IKLAN NUFFNANG

Friday, January 29, 2016

NOVEL PENDEK: CINTA BAB 1

Ainna menolak perlahan daun pintu biliknya yang kini sudah mula dikongsi bersama sang suami yang baru dinikahi pagi tadi. Hatinya dilanda pelbagai rasa, gementar, takut, cemas, namun sedikit sebanyak rasa gembira turut terpalit disanubari. Dia dan suami bukanlah berkahwin atas dasar cinta, mahu pun suka sama suka tetapi atas pilihan keluarga masing-masing. Bagi dia isu kahwin atas pilihan keluarga bukanlah suatu isu yang besar, cukuplah dia percaya akan pilihan ibubapanya seterusnya suaminya ini bukanlah hak milik sesiapa. Tanpa berfikir lama, dia terus sahaja menerima lamaran keluarga suaminya. Itu kisah 3 bulan yang lalu, kini mereka sudah disatukan dengan satu ikatan yang suci iaitu tali perkahwinan.

Ainna pandang belakang tubuh suaminya yang tegap disisi tingkap. Jejaka itu seakan tidak sedar kehadirannya saat ini. Lama Ainna merenung suaminya yang ralit dengan telefon bimbit ditelinga. Nafas ditarik panjang agar rasa gementar yang kian memuncak dapat dihilangkan.

“ Sayang…. Sayang tahukan abang sayangkan sayang. Perkahwinan ni bukan untuk abang, tapi untuk kita. Percayalah sayang.” Luah Izzat bersungguh-sungguh pada telefon yang digemgam saat ini. Ainna yang tegak dibelakang tertelan liur, nyaris dia tersedak. Rasa gementar baru sahaja mahu menghilang kini timbul kembali. Kali ini perasaan itu turut membawa rasa ingin tahu yang meluap-luap.

“ isteri nombor 1, nombor 2, nombor 3 dan seterusnya tak penting, tak bermakna sayang. It just a number. Apa yang penting abang sayangkan sayang. Kalau abang tak kahwin dengan perempuan ni, keluarga abang tak akan benarkan abang kahwin dengan sayang. Apa guna kita bercinta bertahun-tahun, apa guna kasih sayang abang pada sayang kalau kita tak boleh bersama. Percayalah cakap abang, abang kahwin dengan dia hanya untuk dapatkan kebenaran dari ibu dan abah untuk abang kahwin dengan sayang.  Abang hanya cintakan sayang, bukan perempuan tu.” Tegas Izzat lagi memujuk kekasih hati di talian sana. Ainna kepal jemari, perlahan-lahan jemari itu dibawa kedada untuk lalu diurut dadanya yang terasa cukup perit waktu ini.

“ sayang, walaupun sayang hanya jadi nombor 2 lepas ni itu tak bermakna kasih sayang abang terhadap sayang jatuh tempat ke dua. Abang tetap akan cintakan sayang, sayang tetap nombor 1 dihati abang. Dia tak akan dapat cantas kedudukan tu, trust me sweetheart. Dan dia hanya akan jadi isteri sahaja, isteri diatas kertas. Tak lebih dari itu.” Pujuk Izzat setelah diam hampir beberapa minit. Penat berdiri mengadap tingkap yang terbuka itu, Izzat mengubah cara kedudukan. Dipusingkan badannya yang tinggi lampai untuk mara ke katil pengantin. Matanya membulat, terkesima sekejap tatkala memandang wajah isteri yang baru dinikahinya sedang merenung tajam kearahnya.

“ abang call sayang semula lepas ni…” cepat-cepat talian dimatikan setelah sedar kehadiran si isteri. Izzat simpan telefon tangannya kedalam poket seluar. Dia cuba berlagak selamba meski pun didalam hati hanya Allah sahaja yang tahu. Ainna masih seperti sebelumnya. Merenungnya seperti singa yang kelaparan.

“ awak dah dengarkan tadi perbualan saya dengan kekasih saya.” Izzat memulakan bicara. Rasa debar dan  takut yang bermain didalam dada disimpan kemas-kemas agar rasa itu tidak keluar dan memalukannya. Dia bukan takutkan Ainna, apa yang dia takut adalah tembelangnya kini sudah pecah dan bakal diketahui oleh ibu bapanya dan juga ibu bapa Ainna.

“ Jadi ini sebab awak kahwin dengan saya?” Soal Ainna meski pun  tahu soalan itu sudah punya jawapannya.  Wajah tak bersalah Izzat dipandang dalam-dalam. Meluap-luap rasa amarah yang kini semakin tidak dapat dibendung lagi. Terasa maruahnya sebagai seorang wanita kini berada dibawah tapak kaki sang suami sahaja.


“ dah tu? Awak ingat saya kahwin dengan awak sebab jatuh cinta pandang pertama? Naifnya awak. Patutlah senang-senang je terima lamaran keluarga saya.” Bidas Izzat seolah-olah sengaja menuang minyak kedalam api yang marak.  Ainna cuba kawal penafasan yang terasa sesak didalam jiwa. Perasaannya yang hancur luluh, kecewa, geram dan terhina buat bibirnya terkunci. Dia hilang kata-kata untuk memaki hamun Izzat dek rasa yang terlampau banyak bermain diminda. tanpa fikir panjang, Ainna membuka langkah untuk keluar dari biliknya. Biliknya yang dulu terasa luas kini semakin sempit. Dia mula sesak nafas dengan biliknya sendiri. Melihat Ainna mahu pergi meniggalkannya buat Izzat cepat-cepat menarik tangan si gadis. Tubuh gadis itu kembali terhenti dari menghayunkan langkah. 

“ Apa lagi awak nak cakap…” keras suara Ainna. Langsung wajah Izzat yang dirasakan kacak sebelum ini tidak dipandang. Dia tidak rela untuk memandang wajah lelaki yang baru sahaja meletakkan maruahnya dibawah tapak kaki. dia geli, dia jijik.

“ pastikan hal ini tak sampai pada pengetahuan ibu dan abah kita.”


“ kalau sampai jugak macam mana? Kau nak buat apa dengan aku?” soal Ainna seakan-akan cuba mencabar kesabaran Izzat.  Matanya masih lagi tepat pada dinding bilik sendiri. Langsung tiada hati untuk memandang wajah Izzat yang menyakitkan hati. Izzat terdiam, dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan agar mulut isterinya mampu ditutup. Tanpa buang masa, Ainna tarik kuat tangannya yang berada dalam genggaman Izzat. Terus langkah diatur untuk keluar dari bilik yang terasa cukup asing buatnya saat ini.