BAB 46
Umairah melepaskan keluhan panjang, ditarik dalam-dalam
nafas agar jiwanya yang bergelora dapat ditenangkan dengan kadar yang segera.
Namun semua itu tidak berhasil, dia langsung tidak berjaya mencapai ketenangan
yang dicari. Masuk hari ini, sudah 3 hari dia dan Ifran hidup seperti orang
asing. Mereka tidak berbual antara satu, kalau berpapasan masing-masing hanya
menayang wajah kosong tanpa perasaan. Kini, mereka tidak lagi makan bersama,
berbual mahu bercakap. Rumah tangganya dan Ifran betul-betul sudah sampai
diambang kemusnahan. Memikirkan semua itu mendatangkan rasa kecewa dan sedih
yang sudah tidak terkira dihati Umairah, namun dia tidak boleh berbuat apa-apa.
Bukankah semua itu keinginannya, segala rancangan yang diatur berjalan sangat
lancar malah lebih licin berbanding yang diingini.
“ sekarang kau menyesal ke dengan keputusan yang kau dah
buat tu?” cetus suara Zizie sekaligus menyedarkan Umairah dari ingatannya
terhadap suami tercinta. Terus bebola matanya menjamah segenap wajah Zizie yang
kelihatan tenang dihadapannya. Kalau diikutkan, Zizie cukup marah dengan
keputusan yang diambil. Namun gadis itu tidak boleh berbuat apa-apa, dia hanya
mampu menasihati dirinya.
“ aku tak menyesal pun Zie... aku akan lagi menyesal
kalau aku terus dengan sikap pentingkan diri sendiri aku ni.” Luah Umairah
lemah. Jus oren yang terhidang dihadapannya disedut perlahan, cuba
menghilangkan dahaga yang mula terasa.
“ tak menyesal konon, tapi muka tu dah macam orang mati
laki jer aku tengok.” Bidas Zizie selamba. Dia bukannya mahu menyakitkan hati
Umairah, dia cuma nak Umairah sedar dan fikir masak-masak dengan segala
tindakan yang sedang diambil. Dia tahu Umairah cukup sayangkan Ifran tetapi
kerana rasa berdosa terhadap Ifran dan Atikah atas kesilapan masa lalunya
membuatkan Umairah terdetik untuk menarik diri dalam perkahwinannya sendiri.
“ kalau ikutkan hati aku ni memang la sedih. Aku memang
sayangkan Ifran tu tapi untuk terus halang Ifran bersama dengan orang yang dia
cintai pasti akan buat aku lebih sedih. Lagi pun ini sahaja cara untuk aku
tebus kesalahan yang aku dah lakukan pada Tikah. Sebab aku dia dah kehilangan
orang yang dia paling sayang, kerana aku dia dan Ifran berpisah. Bukankah aku
sepatutnya kembalikan kebahagiaan yang sememangnya hak milik mereka berdua?”
luah Umairah tatkala sedar Zizie belum lagi mahu menyokong segala keputusannya
saat ini. Wajah Zizie yang sedang menatap wajahnya dipandang lama-lama.
“ itu aku tahu Mai... aku tahu yang kau buat semua ni
untuk kembalikan semula cinta antara mereka tapi kau yakin ke semua ni dapat
mengembirakan Ifran dan Atikah?” duga Zizie dengan riak tenang.
“ tak ada sebab diorang tak gembira dengan keputusan aku
ni Zie... If dan Tikah saling mencintai, pasti diorang suka dengan pengunduran
aku ni.”
“ macam mana kau tahu If masih sayangkan Tikah? Kalau dia
sayangkan Tikah kenapa dia nak serius dengan perkahwinan korang sebelum ni?”
Zizie melempar soalan lain pula. Semua itu adalah untuk membuatkan Umairah
lebih berfikir tentang perasaan Ifran yang sebenar, bukan sekadar memandai
mengandaikan perasaan jejaka itu.
“ aku yakin jauh disudut hatinya masih lagi sayang pada
Tikah. Dia terima aku pun sebab kecewa dengan Tikah yang tak pernah terima dia
semula selepas kahwin dengan aku. Masa dia serius dengan aku pun dia masih lagi
ambil berat dan sayangkan Tikah.” Jelas Umairah perlahan. Ingatan teringatkan
tragedi di kedai buku Popular kira-kira seminggu yang lalu. Masih diingat
kata-kata Ifran bahawa dia sendiri yang mempelawa Atikah untuk hantar gadis itu
pulang sekaligus meneman ke kedai buku. Apa maksud itu semua kalau bukan kerana
Ifran masih lagi ada perasaan yang berbekas dihatinya terhadap Atikah. Sejak
dari kejadian itu lagi Umairah sudah mengesyaki perasaan suaminya yang sebenar.
“ kau yakin?” soal Zizie inginkan kepastian. Riak wajah
sendu yang terlukis diwajah Umairah ditatap dalam-dalam. Simpati dia kepada
teman baiknya ini namun dia tidak boleh berkata apa-apa lagi kalau Umairah
sudah berkeputusan. Umairah angkat kelopak matanya lalu memanah pandangan
kedalam anak mata Zizie. Perlahan-lahan kepalanya diangguk mengiakan persoalan
temannya itu.
“ kalau dah macam tu kata kau, aku tak boleh nak kata
apalah Mai...” sambung Zizie akhirnya. Perlahan-lahan jemari Umairah yang
terletak diatas meja itu dielus dan digenggam erat, dia mahu memberi sepenuhnya
sokongan pada teman rapatnya itu. Mungkin ini sahaja yang dia mampu lakukan
untuk redakan kelukaan dihati Umairah.
“ kau tak payah simpati pada aku Zie... apa yang berlaku
saat ni memang penyakit yang aku sendiri cari. Padanlah muka aku yang tergamak
rosakkan kebahagiaan orang.” Tingkah Umairah lembut. Dia tak nak Zizie
bersimpati dengan nasibnya sedangkan apa yang dirasai saat ini adalah kesan
dari sikap kejamnya pada teman baik sendiri. Selayaknyalah dia mendapat balasan
sebegini.
“ sudahlah tu ungkit kesilapan lalu kau. Lepas ni kau
minta maaf pada Tikah dan Ifran. Kemudian kau teruskanlah hidup macam biasa.
Lupakan segala tragedi yang pernah berlaku antara korang bertiga.” Pujuk Zizie.
Tangan Umairah digosok lembut. Jauh disudut hatinya masih mendoakan
kesejahteraan perkahwinan Umairah dan Ifran namun siapa dia untuk melawan
takdir sekiranya Allah sudah tetapkan jodoh Umairah dan suaminya hanya setakat
itu sahaja. Umairah tersenyum nipis, walaupun wajahnya penuh kedukaan namun dia
cukup senang dengan nasihat dan sokongan dari Zizie yang tak pernah surut
untuknya.
“ pang!” dentuman kaca berkecai diatas lantai menyinggah
ke gegendang telinga Umairah yang baru sahaja menolak daun pintu biliknya.
Serentak itu badannya cepat-cepat menuju kearah tempat yang mengeluarkan bunyi
tersebut. Umairah terpana seketika, matanya membulat apabila melihat tangan
Ifran yang kemerah-merahan terkena air panas. Tanpa buang masa cepat-cepat
Umairah kearah suaminya yang sedang menahan sakit akibat tangannya melecur.
“ kenapa ni bang?” soal Umairah pantas sambil menyentuh
lembut jemari Ifran yang terkena air milo panas yang baru siap dibuat. Perasaan
risaunya semakin menggebu apabila melihat jemari suaminya itu mula
kemerah-merahan. Ifran yang sedang menunduk mengangkat wajahnya. Tanpa
mempedulikan kehadiran Umairah, dia segera bingkas berdiri dan membasuh
tangannya dengan air paip agar rasa pedih yang menyengat itu berjaya
dihilangkan. Umairah turut berdiri, dia segera ke biliknya untuk mendapatkan
sebotol losyen baby yang dipakai. Mungkin dengan menyapu losyen kurang sikit
bengkak pada tangan suaminya itu.
“ Mari Mai sapukan losyen.” Tegur Umairah tatkala Ifran
sudah mara bergerak menuju kebiliknya. Lengan Ifran ditarik lembut agar langkah
lelaki itu terhenti. Ifran menoleh seketika kearah Umairah, langsung riak
wajahnya mengukir senyuman pada isterinya itu.
“ tak payah nak tunjuk baik dekat sini... Mai kan tak
sayang abang. Mai peduli apa kalau tangan abang kudung sekali pun!” Jerkah
Ifran lantang. Lengannya yang berada dalam genggaman Umairah direntap kasar.
Tanpa buang masa Ifran segera bergerak menuju kebiliknya lalu dibenamkan diri
dalam kamar tersebut. Umairah terkulat-kulat dengan amarah Ifran namun dia
terpaksa menerimanya. Dia tahu Ifran tidak suka diperlakukan seperti barang mainan
yang boleh ditolak kesana dan ke mari namun apa yang cuba dilakukan itu
sebenarnya untuk kebahagiaan Ifran juga. Ifran pasti lebih bahagia bersama
Atikah kerana wanita itulah yang paling dicintai suaminya.
Setelah melihat
Ifran hilang disebalik kamarnya, Umairah mula mengatur langkah ke dapur. Dia
mahu mengemas kaca yang bertaburan diatas lantai dek cawan yang berisi air milo
itu terhempas. Satu persatu kaca itu dikutip dan dimasukkan ke dalam penyodok
sampah. Namun secara tidak sengaja tangannya terluka dek serpihan kaca yang
dilanggar secara tidak sengaja. Umairah ketap bibirnya kuat. Setitik demi
setitik air matanya mengalir membasahi pipi. Bukan kerana sakit pada tangannya
tetapi rasa sebak dan terluka mengenangkan situasi hubungannya dan Ifran saat
ini. Dia tak boleh nafikan lagi isi hatinya, sayangnya pada Ifran terlalu
dalam, cintanya terhadap Ifran terlalu tinggi dan kasihnya terhadap Ifran
terlalu mewangi. Rasanya tak mungkin untuknya melupakan jejaka itu.
“ abang... Mai sayang sangat pada abang. Kenapa kita
mesti bertemu macam ni? Kenapa ikatan kita terhasil secara begini. Kalaulah
abang bukan milik Tikah, mesti Mai takkan sesekali lepaskan abang pada
mana-mana perempuan lain.” Rintih Umairah dengan air mata yang sudah mula
membanjiri wajahnya. Dia tidak peduli dengan air matanya itu, dia tidak kisah
dengan sakit di jemarinya, apa yang dia tahu perkahwinannya dan Ifran semakin
hampir pada penghujungnya.
“ kalaulah Mai boleh undurkan masa, Mai akan mengaku
perasaan Mai masa abang acah-acah luahkan perasaan semasa kita berkawan dahulu,
Mai akan usaha dapatkan cinta abang sebelum Tikah ambil hati abang dan Mai akan
buat abang sayangkan Mai lebih daripada Tikah. Tapi sekarang semuanya dah
terlambat, Mai dah lakukan kesalahan besar yang tak mungkin mengembalikan abang
dalam hidup Mai.” Luah Umairah lagi.
Tangannya sudah lama berhenti dari
mengutip kaca-kaca yang masih lagi bertaburan. Darah dijarinya pun sudah mula
kering. Namun air matanya yang hangat masih lagi laju meluncuri kedua belah
pipinya. Ifran yang berada disebalik pintu dapur hanya memandang ratapan
Umairah dalam diam. Bukan dia tidak tahu Umairah sayang padanya, bukan dia
tidak tahu kasih Umairah padanya menggunung tinggi tetapi hatinya tetap terluka
dengan sikap Umairah. Wanita itu sanggup meragui cintanya yang tidak berbelah
bagi, Umairah juga sanggup mengambil keputusan tanpa berbincang dengannya dan
apa yang paling utama dia cemburukan Atikah.
Umairah seringkali utamakan Atikah
dalam setiap perkara, dalam setiap keputusan yang diambil sedangkan Umairah
tidak pernah berfikir pun tentang perasaannya yang kecewa dengan segala
keputusan yang sudah dibuat. Mungkin orang lain akan tertawa dengan sikapnya
yang cemburukan isteri sendiri dengan wanita lain tetapi itulah yang dirasai
saat ini. Bagi Umairah, Atikah lebih penting dari suaminya sendiri. Semuanya
jelas terpancar dari tindakan Umairah.
Umairah meliarkan matanya disekitar taman rekreasi yang
cukup mendamaikan jiwanya. Perlahan-lahan nafas yang ditarik dihembus perlahan
demi menenangkan jiwanya. Entah kenapa waktu ini timbul rasa gementar yang
cukup mengganggu perasaannya. Seolah-olah kehadirannya saat ini untuk meluahkan
rasa cinta yang tak terperi. Mata Umairah kembali menjamah pergelangan tangan
sendiri, jam ditangannya menunjukkan pukul 9.55 minit pagi. Masih lagi awal 5
minit daripada masa yang dijanjikan. Mungkin dek rasa gemuruh yang melampau
buat dirinya tiba lebih awal dari masa yang dijanjikan. Tak lama selepas itu,
Umairah ternampak seorang wanita yang cukup anggun dengan blous dan skirt labuh
yang dipadankan dengan shawl yang dililit kemas pada kepala datang
menghampirinya. Tertelan air liur Umairah dibuatnya dek rasa debar yang kian
menggongcang jiwa.
“ Assalamualaikum...” sapa si jelita dengan senyuman yang
mekar dibibir. Umairah jawab salam perlahan bersama senyuman yang agak kejung.
Dia bukan tidak sukakan wanita ini namun pergaduhan antara mereka yang
berlangsung hampir 3 tahun lamanya mengundang rasa canggung dalam diri.
“ kau apa khabar Mai... lama tak jumpa dengan kau.” Soal
Atikah berbasa-basi. Dia turut berdebar waktu ini setelah hampir 3 tahun
hubungannya dan Umairah terputus. Namun waktu ini dia cukup gembira, Umairah
sudah mula menunjuk tanda-tanda positif untuk kembali menjalinkan persahabatan
dengannya.
“ Alhamdullilah sihat.” Jawab Umairah pendek. Kepalanya
buntu, mindanya tepu dan mulutnya bisu untuk terus berbual mesra dengan Atikah.
Tercari-cari idea didalam benaknya bagaimana untuk memulakan bicara. Lama
suasana antara mereka menyepi, masing-masing tidak tahu untuk ke topik utama.
“ Tikah...” panggil Umairah lembut setelah segala
keberanian berjaya dikumpulkan. Wajah menawan Atikah dipandang lama, bersedia
untuk meluahkan segala isi hati yang sudah lama dipendamkan. Atikah diam
sahaja, tidak menyahut. Hanya matanya sahaja membalas renungan Umairah.
“ Maafkan aku sebab dah sakitkan hati kau, dah lukakan
hati kau dan rampas Ifran daripada kau.” Minta Umairah dengan wajah yang mula
menunduk. Ada rasa malu dan sebak merantai hatinya namun dia tahu segalanya
perlu diselesaikan hari ini.
“ aku tak tahu pun yang kau kakak kandung aku, aku
ingatkan kau kakak tiri aku yang cuba rampas kasih abah daripada keluarga aku.
Aku tak sangka kau dan mak kau lebih teruk merana dari aku dan keluarga aku.
Aku ingatkan emak kau yang rampas abah dari ibu tapi rupanya aku silap. Kami
yang rampas abah dari kau dan mak Uda. Maafkan aku Tikah. Aku menyesal sangat
dengan apa yang aku dah buat pada kau.” Luah Umairah lagi. Kini tangannya sudah
mencapai jemari Atikah agar wanita itu dapat merasa keikhlasan dari bait-bait
ucapan maaf yang dipinta. Atikah senyum nipis, kolam matanya sudah mula sarat
dengan air hangat. Hanya menanti waktu untuk melimpah keluar sahaja.
Perlahan-lahan Atikah tarik badan Umairah ke pelukkannya. Digosok lembut badan
adik kandungnya itu.
“ aku dah maafkan kau Mai... lagi pun apa yang berlaku
bukan salah kau seratus peratus. Memang aku bersalah, aku yang pentingkan diri
sendiri. Memang aku sengaja merebut kasih abah untuk sakitkan hati kau.”
“ tak Tikah... kau tak merebut kasih abah tapi kau memang
berhak untuk dapat kasihnya. Kau dah berpisah dengan abah lebih 18 tahun,
memang patut abah sayangkan kau dan mak Uda lebih dari kami sekeluarga. Aku
yang salah sekarang ni, kalau aku tak ikutkan sangat perasaan cemburu aku pasti
kita takkan bergaduh dan kau tak akan berpisah dengan Ifran.” Tekan Umairah
lebih tegas. Dia tak nak Atikah salahkan diri sendiri hanya kerana mahu memujuk
hatinya. Dia tahu apa yang berlaku sepanjang tempoh 3 tahun ini adalah salahnya
seratus peratus.
“ sudah la tu Mai. Kita lupakan je la semua tu. Kita
mulakan hidup baru, kita teruskan persahabatan kita yang dah terputus tu dan
kuatkan lagi dengan ikatan adik beradik yang baru terbina ini.” Balas Atikah
tenang. Pelukan antaranya dan Umairah dileraikan, wajah Umairah yang lencun
dengan air mata dipandang dengan senyuman. Tak terucap syukurnya didalam hati,
akhirnya Umairah kembali semula kepadanya.
“ untuk tebus kesilapan aku pada kau, aku sanggup
bercerai dengan If. Mungkin ini sahaja yang aku boleh lakukan untuk kebahagiaan
kita bertiga.” Tambah Umairah perlahan. Atikah tercengang dengan cadangan
Umairah yang kedengaran tidak wajar dipendengarannya. Terus matanya membulat
merenung riak tenang Umairah.
“ bercerai? Kenapa kau nak bercerai dengan dia, Mai?”
“ mestilah aku kena bercerai dengan dia, kalau tak macam
mana kau dengan dia nak bersama. Kita mana boleh bermadu!” sempat Umairah
berlucu. Atikah tak terkesan dengan lawak bodoh Umairah, ditatap tajam wajah
selamba Umairah meski pun dia boleh nampak ada sinar duka dimata gadis itu. Ah
Umairah, aku kenal sangat perangai kau. Mungkin orang lain kau boleh tipu tapi
tidak aku!
“ kenapa aku nak kena bersama semula dengan dia?” duga
Atikah bersahaja. Soalan dari Atikah mendatangkan senyuman tawar dibibir
Umairah. Matanya kini tidak lagi memandang kewajah temannya itu tetapi sudah
beralih pada kehijauan di taman rekreasi tersebut.
“ kau lupa atau buat-buat lupa Tikah... Ifran milik kau.
Aku yang jadi penghalang antara kau dan dia. Aku yang rampas Ifran dari kau
untuk sakitkan hati kau dan sekarang aku sedar semua tu bukan salah kau. Jadi,
sekarang dah tiba masanya aku lepaskan Ifran. Kau dan dia saling mencintai dan
aku adalah orang ketiga dalam hubungan korang berdua. Ifran pun masih lagi
cintakan kau.” Jelas Umairah satu persatu. Dia cuba berlagak setenang mungkin
agar Atikah tidak menaruh simpati. Dia tak nak kerana kesian, Atikah sanggup
korbankan kebahagiaannya sendiri. Atikah mengeluh kecil, jemarinya menyentuh
lembut jemari Umairah.
“ aku dan dia tak mungkin bersama... kami dah putus
sepenuhnya.”
“ korang berpisah sebab aku adalah isteri dia tapi tak
lama lagi semua tu akan berakhir Tikah. Kau dan dia boleh bersama kembali,
menganyam cinta korang yang tak berkesampaian sebelum ini.”
“ tak Mai... aku dan dia tak boleh bersama bukan sebab
kau isteri dia! Tapi sebab cinta Ifran dah tak ada pada aku. Dia cintakan kau!
Dia sayangkan kau, bukan aku.” Umairah diam, tak terkata dengan jawapan Atikah.
Baru sahaja mulutnya dibuka untuk membantah pendapat temannya itu, Atikah
datang menghantar peluru yang baru pula.
“ Ifran sayangkan kau sejak korang berkawan baik lagi.
Aku tahu Ifran cintakan kau dari dulu lagi tapi sebab aku terlalu sayangkan
dia, aku sanggup bohong perasaan kau pada dia dan perasaan dia pada kau.
Padahal masa tu aku tahu korang saling sayang menyayang. Kau tahu sebab apa aku
berbaik-baik dengan abah lepas mak aku kahwin dengan abah?” soal Atikah buat
Umairah memikir. Namun, tiada jawapan yang keluar dari bibir mungil wanita itu.
“ aku sengaja buat abah lebih sayangkan aku sebab aku cemburukan
kau dengan Ifran. Aku nak sakitkan hati kau. Padahal masa tu aku kekasih dia,
tapi dia selalu utamakan kau. Aku tahu walaupun kami sedang bercinta, tapi
hatinya masih ada untuk kau. Dia terima aku pun atas dasar rasa bersalah sebab
dah bagi aku harapan palsu.” Jelas Atikah buat mulut Umairah semakin melopong.
“ lagi pun Ifran sendiri tolak cinta aku baru-baru ni.
Bukan aku yang tolak dia. Katanya, dia cintakan kau dan dia tak nak menyesal
sebab lepaskan kau macam dulu lagi. Kalaulah ada istilah perampas antara kita
bertiga, akulah yang sebenarnya merampas Ifran dari kau Mai.” Tutur Atikah
lagi. Umairah yang mendengar segala bait bicara Atikah hanya mampu menumpahkan
air mata.
“ tak Tikah... kau bukan perampas. Kau memang memiliki
Ifran dengan cara yang betul. Cuma aku yang bodoh dan lembab ambil tindakan
sehinggakan Ifran beralih arah pada kau.” Tingkah Umairah bersama lelehan air
mata yang kian laju membasahi pipi.
“ sudahlah tu Mai. Tak payah la kita ungkit cerita lapuk
semua tu. Sekarang kita fokus tentang masa depan sahaja. Kau teruskanlah
perkahwinan kau dan Ifran sebab korang berdua saling mencintai. Jangan
sia-siakan cinta korang berdua hanya sebab rasa bersalah atau simpati pada aku.
Aku ni bukanlah sebaik yang kau fikir, aku juga pentingkan diri sendiri macam
orang lain. Jadi kau tak payah nak rasa bersalah sangat.” Nasihat Atikah
perlahan. Dia berharap sangat dengan kata-katanya ini akan membuatkan Umairah
berubah fikiran seterusnya melupakan niatnya untuk bercerai dengan Ifran.
“ Maafkan aku sekali lagi Tikah... walau apa pun yang
terjadi antara kita bertiga memang salah aku. Memang itulah faktanya saat ini.”
“ tak perlulah kita cari siapa salah, siapa betul Mai.
Yang penting sekarang ni kita dah berbaik semula. Hubungan kita dah pulih seperti
sebelum ini. Itu yang penting. Tentang perkara yang lepas anggaplah kita
sama-sama ada bahagian dalam hal tu.” Sambung Atikah lagi. Umairah mengangguk
perlahan. Dalam diam dia gembira kerana kekusutan antara dia dan Atikah
akhirnya terungkai jua.
No comments:
Post a Comment