerana selepas ini dia perlu kuat dan tegas dengan keputusan yang sudah dibuat.




Ifran meliarkan pandangannya kearah dapur, kosong dan bersih sahaja. Langsung tiada tanda-tanda baru lepas digunakan. Ifran mengerutkan dahinya, perasaan pelik dan aneh mula merantai hatinya. Mai tak masak ke hari ni? Soal Ifran pada dirinya sendiri. Perutnya yang kebulur digosok perlahan. Langkah pantas diatur ke bilik Umairah... Entah-entah Umairah tidak sihat, sebab itu wanita itu tidak memasak. Biasanya jarang Umairah tidak memasak melainkan dia makan diluar dan biasanya Umairah akan memberitahunya terlebih dahulu sekiranya tidak memasak demi memudahkannya mencari makanan sendiri.

“ Mai...”panggil Ifran lembut sambil memulas tombol daun pintu bilik Umairah. Sekali lagi kerutan terukir didahi Ifran apabila daun pintu bilik isterinya berkunci. Tidak pernah sepanjang hayat perkahwinannya dan Umairah, bilik wanita itu dikunci melainkan ketika mereka bergaduh. Dia yakin Umairah ada didalam bilik kerana dia dapat mendengar sayup-sayup lagu yang dipasang memenuhi bilik isterinya.

“ Mai... buka pintu ni.” Pinta Ifran dari luar sambil mengetuk daun pintu bilik isterinya. Ternanti-nanti jawapan mahu pun sahutan daripada Umairah namun sayang respon yang diterima dari wanita itu hanyalah kosong.

“ Mai... buka pintu sayang.” Suruh Ifran lagi. Kali ini dia mengetuk lebih kuat agar Umairah sedar dan tahu kewujudannya saat ini. Mungkin Umairah sedang berehat kerana terlalu penat atau pun kerana tidak sihat. Tidak lama selepas itu daun pintu bilik Umairah terbuka dan terjengul wajah Umairah yang kelihatan bersahaja tanpa perasaan.

“ Mai tak sihat ke?” dengan nada yang cukup risau dan gelisah Ifran menyoal. Pantas jemarinya menyentuh dahi Umairah untuk membandingkan perbezaan suhu antara mereka.” Tak panas pon. Detik Ifran didalam hati. Umairah tolak kasar jemari suaminya, sengaja buat Ifran sakit hati dengan tingkah lakunya.

“ Mai sihat jer... abang nak apa?” acuh tak acuh Umairah menyoal. Langsung wajah Ifran dihadapannya saat ini dipandang. Dia lebih rela menebarkan renungan ditempat lain.

“ kenapa Mai tak masak hari ni? Mai makan dekat luar ke?” Ifran cuba bersabar dengan sikap Umairah yang nampak lain daripada biasa. Memang dia sudah perasan tentang sikap Umairah yang agak aneh semenjak dua menjak ini. Sejak pulang dari kampung halaman gadis itu beberapa hari lalu, Umairah jelas kelihatan cuba mengelakkan diri darinya. Malah Umairah sudah tidak mesra seperti dahulu? Adakah dia sudah buat sesuatu yang menyakitkan hati Umairah tanpa sedar?

“ Mai malas nak masak hari ni... abang kalau lapar pergilah makan dekat luar, tak pun masak la maggie yang ada dekat dapur tu. Mai dah makan.” Tingkah Umairah cukup selamba tanpa rasa bersalah. Habis sahaja menutur barisan ayat itu, daun pintu biliknya ditutup rapat meski pun si suami masih lagi tegak berdiri. Perasaan Ifran bertambah keliru, dia yakin dan pasti memang ada yang tidak kena dengan diri Umairah. Wanita itu kelihatan cukup dingin dengannya semenjak dua menjak ini. Tapi tak apa, untuk sementara waktu ini dia akan perhatikan dahulu segala ragam Umairah dan akan dicari dimana kesilapan yang telah dilakukan.


Jam dinding sudah menunjukkan pukul 10 malam. Umairah enak bersantai diruang tamu sambil menonton cerita yang dia sendiri tidak tahu judulnya di kaca televisyen. Sekali-sekala terbit keluhan yang tidak putus-putus dari mulutnya. Hampir setiap minit matanya mengerling pada jam didinding.

“ mana If ni? Pukul berapa baru nak balik?” soal Umairah pada diri sendiri. Hatinya mula berbaur kerisauan. Bukan apa, selalunya kalau Ifran pulang lambat jejaka itu akan memberitahunya terlebih dahulu. Tidaklah dia tertunggu-tunggu. Umairah jeling jam didinding lagi. Makin risau perasaannya, mula pelbagai andaian tidak elok melayar dibenaknya. Umairah capai telefon tangan yang diletakkan diatas meja kopi yang terletak diruang tamu, ditilik telefon tersebut sekiranya Ifran ada menghantar mesej mahu pun membuat panggilan kepadanya. Namun sayang, sekeping pun mesej mahu panggilan tak dijawab diterima dari suaminya itu. Perasaan tidak keruan itu buat Umairah bingkas berdiri lalu berjalan mengukur ruang tamu. Terfikir-fikir diminda sama ada perlu atau tidak dihubungi suaminya. Umairah bergerak ke biliknya, diambil tudung segera yang sentiasa bersangkut dibelakang daun pintu lalu disarung ke kepalanya. Tanpa buang masa, langkah kaki dibuka dan diaturkan ke halaman rumah. Kerisauan yang melampau membuatkan Umairah mengambil keputusan untuk menunggu Ifran diluar rumah.

 Setelah menutup daun pintu rumahnya, Umairah segera melabuhkan punggungnya diatas kerusi kayu yang sememangnya tersedia di laman rumahnya. Tak sampai 2 minit punggungnya panas dikerusi kayu, dia bingkas berdiri semula memandang di sekitar jalan di kawasan perumahannya itu. Kot-kot Ifran sudah pulang. Namun jiwanya kembali hampa, langsung tiada tanda-tanda Ifran bakal tiba tak lama lagi. Umairah kerling jam yang melilit kemas dipergelangan tangannya. Melihat jam itu terus ingatannya teringatkan kenangan sewaktu jam berpasangan itu dibeli oleh Ifran 2 minggu yang lepas. Kenangan yang cukup manis baginya sepanjang tempoh perkahwinannya dan Ifran. Mungkin cukuplah kenangan ini menjadi penemannya setelah bergelar janda tidak lama lagi. Dia tahu dia tidak boleh terus menerus pentingkan diri sendiri, hubungannya dan Ifran perlu ditamatkan dengan kadar segera dan cinta Atikah dan Ifran patut dipaut kembali.

“ sayang tunggu abang ke?” desis Ifran yang tiba-tiba muncul disebelah Umairah. Entah bila lelaki itu memandu masuk kereta ke halaman rumah pun Umairah tidak pasti. Umairah tatap wajah Ifran yang sudah melabuhkan diri diatas kerusi batu yang disediakan dihalaman rumah. Riak penat yang terlukis diwajah jejaka itu mendatangkan rasa simpati. Namun, dia tahu inilah masa yang paling sesuai untuk terus membakar hubungan mereka.

“ tahu pun abang yang Mai tengah tunggu abang... kenapa abang tak mesej Mai kalau nak balik lambat? Abang ingat Mai tunggul dekat rumah ni?” bentak Umairah kasar. Sengaja dia mencurah minyak kedalam bara yang sudah ada didalam hubungannya dan Ifran. Dia yakin lagi pasti, tidak lama lagi pasti Ifran akan meluat dengan sikapnya sekaligus menceraikannya. Ifran terkedu dengan amarah Umairah yang tiba-tiba. Matanya menatap dalam-dalam wajah bengis Umairah.

“ abang minta maaf Mai... telefon abang habis bateri. Tak sempat nak beritahu Mai yang syarikat abang ada meeting hari ini.” Pujuk Ifran lembut. Masih cuba bersabar dengan Umairah yang jelas masih bersikap aneh. Masuk hari ini sudah 5 hari Umairah melancarkan perang dingin kepadanya sedangkan dia langsung tidak tahu dimana silapnya. Seingatnya, langsung tiada perbuatan mahu pun kata-kata terakhir yang mengguriskan hati sang isteri. Tetapi kenapa Umairah melayannya cukup kasar dua tiga menjak ini. Apa yang Umairah marahkan sebenarnya?

“ ooo... abang meeting sorang-sorang jer ke dekat pejabat tu? Tak reti nak pinjam telefon orang lain? Mai ni bukan tunggul dalam rumah ni, Mai pun banyak lagi perkara nak kena buat, nak kena fikir. Abang jangan nak fikir pasal diri abang sorang jer boleh tak?” Seranah Umairah lagi. Matanya terjengil memandang kearah Ifran agar lelaki itu nampak amarahnya saat ini bukan dibuat-buat. Ifran merengus kasar, makin kurang sabarnya melayan karenah Umairah yang makin pelik semenjak dua menjak ini. Rasanya sudah tiba masanya dia berbincang dari hati ke hati dengan Umairah. Dia sudah tidak betah melihat tingkah Umairah yang aneh. Umairah seperti menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya!

“ Mai... abang tengah penat ni. Boleh tak Mai tolong faham sikit keadaan abang macam mana? Kan abang dah minta maaf!” Ifran turut sama melempiaskan amarah. Geram juga hatinya melihat tingkah Umairah yang sesedap hati memarahinya atas kesilapan yang tidak sebesar mana. Lagi pun bukankah dia sudah minta maaf dan menerangkan hal yang sebenar.

“ Mai jer yang nak kena faham abang, tapi abang langsung tak nak faham perasaan Mai.” Tempelak Umairah kurang senang. Matanya langsung tidak berganjak dari wajah Ifran, cuba melawan pandangan suaminya. Biar lelaki itu tahu bertapa marahnya dirinya saat ini meskipun semua itu hanyalah lakonan semata-mata. Dia sengaja cari masalah dengan Ifran, dia sengaja menaikkan darah Ifran agar lelaki itu membencinya, memandangnya dengan jelik dan menghilangkan rasa bersalah yang mungkin ada dihati suaminya untuk menceraikannya suatu hari nanti. Ifran renung lama wajah Umairah yang kelihatan berang, perlahan-lahan satu keluhan kasar dilepaskan. Dia tahu dengan pergaduhan pasti tidak akan berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi saat ini. Dia tahu amarah Umairah kerana kelewatannya bukanlah kemarahan yang sebenar. Dia tahu Umairah marahkannya atas sebab yang lain, sebab yang dia sendiri tidak tahu.

“ Mai marah abang pasal apa sebenarnya?” suara Ifran mula mengendur. Riak garang diwajah Umairah masih lagi ada, langsung tidak beransur hilang. Kini Umairah memandang kearah lain, tidak sudi memandang wajahnya lagi.

“ abang tanya pulak... Mai marah sebab abang balik lambat dan tak telefon Mai langsung untuk beritahu sepatah dua yang abang akan balik lewat malam ni.”

“ bukan tu maksud abang... abang nak tahu kenapa Mai asyik nak marah-marahkan abang dua tiga menjak ni. Mai dingin sangat dengan abang sejak kita balik kampung baru-baru ni. Sekarang Mai bukan sahaja tak masak, malah segala pakaian dan keperluan abang langsung Mai tak ambil peduli. Mai jauh berbeza dengan Mai yang sebelum ni. Kenapa ni Mai? Apa yang Mai nak marah dengan abang sebenarnya?” panjang lebar soalan yang sudah lama berlegar difikiran Ifran diluahkan. Ifran tidak peduli, malam ini segala masalah antaranya dan Umairah perlu diselesaikan. Dia nak tahu apa yang sedang mengganggu benak Umairah.

“ sejak bila pulak tugas isteri kena masak, basuh baju dan gosok baju semua tu? Mai isteri abang bukannya orang gaji!”tingkah Umairah sinis. Langsung wajah Ifran dihadapannya saat ini dipandang. Dia lebih rela berpeluk tubuh dan memandang kearah lain. Dirinya tidak kuat untuk terus menerus mencari pasal dengan Ifran.

“ Jadi Mai marah abang sebab kena buat semua tu? Mai rasa diri Mai macam orang gaji? Macam tu?” Ifran mengembalikan lebih banyak persoalan kepada Umairah. Untung sambut timbul segala salah faham yang berlaku antara mereka berdua dapat diselesaikan dengan kadar segera. Umairah diam tak berkutik. Mencari-cari jawapan yang lebih pedas untuk sakitkan hati Ifran.

“ kalau Mai tak suka semua tu kenapa tak bincang dengan abang... abang boleh faham, dan abang boleh tolong kalau Mai nak suruh abang buat apa-apa. Tapi janganlah pendam perasaan sakit hati Mai sampai hubungan kita jadi hambar macam ni. Lepas ni abang janji, semua kerja rumah kita akan bahagi. Kita buat sama rata!” janji Ifran sekaligus cuba melembutkan hati isterinya. Tersedar kekhilafannya sendiri yang membiarkan Umairah melakukan segala urusan rumah tangga tanpa bantuannya sedangkan mereka berdua sama-sama sibuk bekerja. Umairah diam lagi. Tidak tahu bagaimana caranya untuk terus menyakitkan hati Ifran seterusnya membuatkan jejaka itu membencinya.

“ sekarang apa lagi yang Mai tak puas hati dengan abang? Mai luahkan jer semuanya agar abang boleh faham dan baiki mana yang patut.” Minta Ifran tatkala melihat tiada riak gembira terukir diwajah Umairah meski pun dia baru sahaja selesai mengayam janji. Pada amatannya, bebanan menguruskan rumah tangga bukanlah salah satu faktor yang membuatkan Umairah sakit hati dengannya. Kalau betul Umairah marah kerana hal itu, pasti wanita itu sudah terpujuk dengan janji yang baru dilafazkan sebentar tadi.

“ Mai dah bosan hidup dengan abang... Mai nak abang ceraikan Mai.” Jawapan tanpa perasaan dari Umairah bagaikan halilintar membelah jantung Ifran. Terpana dirinya sekejap dengan kata-kata Umairah yang terlalu berat untuk diterima akalnya.

“ Umairah!” teriak Ifran tegas. Menjengil matanya melihat reaksi bersahaja isterinya yang langsung rasa tidak bersalah setelah menuturkan kata-kata yang tidak disukainya.

“ tolong jangan sebut perkataan tak elok macam tu... abang tak nampak pon apa masalah rumah tangga kita sekarang ni sampai Mai perlu sebut perkataan macam tu.” Keras suara Ifran sekali lagi memarahi Umairah agar isterinya itu tidak mengulangi kesilapan itu lagi. Matanya membulat memandang wajah santai Umairah yang langsung tidak terkesan dengan amarahnya.

“ suka hati abanglah nak kata apa pon... tapi Mai tetap nakkan perpisahan antara kita. Mai dah penat hidup dengan abang.” Sela Umairah tanpa rasa gentar. Kali ini ditatap anak mata Ifran dengan riak paling yakin. Sebolehnya dia mahu Ifran nampak dirinya serius dengan keinginan yang disampaikan saat ini. Ifran terkesima. Makin risau perasaannya saat ini apabila melihat kesungguhan Umairah yang inginkan perpisahan.

“ Mai... apa yang abang dah buat sampai Mai cakap macam ni?” tanya Ifran masih belum mengerti. Apa yang sudah dilakukan pada Umairah sampai wanita itu berubah sepenuhnya. Bukankah baru beberapa hari lalu Umairah mengakui perasaannya cintanya yang tidak berbelah bagi tetapi kenapa waktu ini Umairah berubah mendadak. Sudah hilangkah perasaan cinta Umairah padanya?

“ abang tak cintakan Mai... abang cintakan Tikahkan.” Luah Umairah cukup yakin. Air muka Ifran berubah mendadak. Tidak senang dengan tuduhan yang Umairah lemparkan padanya.

“ Mai merepek apa ni... kan abang dah cakap...”

“ tak... abang masih cintakan dia. Mai yakin, jauh disudut hati abang masih ada nama dia. Mungkin abang keliru dengan perasaan abang pada Mai.” Potong Umairah sekaligus mematikan bicara Ifran.

“ Mai tak percayakan cinta abang ke?” lirih sahaja suara Ifran buat Umairah terdiam memikir sejenak. Timbul rasa sebak yang mula menguasai diri. Namun kali ini dia perlu kuat, apa yang dilakukan saat ini adalah untuk Ifran jua. Dia yakin lagi pasti perasaan sayang pasti masih ada dihati Ifran terhadap Atikah. Cuma dia sahaja yang menjadi penghalang cinta antara kedua pasangan itu. Mungkin cinta Ifran beralih arah kepadanya kerana kecewa dengan penolakkan Atikah yang tidak mahu jadi orang ketiga dalam perkahwinannya dan Ifran.

“ untuk pengetahuan abang Mai kahwin dengan abang sebab Mai bencikan Tikah. Mai rampas abang dari Tikah sebab Mai sakit hati kerana dia dah rampas kasih sayang abah dari Mai, ibu dia rampas kasih abah dari ibu Mai. Mai nak dia rasa bagaimana perasaan sakitnya apabila kasih orang yang disayang dirampas. Tapi sekarang Mai dah sedar, apa yang berlaku bukan salah Tikah malah Tikah memang berhak dengan apa yang diambil dari Mai. Mai menyesal sekarang sebab sakitkan hati dia, Mai menyesal sebab dah rampas abang dari dia dan sekarang Mai nak kita kembali seperti sediakala seperti mana disaat abang dan Tikah masih bercinta dan Mai hanyalah kawan baik abang dan Tikah.” Jelas Umairah dengan nada yang rendah. Saat ini matanya tidak lagi merenung bening mata Ifran yang kelihatan terkedu dengan bicaranya. Umairah tarik nafas dalam-dalam, dia memohon pada Allah agar diberi kekuatan dalam diri untuk menempuhi saat perpisahan antaranya dan Ifran yang semakin menjemput. Dia juga mahu kuat untuk bertegas dalam keputusan yang sudah dibuat.

“ jadi sekarang bila Mai dah menyesal dengan kesilapan Mai yang lalu, Mai nak abang kembali pada Tikah, macam tu?” soal Ifran inginkan kepastian. Umairah angguk kepalanya. Langsung matanya tidak menyapa sinar mata Ifran. Hatinya sudah tidak betah, malah entah sampai bila dia boleh bertahan dihadapan Ifran.

“ abang ni tak ada nilai ke dihati Mai? Bila Mai bencikan Tikah, Mai rampas abang dari dia. Bila Mai dah menyesal, Mai nak pulangkan abang semula pada Tikah? Kenapa semua keputusan yang Mai buat mesti berkait dengan Tikah? Mai langsung tak peduli perasaan abang yang dah macam barang boleh di pass sana sini.” Desis Ifran dengan nada yang cukup terkilan. Tergamaknya Umairah buat dia macam ni, apa Umairah langsung tiada hati padanya? Umairah renung wajah Ifran yang kelat dihadapannya. Kolam matanya sudah mula dipenuhi air hangat.

“ Mai buat semua ni untuk abang juga. Mai dah seksa hati abang dengan memisahkan abang dan Tikah. Sekarang, abang dan dia boleh bersama kembali, bukankah itu yang abang nak selama ini. Mai tahu dalam hati abang masih ada nama Tikah. Mai tahu abang masih sayangkan dia. Cinta abang pada dia terlalu dalam, hampir 3 tahun abang pertahankan cinta abang pada dia sedangkan abang terima Mai hanya kerana kecewa dengan penolakkan cinta Atikah. Kalau abang ceraikan Mai, Tikah pasti akan terima abang semula sebab abang bukan suami orang, abang bukan suami Mai lagi.”

“ Jadi Mai memang tak pernah percayakan cinta abang pada Mai la?” kata-kata dari Umairah dibalas dengan persoalan. Suasana antara mereka sunyi untuk seketika, Umairah diam berfikir, dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dijawab dengan soalan Ifran. Ifran pandang Umairah lama, dia masih tidak sangka nama Atikah masih lagi menjadi peneraju utama dalam perkahwinannya dan Umairah. Jelas lagi nyata Umairah hanya menerima cintanya sebelum ini kerana Atikah dan apabila wanita itu mula menyesal dengan kesilapannya terus cintanya juga ditolak.

“ satu je abang nak tanya... apa perasaan Mai yang sebenarnya terhadap abang? Kalau Tikah tak wujud diantara kita, apa sebenarnya yang Mai rasa pada abang?” tambah Ifran sekali lagi. Umairah telan liur satu persatu, lama matanya berbalas pandang dengan mata Ifran. Timbul rasa sayang yang tak berbelah bagi pada suaminya itu namun semua itu sudah tidak penting lagi. Dia tak mahu terus menerus menjadi manusia yang mementingkan diri sendiri. Ifran pasti lebih berbahagia bersama Atikah kerana wanita itulah dicintai suaminya selama ini. Bukan dia! Dia hanyalah suatu persinggahan disaat hati jejaka itu kecewa, tidak lebih dari itu. Melihat kebisuan Umairah buat hati Ifran hancur luluh, tanpa tunggu lama langkah longlai diatur menuju ke pintu rumahnya. Dia sudah tidak mampu untuk terus mengadap wajah Umairah yang cukup kejam mempermainkan perasaannya selama ini.