IKLAN NUFFNANG

Sunday, August 31, 2014

tetap kau yang satu bab 13

Bab 13

Umairah masuk ke kelas agak lewat berbanding masa yang telah dijadualkan. Dipanjangkan leher untuk mencari wajah Zizie. Kebiasaannya Zizie akan menanda tempat duduknya namun tidak untuk kali ini. mungkin Zizie juga kelewatan membuatkan gadis itu tidak sempat untuk menandakan tempat bagi mereka berdua. Umairah mencari kerusi kosong yang lain dan matanya bercahaya apabila ternampak satu kerusi yang tidak berpenghuni. Hanya kerusi itu sahaja yang satu-satunya masih lagi kosong. Namun semua itu hanya bertahan untuk seketika, tak sampai beberapa detik wajah ceria Umairah bertukar kelat. Matanya terpandang batang tubuh yang duduk disebelah kerusi tersebut. Kenapa mesti dia?

‘oh my god! Tak hadamlah pelajaran aku hari ini.’ desis Umairah didalam hati. Wajahnya sudah berubah masam, sakit hati terus menjelma tatkala wajah Ifran terlayar di pandangannya. Melihat wajah itu terus peristiwa menyakitkan hati kira-kira seminggu yang lalu kembali melayang dimindanya. Masih diingat rasa sakit pada pipinya dicampur rasa sakit dihatinya dek tamparan Ifran. Memang dia cukup terkilan dan geram mengingatkan semua itu. Namun, nak tak nak dia tiada pilihan lain. Langkah terpaksa diatur jua menghampiri kerusi yang belum berpenghuni itu. Umairah cuba berlagak tenang dan selamba. Dia tidak mahu orang lain sedar apa yang bermain dihatinya saat ini meski pun tiada siapa yang ingin tahu apa yang difikirkan. Dihenyakkan punggung disebelah Ifran dengan riak tanpa perasaan. Ifran yang menyedari kehadiran Umairah mula tayang wajah mencuka.

‘tak payah tayang muka buruk macam tu la brader! kau fikir aku kebulur sangat nak duduk sebelah kau?’ bentak Umairah didalam hati. Tidak mungkin sekali untuk dia mencari gaduh dengan Ifran didalam kelas mereka sedangkan Dr.Ahmad sedang memberi ilmu.

“ tak payah tayang muncung itik... kau ingat kau cun buat muka macam tu?” tempelak Ifran dengan suara perlahan. cukup untuk didengari Umairah yang sedang terkocoh-kocoh mengeluarkan buku dan pen. Umairah menjeling tajam kearah Ifran, sakit hati sungguh dia mendengar bicara tidak sopan Ifran padanya. ada sahaja idea lelaki ini untuk menyakiti hatinya.

“paku dulang paku serpih... mengata orang kau yang lebih!” bidas Umairah geram. Turut sama menggunakan intonasi yang sama seperti Ifran. garang namun perlahan!

“ kelas dah nak habis baru nampak muka... baik tak payah masuk kelas.” Sindir Ifran sinis. Belum puas mengutuk isterinya itu. Dia merenung tepat wajah Umairah yang sudah kemerah-merahan. Marah barangkali dikutuk sebegitu. Matanya sempat menyerling pada pipi Umairah yang kelihatan agak kebiru-biruan, timbul rasa gusar jauh di sudut hatinya. Tangannya yang sedang memegang pen biru itu dikepal kemas menahan rasa kurang senang yang mula merantai dihati.

“aku masuk kelas lambat ke awal ke... ada aku susahkan kau? yuran U aku, kau bayar ke?” herdik Umairah dengan riak yang dibengiskan. Matanya terjengil kearah Ifran yang tayang wajah sinis. Riak Ifran saat ini seperti ingin dikakikan sahaja.

“ orang masuk kelas lambat memanglah tak tahu apa-apa... aku yang masuk awal inilah kena tadah telinga pasal kau yang suka masuk lewat. Kau tahu apa?” Ifran tak nak kalah. Memandai sahaja dia mereka cerita asalkan mulut Umairah dapat ditutup daripada membalas kata-katanya.

“both of you... Ifran dan Umairah! Kalau kamu nak bercinta, bercinta dekat luar. bukan dalam kelas saya!” Sergah Dr. Ahmad dengan mata yang mencerlung kearah Ifran dan Umairah yang sibuk bergaduh antara satu sama lain. Pelajar-pelajar lain yang sedang tekun menimba ilmu tersentak mendengar tempikan suara Dr.Ahmad yang tiba-tiba. Terus mereka semua membuang pandang kearah Ifran dan Umairah dengan senyuman nakal.

“diorang tu suami isteri dr...” jerit Zakwan, kawan Ifran sambil tersengih. Beberapa teman lain tergelak kecil dengan kata-kata Zakwan. Wajah Umairah sudah mula hangat, malu dipersendakan didalam kelas. Sempat dia menjeling marah kearah Ifran. menyalahkan jejaka itu dengan apa yang berlaku saat ini.

“ooo patutlah. Umairah dan Ifran, saya minta kamu berdua bersabar sikit. Lagi 15 minit kelas akan tamat dan kamu boleh bersayang-sayang selepas itu.” sindiran pedas menyengat daripada Dr.Ahmad buat wajah Ifran dan Umairah terasa pijar. Malu dan segan bercambah dihati mereka. Masing-masing diam membukam, hanya mampu menunduk tanpa sebarang suara mahupun bantahan.


Umairah melepaskan keluhan kasar sambil menghempas perlahan buku rujukan yang dibawa keatas peha saat dirinya sedang menanti bas. Mulutnya sedikit terjuih menahan rasa geram yang bercambah didalam hati.
‘tak guna punya Ifran! saja memalukan aku dalam kelas tadi. tak pasal-pasal semua orang gelakkan aku.’ bentak Umairah didalam hati. Kakinya dihentakkan kuat pada lantai demi meluahkan rasa amarah yang mencengkam. Dia tak peduli pandangan mata yang melihatnya dengan renungan yang aneh. Dia tidak kisah semua itu asalkan rasa perit dihati dapat dihemburkan dengan kadar segera.

“panjangnya muncung... kenapa ni?” tegur Haikal yang tiba-tiba sahaja muncul entah dari mana. Tanpa dijemput dia duduk disebelah Umairah yang menayang wajah mencuka.

“tak ada apa-apalah Haikal... awak pon nak naik bas ke? Mana motorsikal?” soal Umairah sambil mengalihkan topik perbualan mereka. Malas dipanjang kisah didalam kelas tadi. memalukan dirinya sendiri adalah!

“motorsikal tak ada minyak...” tutur Haikal mudah. Umairah yang mendengar jawapan Haikal sekadar menganggukkan kepalanya. Matanya kembali ralit pada jalan raya, tercari-cari imej bas yang belum kunjung tiba. Haikal yang selesa di sisi Umairah merenung gadis itu dalam-dalam. Mula terasa degupan jantungnya kian laju. Indahnya dunia ini sekiranya Umairah jadi miliknya... tapi kenapa Umairah mesti menjadi milik Ifran yang terang-terangan tidak mencintai dia? Haikal menghela nafas perlahan. lemah sendi-sendi badannya memikirkan kenyataan Umairah adalah isteri orang.

“kenapa awak pandang saya macam tu? ada apa-apa ke pada muka saya?” cetus Umairah tatkala sedar dirinya menjadi mangsa renungan Haikal. diraba setiap inci wajahnya untuk membuang kotoran yang tidak sepatutnya. Haikal tersedar dari lamunan. Sedikit terperanjat apabila disergah Umairah.

“tak ada apa-apalah... Cuma saya rasa sayang tengok orang lembut macam awak...” kata-kata Haikal tergantung. Tidak tahu bagaimana untuk menyambung bait bicara yang belum lengkap sempurna. Umairah memandang pelik kearah Haikal. kurang jelas dengan kata-kata jejaka itu.

“ apa yang awak cuba beritahu? Saya tak fahamlah.”

“awak...” sekali lagi suara Haikal tersekat dicelah kerongkong. Wajah Umairah dipandang lama.

“ ye?” soal Umairah ringkas. Ternanti-nanti bicara Haikal yang cukup mendatangkan rasa ingin tahu dalam dirinya. Haikal tarik nafas panjang. Sedaya upaya dicari ketenangan dalam meluahkan rasa yang tersimpan.

“awak tak bahagia dengan perkahwinan awakkan? Awak dan Ifran tidak cinta antara satu sama lain... betul tak?” akhirnya Haikal meluahkan rasa yang sudah tersimpan sejak beberapa hari lalu. riak wajah Umairah berubah. Terperanjat besar dengan telahan yang dibuat oleh temannya.

“awak merepek apa ni Haikal? tak adalah. Saya dengan dia okey je.”

“awak tak payah tipu sayalah Mai. Saya tahu awak tak bahagia dengan dia. Saya tahu dia ada perempuan lain selain awak dan saya juga tahu awak tak cintakan dia.”

“stop it Haikal... itu urusan peribadi saya dan saya mohon awak tak payah nak masuk campur hal rumahtangga saya. Just mind your own bussiness.”

“jadi betullahkan kata-kata saya tadi tu yang awak ada masalah dengan Ifran?” duga Haikal seolah-olah cuba mencabar emosi Umairah. Wajah Umairah yang sudah kemerah-merahan menahan amarah dipandang.

“kalau saya ada masalah rumahtangga sekali pun, apa kaitan dengan awak? Saya susahkan hidup awak ke? Tolonglah Haikal... saya anggap awak sebagai kawan rapat saya tapi itu tak bermakna awak senang-senang nak masuk campur urusan rumahtangga saya. Kalau awak anggap saya kawan, tolonglah jangan nak usik hal peribadi saya. Tolong hormat perasaan saya.” Marah Umairah berapi-api. Matanya mencerlung kearah Haikal agar lelaki itu faham bertapa dia benci manusia-manusia yang menyibuk dalam urusan hidupnya.

 “ kata-kata awak sekarang membuktikan yang rumahtangga awak sedang goyah... Mai saya...”

“sudah! Awak tak faham bahasa ke Haikal. saya tak suka bincang tentang hal ni. awak faham tak?” melengking suara Umairah. Dadanya turun naik menahan perasaan geram dengan sikap terlebih cakna Haikal. tanpa menunggu lama, Umairah bergegas pergi meninggalkan Haikal. dia rela naik teksi yang mahal daripada berlama-lama mengadap Haikal yang suka mencabar kesabarannya.

“Mai...” Jerit Haikal. langkah diatur mengejar Umairah yang sudah jauh kedepan. Umairah tidak mempedulikan panggilan Haikal.

“ saya cintakan awak! Saya sayangkan awak sangat-sangat dan kalau boleh saya nak awak bercerai dengan suami awak! Dia bukan lelaki yang sesuai untuk awak.” Luah Haikal dengan suara yang kuat. Dia sudah tidak peduli dengan mata-mata yang memandang mahu pun telinga-telinga yang mendengar luahan perasaannya itu tadi. apa yang dia tahu hatinya terlalu sayangkan Umairah dan dia nak bersama Umairah! Langkah Umairah yang panjang itu terkaku sekejap. Terperanjat besar mendengar luahan perasaan Haikal yang tidak disangka-sangka. Umairah tarik nafas dalam-dalam untuk tenangkan perasaan yang menggila. Tanpa membalas bicara cinta Haikal, Umairah terus melangkah pergi.




Umairah menghempaskan tubuhnya diatas katil bujang yang terletak didalam bilik yang dikongsi bersama seorang lagi pelajar lain. Matanya ditutup rapat untuk merasa nikmat rehat yang belum dirasai untuk hari ini. perlahan-lahan tenaganya yang berkurang mula kembali meresap keseluruh tubuhnya, menyegarkan dirinya yang cukup kepenatan. Duduk termenung begini buat Umairah terkenangkan kata-kata Haikal sebentar tadi. Sungguh dia tidak terduga Haikal akan berkata sebegitu.

“ Haikal... Haikal...” seru Umairah dengan matanya yang sudah terbuka luas. Putaran kipas pada siling biliknya direnung lama.

“ kalau kau tahu sikap aku yang sebenar mustahil kau akan luahkan perasaan kau tu. Aku tak cukup baik untuk kau dan aku juga bukannya bujang. Kau patut dapat yang lebih baik daripada aku.” Tingkah Umairah lagi dengan suara yang rendah. Pipinya yang masih terasa perit dek tamparan Ifran kira-kira seminggu yang lalu digosok perlahan. Setelah hampir 10 minit berbaring diatas katil, Umairah mula bingkas bangun untuk membersihkan diri. Rasa melekit disegenap tubuhnya membuatkan dirinya lekas-lekas ingin mandi dan berehat.

 Sebelum menghilangkan diri ke bilik air, dia sempat mencapai beg galasnya untuk mengeluarkan telefon yang ditetapkan kepada mod senyap semasa didalam kelas tadi. Takut juga sekiranya ada sebarang panggilan penting mahu pun mesej yang diterima dan belum dibaca. Sedang menggagau beg sandang, tangannya tercapai sekeping surat yang dilipat kemas terselit didalam beg sandang tersebut. Dahinya mula membentuk beberapa lapisan.

“ surat apa pulak ni? Surat cinta ke?” bisik Umairah sambil membuka lipatan kertas misteri itu. hatinya berteka-teki dengan isi kandung surat tersebut. Timbul rasa gemuruh untuk membaca nukilan-nukilan yang bersemi di dada kertas kajang itu.

“ tuam pipi kau dengan ais.” Tinta ringkas itu dibaca dengan dahi yang berkerut. Umairah mengeluh kecil selepas membaca sebaris ayat pada surat tersebut.

“ cis! Ingatkan surat apalah. Baru nak berangan ramai peminat. Siapa pulak bagi surat ni dekat aku? Tulisan macam familiar, tapi siapa? Zizie kot!” Umairah bersoal jawab sendiri. Tanpa tunggu lama nota ringkas yang diperolehi itu dikepal dan dicampak kedalam tong sampah sebelum badannya menghilang ke bilik air.



“ hoi... romantik juga yer kau ni.” Sergah Umairah bersama tepukan lembut dibahu Zizie yang sedang ralit menyiapkan tugasan. Dia kemudiannya membuka beg sandangnya lalu mengeluarkan beberapa buah buku rujukan dan buku nota untuk menyiapkan tugasan yang tertangguh. Zizie yang khusyuk mengadap kerjanya terperanjat dengan teguran Umairah yang tidak semena-mena itu. terus matanya mengerling kepelikkan kearah Umairah.

“ romantik? Kau merepek apa pulak ni Mai oii.” Tingkah Zizie tidak mengerti. Pen dijarinya diletakkan diatas meja, matanya kini fokus pada wajah tenang Umairah.

“ Romantik la sebab kau bagi aku surat cinta... sejak bercinta dengan Rashid ni bukan main lagi kau yer. Main surat-surat pulak.” Usik Umairah dengan sengihan nakal. Laptop yang baru dikeluarkan di ‘on’kan. Sebentar lagi dia mahu mencari sedikit rujukan daripada internet. Mendengar usikan tak berasas Umairah membuatkan kerutan didahi Zizie kian bertambah. Makin pelik pula dia mendengar bicara teman baiknya ini.

“ surat apa pulak ni? Cuba kau cerita dekat aku dengan jelas sikit. Otak aku ni dah la jem mengadap assignment ni, kau pulak datang menambahkan kesesakkan dalam otak kecil aku.” Umairah ketawa kecil dengan balasan Zizie, kelakar melihat reaksi kabur temannya itu.

“ ish kau ni... lampi sungguh! Semalamkan kau ada bagi aku surat suruh aku tuam muka dengan ais. Ayatnya pendek saja, kertasnya bukan main besar. Buang tebiat apa bagi surat dekat aku ni.” Omel Umairah dengan senyuman kecil dibibir. Zizie kerutkan dahi yang sememangnya sudah berkerut. Digaru kepalanya yang tidak gatal.

“ kau biar betul Mai... mana ada aku bagi kau surat. Tak ada kerja aku nak bagi kau surat-surat ni, daripada aku hantar surat baik aku mesej jer kau. Kau betul tak betul hari ni? Ke kau mimpi?” bidas Zizie selamba. Senyuman yang bertali arus dibibir Umairah mati. Kali ini kepalanya pula digaru meski pun tidak gatal.

“ hah? Bukan kau ke yang bagi aku surat semalam? Dah tu siapa?” soal Umairah lebih kepada menyoal dirinya sendiri. Zizie angkat bahu, dia pun tidak tahu menahu hal itu.

“ Haikal kot...” teka Zizie setelah diam untuk beberapa saat. Umairah yang mendengar nama Haikal terbit dimulut Zizie berubah riak. Terus mindanya diasak dengan luahan cinta jejaka itu padanya. wajahnya memerah untuk seketika.

“ ish bukan dia la... tulisan dekat kertas tu kemas, familiar je aku tengok. Macam tulisan kau. Tulisan Haikal tak cantik, comot!” bantah Umairah seterusnya menolak telahan yang dibuat oleh Zizie.

“ kalau macam tu aku tak tahulah... kau ada bawa tak surat tu? Mari aku kaji sikit.”

“ kertas tu aku dah buang dah pon...” jawab Umairah ringkas. Zizie mengeluh kecil, tiada daya lagi untuk membantu menyelesaikan misteri surat layang yang diterima Umairah.

“ entah-entah peminat kau... sejak dah kahwin ni makin laku pula kau ni yer.” Giat Zizie dengan ketawa senang. Umairah turut bergelak namun dikawal nadanya memandangkan mereka kini berada didalam perpustakaan.

“ aku ni bukan lepas kahwin jer laku, sebelum kahwin pon laku jugak. Kau jer yang tak tahu.” Desis Umairah menambah perisa. Zizie mencebik mulutnya, tidak mahu menerima jawapan perasaan tak ingat Umairah.

“ perasan! Sebut pasal tuam muka, baru aku ingat nak tanya kenapa dengan muka kau tu? Kau bergaduh dengan siapa sampai lebam pipi tu?” soal Zizie kehairanan. Matanya sempat memandang kearah lebam di pipi Umairah yang sudah beransur-ansur hilang. Umairah kaget sekejap. Terkedu dengan soalan Zizie yang tiba-tiba. Cepat-cepat otaknya dikerah untuk mencari jawapan yang terbaik kepada Zizie.

“hmmm... pipi aku ni lebam sebab terlanggar meja.” Tipu Umairah dengan gaya sehabis selamba. Zizie membulatkan matanya! Aneh sekali jawapan Umairah.

“ terlanggar meja? Macam mana?”


“ kau tahu kan bilik aku macam mana. Tepi katil tu ada meja kan... pagi tu aku mamai, tak perasaan ada meja. Itu pasal terlanggar.” Jelas Umairah dengan yakin. Zizie sekadar mengangguk-angguk tanda mengerti. Menerima bulat-bulat jawapan yang disangka logik dari Umairah. Melihat anggukan itu membuatkan Umairah mampu menarik nafas lega. Nasib baik Zizie tak syak apa-apa. Kalau tak susah pulak nak terang satu persatu masalah yang dihadapinya dengan Ifran.

Tetap Kau Yang Satu bab 12

Bab 12

Haikal menyedut sirap limau yang masih berbaki separuh didalam gelasnya perlahan-lahan. Wajah Zizie yang sedang menatapnya dipandang. Satu nafas panjang ditarik dalam-dalam. Cuba menyalurkan oksigen keseluruh organ dalamannya agar dirinya lebih tenang dan tenteram.

“jadi... kenapa tetiba je kau nak jumpa aku?” cetus Zizie setelah hampir 5 minit menanti Haikal membuka mulutnya. riak gelisah Haikal dipandang dengan rasa ingin tahu. Otaknya berteka-teki setiap kemungkinan persoalan daripada Haikal.

“aku nak tanya kau sesuatu dan aku harap kau boleh jujur dengan aku Zie...” Haikal memulakan mukaddimah bagi perbualan antaranya dan Zizie petang itu. tangannya mula berkeringat, ada rasa debar memenuhi segenap ruang jiwanya. Zizie angkat kening kanannya. Meminta Haikal menyambung bicara yang masih tergantung. Terbit juga rasa aneh dengan kata-kata Haikal yang mencecah dicuping telinganya.

“ aku tahu Mai dah kahwin dan aku dah kenal suaminya tu yang mana satu... macam kau cakap suaminya tu budak kursus korangkan...” Zizie yang mendengar kata-kata Haikal sekadar mengangguk... mengiakan segala fakta yang sememangnya benar.

“so?” pantas Zizie bertanya.

“hmmm... hmmm...” Haikal teragak-agak untuk berkata. Tidak pasti betul atau tidak caranya kali ini. Zizie mengerutkan dahinya licinnya. Makin bosan dengan sikap Haikal yang tergagap-gagap.

“apa yang hmmmnya? Cakaplah cepat!” gesa Zizie agar Haikal berterus terang apa yang sedang mengganggu gugat perasaannya kini. Naik menggelabah pulak dirinya melihat tingkah Haikal yang resah gelisah.

“Mai dengan suaminya tu ada masalah ke?” soal Haikal terus. Itu sahaja bentuk persoalan yang mampu difikirkan saat ini. Zizie yang sedang menyedut teh aisnya nyaris tersedak. Terbatuk-batuk kecil dek pertanyaan Haikal.

“apa kau cakap ni Haikal... tak adalah. Memandai jer kau ni kan.” Tipu Zizie. Masih lagi cuba melindungi situasi perkahwinan Ifran dan Umairah. Dia tahu sekiranya soalan itu diajukan kepada Umairah, pasti itu juga yang akan dijawab gadis itu.

“Zizie... kau tak payah tipulah. Aku tahu diorang ada masalah.” Sela Haikal perlahan. Zizie gamam. Tidak pasti apa yang perlu dilakukan pada masa ini. sebolehnya dia masih mahu menjaga aib sahabatnya.

“ aku tak tipulah Haikal. memang betul pun diorang okey jer. Sudah-sudahlah tu kau berharap pada Mai. Dia dah ada kehidupan dialah Haikal. kau sebagai kawan sepatutnya mendoakan  dia bahagia, bukannya menuduhnya sedang menderita.” Pujuk Zizie sekaligus mahu menyedarkan Haikal daripada terus berharap cinta Umairah. Memang dia tahu rumahtangga Umairah dan Ifran sedang dilanda kemelut namun itu tidak bermakna Haikal dibenarkan masuk campur. Campur tangan Haikal hanya akan merumitkan lagi rumah tangga sahabatnya itu. dia tidak mahu Haikal menjadi beban kepada Umairah. Kalau betul Haikal inginkan Umairah, lelaki ini patut menunggu Umairah bukan lagi isteri orang. Itu sahaja pilihan yang ada.
Kata-kata Zizie mendatangkan ketawa dari mulut Haikal. cukup sinis ketawa itu dipendengaran Zizie.

“okey kau kata? Kalau dah main tampar menampar tu okey apa bendanya? Aku sendiri saksi suami Mai tampar Mai hanya kerana kekasihnya tu. apa lagi alasan kau kali ni nak tipu aku?” perli Haikal geram. Sakit pula hatinya apabila Zizie terang-terangan cuba menipunya. Zizie gamam sekali lagi. Peluh mula merintik memenuhi dahinya meski pun suasana kini cukup berangin. Dia sudah tidak tahu bagaimana untuk berdalih lagi.

“asal kau diam? Betulkan tekaan aku yang Mai ada masalah dengan suami dia.” Tempelak Haikal dengan wajah yang cukup puas. Zizie bermain jari sendiri. Makin senak pemikirannya mendengar bicara Haikal yang menyakitkan hati. Dipanjangkan otak untuk membalas kata-kata berbisa Haikal.

“aku sayangkan Mai sepenuh hati aku Zie... aku cintakan dia sungguh-sungguh. Aku tak sanggup nak tengok dia merana dengan lelaki yang tak tahu nak hargai dia. Kau sebagai kawan dia takkan sanggup tengok Mai menderita dengan perkahwinan dia yang tidak bahagia. Dia patut cari kebahagiaannya sendiri dan yang pasti kebahagiaanya bukan dengan suaminya kini!”

“kau mana tahu kebahagiaan Mai bukan dengan suaminya sekarang? kau tuhan nak tentukan semua tu?” bidas Zizie setelah berdiam hampir beberapa minit.

“memang aku bukan tuhan untuk tentukan semua tu tapi dekat celah mana nak bahagianya kalau si suami sendiri terang-terangan curang depan mata. Lagi pun, Mai tu sendiri seolah-olah tak ada perasaan pada suaminya.”

“so? Buat apa kau beritahu aku semua ni?”

“ aku beritahu kau semua ni sebab aku nakkan sokongan kau... pujuk Mai bercerai dengan suaminya dan tolong aku dapatkan cinta Mai.” Jelas Haikal dengan jujur. Suaranya kini sudah mula mengendur. Kini riaknya pula berubah, dipandang wajah Zizie dengan penuh harapan.

“oh no no no... aku tak nak bersubahat dengan kau untuk runtuhkan masjid Mai. Never!” tegas Zizie menolak mentah-mentah permintaan Haikal yang kedengaran merapu pada corong telinganya.

“perkahwinan macam tu memang patut diruntuhkanlah Zizie... untuk apa berkahwin kalau si suami dan isteri benci antara satu sama lain? Menzalimi antara satu sama lain? Itu bukan perkahwinan yang dianjurkan dalam Islam.” Haikal cuba memujuk temannya. Berharap dengan sokongan Zizie peluang untuk dia mendapatkan Umairah lebih cerah.

“ diorang baru kahwin Haikal... beri mereka peluang untuk kenal hati budi masing-masing. Hari ini benci membenci, esok lusa belum tentu lagi. Lagi pun, takkan kau tak tahu dalam Islam sendiri melarang perbuatan goda isteri orang lain? Sedangkan ganggu tunang orang pun dah haram inikan pula kacau rumah tangga orang!” bebel Zizie. Haikal terdiam. tidak mampu mencantas bicara bernas Zizie.

“aku bukan tak nak sokong perasaan kau pada Mai tapi bagi aku urusan rumahtangga dia biarlah dia uruskan. Mai dah besar panjang, dia cukup matang untuk kemudi rumahtangganya. Kalau betul dia tidak tahan bersuamikan Ifran, pasti dia akan ambil tindakan untuk berpisah juga. Kalau kau betul nakkan dia tunggu dia bercerai dulu. Biar dia selesai segala masalah dengan suaminya, baru kau nak masuk campur.” Ajar Zizie lembut. Sebolehnya dia tak nak Haikal menjadi punca penceraian Umairah dan Ifran. perkara sebegini bukan sahaja akan memburukkan nama Haikal sahaja, malah yang turut terkenanya Umairah juga. Dia tak nak Umairah dilabel bukan-bukan hanya kerana kedegilan Haikal.

“kalau kau tak nak tolong aku tak apalah... aku akan usahakan sendiri untuk dapatkan cinta Mai.” Tegas Haikal sambil bingkas berdiri. Usai menutur pendiriannya, dia bergegas meninggalkan Zizie di restoren itu sendiri. Zizie hanya memandang pemergian Haikal dengan kepala yang tergeleng-geleng. Entah apa lagi yang patut dikatakan pada Haikal agar jejaka itu tidak meneruskan hasratnya.


Papan kekunci pada komputer riba ditekan pantas. Cuba menunjukkan kebolehannya dalam menaip tugasan yang sedang dibuat. Umairah berhenti menaip sekejap, terasa otaknya kejang untuk memikirkan barisan ayat yang seterusnya. Jari jemari yang sibuk menekan papan kekunci itu tadi kini beralih tempat. Dia menggaru-garu jerawat yang baru tumbuh pada dagu sambil benaknya bergerak laju memikirkan idea yang seterusnya. Umairah melepaskan keluhan kecil. Senak pula pemikirannya saat ini.

“hai... sibuk nampak.” Tegur Haikal yang berjaya mengejutkan Umairah yang sedang fokus pada kerjanya. Umairah urut dada dengan kasar. Berdetak kencang jantungnya dengan sergahan yang tidak semena-mena itu.

“tak reti bagi salam ke? Terkejut saya awak tau tak!” bebel Umairah dengan bibir yang sedikit muncung. Haikal hanya tersengih tanpa sebarang jawapan. Tanpa dijemput dia melabuhkan punggung didepan Umairah.

“sorang je ke? Mana Zizie?” Haikal berbasa-basi. Cuba menarik minat Umairah untuk berbual dengannya. Dalam diam dia gembira sekiranya Zizie tiada disitu. Jadi bolehlah dia berdua-duaan dengan Umairah meskipun tempat itu dipenuhi dengan pelajar lain.

“Zizie macam biasalah... keluar dengan pakwe dia. Nak buat tugasan sama-sama katanya.” Jelas Umairah. Matanya memandang wajah Haikal sekali lalu. Dia mengembalikan pandangan kearah laptop, misi menyiapkan tugasan masih belum selesai. Haikal sekadar mengangguk, mengerti segala penerangan ringkas Umairah.

“awak tak keluar dengan suami awak ke? Selalu nampak awak sorang-sorang jer, tak kenallah pulak yang mana satu suami awak. Katanya Zizie, suami awak sama kursus dengan korang.” Duga Haikal dengan senyuman yang tidak dapat dimengertikan. Mula mengorak langkah untuk menjayakan hasrat dihati. Umairah tergamam! Air liur terasa terlekat dikerongkong. Mula rasa rimas apabila isu perihal suaminya disebut-sebut. Menyebut nama Ifran, terus pipi kanan Umairah terasa ngilu mengenangkan tamparan kuat yang melekat dipipinya kira-kira seminggu yang lalu. Malah kalau diperhatikan, pipinya sedikit lebam dek tamparan tersebut. 

Nasib baik tiada orang bertanya perihal lebam kecil yang agak terserlah dipipinya itu. Mengingatkan kejadian itu buat hati Umairah menggerutu sendiri, sampai hati Ifran menamparnya hanya kerana Atikah! Umairah angkat wajahnya lalu membuang pandang kearah Haikal yang sedang menanti jawapannya. Satu senyuman tawar terukir dibibirnya.

“ Ifran ada perbincangan dengan kumpulan lain... memanglah kami satu kursus tapi kami tak satu kumpulan untuk buat tugasan. Sebab tu kami jarang bersama-sama.”terang Umairah perlahan. meskipun dia tidak faham mengapa perlunya dia menerangkan situasi palsu itu kepada Haikal namun dia terpaksa juga berkata sebegitu. Dia tidak mahu Haikal menghidu masalah rumahtangganya yang tiada kena mengena dengan pembangunan ekonomi negara. Haikal senyum didalam hati. Jelas dimatanya Umairah sedaya upaya menyembunyikan aib rumahtangganya.

“ooo macam tu. bila awak nak kenalkan saya dengan suami awak? Teringin nak jumpa jejaka yang berjaya rebut cinta awak.” Soal Haikal lagi seakan cuba mendera emosi Umairah. Wajah Umairah yang sudah berubah riak dipandang lama. Ada rasa debar setiap kali matanya menyinggah pada mata Umairah.

“ nanti ada masa saya akan kenalkan awak pada dia...” janji Umairah dengan nada yang tertahan-tahan. bibirnya diketap kuat, cuba menahan rasa yang bercampur gaul didalam jiwanya. Dia rimas, bosan dan tidak tenang untuk melayan setiap persoalan yang keluar dari mulut Haikal. dia amat berharap dengan intonasi suaranya yang dingin itu mampu menutup mulut Haikal dari berbicara perihal Ifran.

“ janji tu... macam manalah agaknya rupa Ifran tu yer dan apalah kelebihan dia sampai awak sanggup kahwin diusia muda macam ni.” Sela Haikal lagi dengan penuh bersahaja. Matanya mencuri pandang kearah Umairah yang kelihatan menahan perasaan. Umairah diam tidak berkutik. Malas melayan bicara Haikal yang mampu mengganggu gugat perasaan tenangnya. Dia pura-pura menyibukkan diri dengan buku rujukan disebelah komputer ribanya. Dibaca segala nota yang terkandung dalam buku setebal dua inci itu tanpa memahami isinya. Haikal tersengih lebar. Gembira hatinya melihat Umairah yang kelihatan tidak tenteram apabila isu suaminya diutarakan. Suasana antara mereka sunyi sepi. Umairah sibuk dengan tugasannya manakala Haikal pula sibuk menilik wajah Umairah yang sudah beransur tenang.

“awak cantiklah Mai...” seru Haikal tiba-tiba. Mula mencucuk jarum untuk menganyam cinta Umairah. Matanya tidak jemu memandang wajah Umairah yang masih menunduk mengadap buku. Umairah terkedu. Berkerut dahinya dengan pujian Haikal yang tiba-tiba. Entah ikhlas atau tidak Umairah tidak pasti.

“jangan nak mengarutlah Haikal...” tegur Umairah pendek.

“laa... puji pun salah ke.”

“Haikal... awak ni datang library nak belajar ke nak bercakap? Saya sekarang tengah sibuk dan saya harap awak tak ganggu saya.” Sedikit meninggi suara Umairah. Dia tidak gemar dengan kata-kata Haikal yang langsung tidak mendatangkan untung pada pelajarannya.

“maaflah sebab ganggu awak nak belajar. Tapi pujian saya tadi tu ikhlas. Awak memang cantik pada mata saya dan amat rugi kalau Ifran sia-siakan awak.” Tutur Haikal dengan nada yang rendah. Umairah diam tidak berkutik, malas memberi respon pada kata-kata Haikal yang tidak habis-habis mahu mengungkit nama Ifran dalam perbualan mereka. Lagi banyak dilayan lagi panjang pula perbualan tanpa faedah mereka ini nanti. Suasana antara mereka kembali sepi. Masing-masing sibuk dengan tugasan dan tanggungjawab sendiri.


“jom kita makan tengahari sama-sama...” ajak Haikal sesudah dia dan Umairah membuat tugasan di perpustakaan. Umairah yang sedang mengemas laptop dan beberapa buah buku yang digunakan mengerling jam yang melilit pada pergelangan tangannya. 10 minit lagi pukul 1 tengahari dan dia mempunyai kelas jam 2.
‘hmm sempatlah pergi makan dulu. Aku pun tak solat kejap lagi.’ Desis hati Umairah. Buku-buku yang dipegang dimasukkan kedalam beg sandang. Bersiap untuk meninggalkan perpustakaan.

“okey... jomlah.” Balas Umairah. Dipandang Haikal yang sudah siap mengemas segala alatan yang digunakan sepanjang mereka singgah di perpustakaan ini. kelihatan Haikal tersengih girang dengan persetujuannya. Setelah segala urusan selesai, Haikal dan Umairah beriringan keluar daripada perpustakaan seterusnya menuju ke kedai makan yang berhampiran.

 Masing-masing diam sahaja sepanjang perjalanan, tiada topik yang mahu dibincangkan. Mereka sama-sama menapak masuk ke kedai makan yang berhampiran. Umairah menghentikan langkahnya secara mendadak. Dari kejauhan dia dapat melihat Ifran sedang menjamu selera bersama Atikah dan beberapa lagi rakan daripada kursus mereka. Riak wajah Umairah berubah. Cemburu, geram, marah bercampur aduk didalam lipatan hatinya. Haikal yang sudah mara beberapa langkah menjauhinya dipandang. Timbul rasa risau dihati Umairah. Dia tidak mahu Haikal mengenali Ifran sekaligus mengetahui situasi sebenar rumah tangganya.

“Haikal...” teriak Umairah dengan suara yang cukup untuk didengari oleh dia dan Haikal. Haikal yang sudah kedepan beberapa tapak memandang raut wajah Umairah yang tertinggal dibelakang. Berkerut dahinya dengan panggilan daripada Umairah. Gadis bertubuh kecil itu dihampiri.

“kenapa?” soal Haikal sepatah. Kerutan didahinya masih lagi jelas kelihatan. Wajah Umairah yang resah gelisah dipandang dengan rasa ingin tahu.

“kita makan dekat kedai lainlah...”

“laa... dah kenapa pulak? Dekat sinikan lebih murah dan sedap.” Bantah Haikal tidak mengerti. Umairah menggaru-garukan tangannya yang tidak gatal. Tiada idea yang bernas untuk dijadikan alasan.

“hmm... saya bosanlah makan dekat sini. dah selalu sangat kita makan dekat sini, jom pergi kedai lainlah hari ini.” minta Umairah. Dia sudah mula mara beberapa tapak keluar dari kedai makan, berharap Haikal akan mengekori jejak langkahnya. Haikal yang melihat Umairah sudah pun bergerak meninggalkan kedai makan yang dipilih mereka sebentar tadi sekadar menurut. Tiada alasan yang kukuh untuk dia terus tinggal disitu.

“jadi awak nak makan dekat mana?” cetus Haikal apabila dia sudah berjaya menyaingi langkah Umairah. Wajah gelisah Umairah kini sudah beransur hilang.


“kita makan dekat kedai hujung sanalah... kat sana pun sedap.” Cadang Umairah lembut. Haikal sekadar mengangguk. Dia tidak kisah untuk kemana-mana apabila bersama Umairah. Dapat meluangkan masa berdua bersama Umairah pun sudah cukup bermakna buatnya.

Saturday, August 30, 2014

tetap kau yang satu bab 10 dan 11

Bab 10

“ Ini bahan yang saya dapat.” Jelas Haikal sambil meletakkan nota-nota tugasan kelas Kenegaraan diatas meja. Dia, Zizie dan Umairah telah membahagikan kerja masing-masing dalam menyiapkan tugasan dari dr.Zubaidah. Zizie mengambil nota yang terletak diatas meja dan dibaca didalam hati. Kepalanya terangguk-angguk ketika membaca isi penting nota tersebut. Setelah dibaca, nota itu diberikan pula kepada Umairah yang sedia menghulurkan tangan untuk mengambil helaian kertas itu.

“Hmmm... Padat la isi yang awak bagi ni.” Puji Umairah dengan sebaris senyuman. Haikal tersengih girang. Terdetik rasa bangga dipuji dengan kerja yang di buat lagi-lagi pemujinya adalah orang yang disayang.

“Kalau semua point dah ada, jom kita gabungkan je sekarang.” Cadang Zizie sambil mengeluarkan laptop lalu di tekan punat ‘on’. Haikal dan Umairah bersetuju dengan idea bernas dari Zizie. Masing-masing membuka laptop.

“Nak compile dekat mana?” soal Umairah pendek. Tangannya mencapai beg sandang lalu diselok beg itu untuk mendapatkan pendrive.

“Gabung kat laptop aku je la... Akukan yang kena buat slide powerpoint.” Tokok Zizie dengan mata yang mengadap laptop. Sempat lagi dia melayari internet dan melayan facebook.

“ Oiii mak cik ni... Sempat lagi dia berfacebook.” Usik Umairah sambil menepuk bahu Zizie tatkala matanya melihat Zizie asyik dengan mukabuku. Zizie ketawa kecil sambil membalas tepukan mesra Umairah.

“Biasa la orang glamour...” Balas Zizie tak nak kalah. Haikal tersenyum melihat kemesraan kedua-dua sahabat barunya. Tak dinafikan hubungan mereka semakin akrab semenjak dua menjak ini.

“Kau ada pendrive tak Haikal?” Tegur Zizie seraya menjeling Haikal yang berada disebelahnya. Haikal yang sedang mencuri pandang kearah Umairah tersentak, mula kalut apabila Zizie tersengih ke arahnya. Seolah-olah Zizie dapat menangkap tindakannya yang mencuri pandang ke arah Umairah.

“Hah?” Tanya Haikal kabur. Berharap Zizie mengulang kembali persoalannnya itu tadi.

“Kau ada pendrive tak? Kalau tak ada send by email je la kerja kau tu.” Ulang Zizie sekali lagi. Tersenyum-senyum dia melihat wajah Haikal yang kelam-kabut ketika jejaka itu galak merenung kawan baiknya. Nasib baik Umairah tidak sedar tingkah laku lelaki ini. Ahh Umairah bukannya jenis mudah perasan apa yang berlaku disekelilingnya.

“Aku send by email je la... Kejap yer.” Minta Haikal. Matanya kembali tertacap pada dada skrin laptop dihadapannya. Suasana menjadi bisu antara mereka. Masing-masing sibuk mengadap laptop sendiri.

“Nah pendrive aku.. Kau ambil dalam folder kenegaraan yer.” Suara Umairah memecah kesunyian. Zizie mencapai pendrive yang dihulurkan kepadanya sebelum disuakan kepada laptop miliknya. Perbincangan mereka berlarutan sehingga ke petang.



Zizie mengemas barang-barang miliknya yang bersepah diatas meja di perpustakaan setelah tamat sesi perbincangan kumpulan. Umairah telah lama meninggalkannya dan Haikal kerana ada urusan yang perlu diselesaikan.

“ Kau ada hati dekat Mai ke?” Terpancul soalan cepumas dari mulut Zizie disaat dirinya sibuk mengemas. Haikal yang sedang menyimpan laptop dalam beg galasnya menghentikan perbuatannya. Matanya berkalih pada wajah Zizie yang tenang memandang kearahnya.

“ Hmmm... Hmm.” Tergagap-gagap Haikal mahu meluahkan isi hatinya. Wajahnya mula hangat menahan malu. Tidak sangka Zizie boleh membaca perasaannya. Zizie melebarkan senyuman tawar. Dapat mengagak perasaan Haikal buat Umairah.

“ Putus asa je la Haikal...” Suruh Zizie demi mematahkan semangat Haikal. Mana mungkin Haikal dapat merebut hati Umairah apabila gadis itu sebenarnya isteri orang.

“Kenapa pulak? Salah ke kalau aku suka dia?” Agak keras nada bicara Haikal. Kurang senang dengan kata-kata Zizie seperti memperlekehkan perasaannya.

“Salah tu tak la...”

“Kalau tak salah kenapa tak boleh?” Potong Haikal dengan suara yang kian meninggi. Matanya merenung wajah Zizie yang sememangnya masih memandang kearahnya. Zizie mengeluh perlahan. Boleh tahan garang mamat ni! Cetus hatinya.

“ Kau akan menyesal nanti Haikal. Baik lupakan je la perasaan kau tu sebelum terlambat.” Desis Zizie lagi. Raut wajah Haikal semakin menegang.

“ Siapa kau nak tentukan aku menyesal atau tidak nanti? Kau bukan tuhan yang boleh tentukan masa depan aku!” Bentak Haikal.

“ Dia tu bini orang la Haikal. Kau tergamak ke nak runtuhkan masjid orang?” Bidas Zizie sinis. Haikal terperanjat besar. Raut wajahnya tadi yang menegang kini berubah riak. Dia kabur dan tidak mengerti dengan kata-kata akhir Zizie.

“Apa? Umairah tu isteri orang? Kau jangan main-main Zizie.”

“ Ya Allah Haikal... Buat apa aku nak main-main. Umairah tu memang isteri orang. Kalau kau tak percaya, pergi tanya dia. Takkan kau tak perasan cincin dekat jari manis dia tu?” Tegas Zizie. Tangannya yang tadi sudah terhenti dari mengemas kini kembali bergerak. Wajah Haikal berubah menjadi sayu. Macam mana dia langsung tidak tahu hati Umairah sudah jadi milik orang?

“Siapa suami dia? Student jugak ke?” Haikal sekadar berbasa-basi. Raut kecewa masih terukir diwajahnya. Zizie merenung lama wajah Haikal yang jelas terluka dengan berita yang dibawa. Tapi apakan daya, kenyataan Umairah isteri kepada Ifran tetap tidak dapat diubah.

“ Budak course kitorang. Diorang kahwin masa cuti semester lepas. Aku harap kau fahamlah dengan pesanan aku ni.” Ujar Zizie tenang. Dia bersimpati terhadap Haikal yang ternyata amat menyukai Umairah. Zizie menggalas beg sandang dan memaut kemas fail yang dibawa. Sudah bersedia untuk beredar dari perpustakaan.

“ Aku balik dululah. Assalamualaikum.” Zizie meminta diri setelah melihat Haikal hanya diam membukam tanpa membalas sebarang kata. Mungkin jejaka itu sedang mengurus hatinya untuk menerima kenyataan yang pahit untuk ditelan itu.

“ Kejap Zizie...” Panggil Haikal sambil menghentikan langkahnya dihadapan Zizie yang sudah beberapa langkah pergi meninggalkannya. Zizie menjungkitkan keningnya. Meminta Haikal menyambung kata-katanya yang masih tergantung.

“Maaf sebab marahkan kau tadi. By the way, terima kasih beritahu aku tentang perkara ni.” Ucap Haikal dengan ikhlas. Senyuman walaupun pahit tetap dilemparkan kepada Zizie yang setia memandangnya.

“ Tak pe.. Aku faham perasaan kau. Aku pun tak nak bagi kau jadi orang ketiga dalam hubungan Mai dengan suami dia.” Balas Zizie lembut. Bibirnya terukir senyuman manis. Berharap dengan senyuman mesranya itu semangat Haikal kembali pulih.



Umairah mengerutkan dahinya melihat telatah Haikal yang diam membukam sedari tadi. Asalnya, dia mahu makan bertiga dengan Haikal dan Zizie namun tidak jadi apabila Zizie keluar bersama teman lelakinya, Rashid. Jadi, tinggallah dia dan Haikal menjamu selera berdua.

“Haikal...” Tegur Umairah lembut. Sekali sekala matanya memandang pinggan nasi Haikal yang masih penuh. Lelaki itu kelihatan tidak berselera dengan menu tengahari mereka.

“Hmmm?” Gumam Haikal. Pandangannya terhenti pada wajah Umairah.

“Tak sedap ke?” Soal Umairah ringkas. Nasi berlauk didalam pinggannya sudah hampir licin dibedal. Rasanya enak seperti selalu!

“Apa?”

“Nasi awak la. Macam tak ada nafsu je nak makan.. Kenapa?” Tanya Umairah lagi. Haikal tersengih tawar. Sikap ambil berat Umairah buat jiwanya semakin merana. Kenapa mesti Umairah jadi milik orang?

“ Tak ada la...” Pendek sahaja jawapan Haikal. Umairah makin pelik dengan sikap bisu Haikal. Biasanya jejaka ini tidak begitu. Haikal bukanlah kategori banyak mulut tapi tidaklah pendiam. Mungkinkah dia tidak selesa dengan aku? Umairah mula buat andaian sendiri.

“Tak sihat ke?” Haikal menggeleng lemah dengan pertanyaan Umairah. Hatinya makin sakit dengan sikap penyayang yang ditonjolkan Umairah. Satu keluhan kecil dilepaskan Umairah. Mungkin Haikal ada masalah lain agaknya. Aku mana tahukan. Bisik hati Umairah demi mengelakkan diri dari berfikir perkara yang negatif.

“ Mai...” Seru Haikal disaat suasana antaranya dan Umairah kembali hening. Masing-masing ketandusan idea untuk berbicara. Umairah yang sedang menyedut minumannya membuang pandang kearah Haikal.

“Apa?”

“Betul ke awak dah kahwin?” Terpancul soalan yang sudah lama berlegar dibenaknya. Sudah hampir seminggu Zizie memberitahu kepadanya kenyataan itu namun baru hari ini dia berani menggagahkan diri meminta penjelasan daripada Umairah. Umairah tersedak dengan pertanyaan Haikal yang terlalu mengejut. Terbatuk-batuk dirinya demi melegakan tekak. Wajah Haikal dipandang lama, otaknya berfikir panjang jawapan yang sesuai untuk pertanyaan lelaki ini.

“ Ye.” Akur Umairah dengan kepala yang dianggukkan perlahan. Sememangnya dia tidak gemar sekiranya terlalu ramai yang mengetahui statusnya. Tapi, apa boleh buat. Sampai bila perkara ini perlu disembunyikan. Pengakuan jujur dari Umairah bagaikan belati tajam membelah dada Haikal. Perasaan kecewa kembali bertebaran disudut hatinya. Tidak sangka kini dia mendengar pengakuan itu dari mulut Umairah sendiri. Suasana antara Haikal dan Umairah kembali sunyi. Masing-masing sibuk melayan perasaan sendiri. Setelah beberapa minit berlalu mereka akhirnya berpisah selepas selesai menjamu selera.




Bab 11

Ifran mengekori langkah Atikah yang dalam perjalanan ke rumah sewanya. Senyuman kecil terukir dibibirnya apabila melihat Atikah tidak menyedari kehadirannya saat ini.

“ Surprise!” Jerit Ifran dengan nada suara yang tidak terlampau kuat. Sejambak bunga mawar merah dihadiahkan kepada Atikah yang kelihatan terkejut dengan perbuatannya. Atikah memandang sinis kearah Ifran. Langsung wajah teruja mahu pun gembira tidak terpancar pada riak wajahnya. Satu jelingan tajam dihadiahkan kepada Ifran. Rimas! Itulah rasa hatinya.

“Nah untuk awak...” Jelas Ifran sambil mengunjukkan jambangan bunga itu kepada Atikah.

“ No thank.” Tolak Atikah. Dipaparkan raut bosan dan tidak berminat dengan kehadiran Ifran didepannya kini.

“Ambil la Tikah.. Saya ikhlas berikan bunga ni kepada awak.”

“Awak tak faham bahasa ke If?” Soal Atikah. Nada suara mula meninggi melihat sikap Ifran yang tidak pernah kenal erti putus asa.

“ Tikah... Saya sayangkan awak dan saya tahu awak juga sayangkan saya. Kenapa kita perlu bergaduh macam ni?”

“ Saya tak sayangkan awak!”

“Awak sayangkan saya.” Potong Ifran pantas. Direnung sepasang mata cantik milik Atikah. Ifran cuba menyampaikan rasa hatinya melalui sinaran dari panahan mata kepada Atikah.

“ So? Kalau saya sayangkan awak apa masalahnya? Kenyataan awak suami kepada Umairah tetap tidak berubah.” Bidas Atikah keras. Panahan asmara dari Ifran buat jiwanya mula berkocak. Meronta-ronta hatinya ingin membalas cinta Ifran yang masih menggunung. Namun, cepat-cepat dia beristighfar didalam hati. Memohon kepada Allah S.W.T supaya sering melindungi perasaannya agar tidak mudah termakan pujukan Ifran. Dia perlu sedar yang dia dan Ifran tidak mungkin kembali seperti dulu lagi.

“Saya tak cintakan Umairah. Saya sanggup berpisah dengan dia untuk bersama awak!” Tegas Ifran bersungguh-sungguh.

“ Awak fikir dengan berpisah boleh buat saya terima awak kembali ke? Tak payah berangan la If! Saya sampai ke mati tak akan terima kembali awak. Tak kiralah awak bercerai ke, tak bercerai ke dengan Mai jawapannya tetap sama iaitu tak mungkin!”

“Tikah...” seru Ifran agar Atikah memahami perasaan hatinya. Direnung wajah Atikah dengan pandangan syahdu agar gadis itu dapat menyelami perasaannya yang masih cintakan dirinya.

“ Awak dah ada isteri, If. Awak patut serahkan cinta awak kepada Mai. Bukan saya!” Luah Atikah. Suaranya yang tadi meninggi kian mengendur. Dia rela hatinya hancur berkecai asalkan Umairah bahagia disamping Ifran. Kisahnya dan Ifran dah berlalu. Itu kenyataan yang pasti kini.

“Saya tak akan dapat cintakan dia Tikah dan yang penting sekarang ni saya cintakan awak. Saya tak perlukan dia dalam hidup saya malah dia juga macam tu. Tolong Tikah. Terima saya kembali. Kita sambung semula hubungan kita. Saya janji tak akan sia-siakan cinta awak lagi selepas ini.” Atikah merengus kasar mendengar balasan dari Ifran. Kenapa sukar sangat Ifran faham situasi mereka saat ini. Mereka tak mungkin bersama! Atikah merampas bunga pemberian Ifran kasar.

“Tha...” Belum sempat lagi Ifran mengucapkan terima kasih atas kesudian Atikah menerima bunganya, mulutnya kembali terkunci. Atikah membedal Ifran dengan bunga mawar dibawa sepuas hati. Sakit sungguh hatinya melihat sikap Ifran yang tidak faham bahasa.

“Awak dengar sini baik-baik If.. Saya tak akan terima cinta awak sampai bila-bila! Jadi tak perlulah awak nak berpisah dengan Mai dan tak perlulah pujuk saya lagi kerana jawapan saya tak akan berubah sampai bila-bila. Noktah!” Jerkah Atikah setelah puas membelasah Ifran dengan bunga mawar pemberian jejaka itu. Kelopak bunga mawar yang berguguran ibarat cintanya yang telah lama terkubur buat Ifran. Atikah bergegas meninggalkan Ifran sebelum jejaka itu sempat membalas kata-katanya. Dia tidak mahu terus berhadapan dengan Ifran, takut sekiranya keputusan yang sudah dibuat akan berubah kembali atas dasar kasih dan sayang yang masih mewangi dihati.





            Umairah duduk termangu didepan tasik yang cukup indah pada pandangannya. Zizie hilang entah ke mana. Katanya tadi mahu mencari air minuman. Bersendirian begini buat dia terkenangkan kehidupannya saat ini. Banyak yang telah berubah dan semuanya terlalu mendadak. Kadang-kadang dia tanya pada diri sendiri sekiranya ada rasa menyesal dengan perbuatan sendiri. Semestinya rasa kesal itu ada dalam jiwanya namun ianya tak seberapa berbanding kegembiraannya kerana berjaya menyakitkan hati Atikah.

“ Assalamualaikum...” Satu suara yang tidak asing pada pendengaran Umairah memberi salam. Baru sahaja Umairah terkenangkan gadis itu, kini sudah muncul wajah itu dihadapannya. Pantas Umairah memusingkan badan demi memandang wajah pemberi salam. Dasar perempuan tak tahu malu. Belum apa-apa lagi sumpah seranah sudah ditebarkan khas untuk wanita cantik yang didepannya didalam hati.

“ Waalaikummussalam...” Balas umairah malas. Tak kuasa dia mahu melayan gadis yang tak reti-reti dengan bahasa badan yang diutuskan selama ini. Tak fahamkah Atikah dengan sikap dinginnya selama ini. Dia benci mengadap wajah Atikah yang dirasakan sangat hipokrit itu. Konon berlagak mulia dan teraniaya.

“ Kau buat apa kat sini? Sorang je ke?” Soal Atikah. Masih mahu memancing minat Umairah yang jelas tiada minat untuk bersembang dengannya. Sebenci itukah Umairah terhadapnya. Tapi kenapa? Hati Atikah berbolak balik. Umairah hanya membeku tanpa membalas pertanyaan Atikah. Dia lebih gemar melayan Atikah dengan cara berdiamkan diri.

“ Mai... Kenapa kau marah  sangat terhadap aku? Apa aku dah buat?  Cuba bagitau. Mungkin aku tak sedar kesalahan yang telah aku lakukan. Kalau kau terus dengan sikap dingin macam ni, macam mana masalah antara kita nak selesai? Kau benci aku pasal Ifran ke?” Atikah bertanya lagi. Dia tidak akan berhenti membuat pertanyaan sehingga dia tahu punca hubungan harmoni antara dia dan Umairah berkecai begitu sahaja. Semuanya berlaku terlalu mendadak padanya.

“ Siapa cakap nak selesaikan masalah antara kita?  Kita pernah ada masalah ke? Bukankah kita memang macam ni dari dulu lagi?” Tempelak Umairah. Langsung tidak menjawab persoalan dari Atikah. Dia bingkas bangun dari bangku. Malas mahu melihat wajah kesian milik Atikah. Bosan.

“ Mai kenapa kau jadi macam ni? Dulu kita tak macam ni. Kita sayang antara satu sama lain.” Belum habis lagi Atikah berkata, Umairah sudah memotong ayatnya.

“ Sayang antara satu sama lain??? Hey please la... Kau ingat aku lesbian nak sayang kau. Aku dah ada suamilah. Kalau kau nak terus perangai songsang kau tu kau terus lah sorang-sorang. Tak payah nak ajak aku buat perkara terkutuk macam tu.” Sela Umairah tanpa perasaan. Ahh pedulikan hati Atikah yang terluka. Kalau diikutkan hati aku ini lebih banyak terluka berbanding dia...

“ Mai... Apa pulak macam tu. Salah ke kita sayang antara satu sama lain atas nama persahabatan?” Tingkah Atikah demi membetulkan tanggapan Umairah. Namun dia tahu Umairah tidak serius dengan kata-katanya itu. Gadis itu sekadar mahu menyakitkan hatinya sahaja. Kata-kata Atikah mendatangkan rasa geram dihati Umairah. Kenapa Atikah tidak mahu faham yang dia sudah membenci wanita itu. Tidak kira la apa-apa sebab pun.

“ Kau berambus sekarang!  Aku benci tau tengok muka kau. Kau faham tak?” Tengking Umairah dengan mata yang terjengil. Hatinya mendidih dengan sikap Atikah yang tidak faham bahasa.

“ Aku tak faham, sebab tu aku tanya kau. Apa yang menyebabkan kau benci aku? Apa yang aku dah buat sampai kau benci aku? Itu persoalannya kini.” Tegas Atikah bertanya. Dia nak kan jawapan segera. Dia sudah penat hidup dengan penuh tanda soal begini. Dia sangat yakin dengan hatinya. Umairah ada perkara yang disembunyikan darinya. Perkara yang cukup buat gadis itu terluka dengannya. Dia tahu Umairah bukan begini. Umairah yang dikenali dari zaman sekolah bukan begini orangnya.

“ Kenapa kau tak nak faham Atikah. Aku benci kau. Aku benci tau tak! Berambus dari mata aku sekarang dan selama-lamanya.” Jerit Umairah lagi. Lantang. Hatinya hampir pecah menahan rasa geram yang menebal dengan sikap perempuan didepannya ini. Atikah dihadapan Umairah sedikit tersentak dek kelantangan suara wanita itu, sedikit sebanyak rasa hiba mula merajai hati. Namun Atikah tidak mudah putus asa, selagi kebenaran tentang hubungannya dan Umairah belum tersingkap selagi itulah dia tidak akan mengalah.

“ Aku tak akan pergi selagi kau tak beritahu punca kau bersikap begini. Aku kenal kau Mai. Aku cukup kenal perangai kau malah sikap kau yang merampas Ifran dari aku juga bukan perangai kau. Kau tak akan buat aku macam ni. Kau seorang yang setiakawan bukannya manusia yang kawan makan kawan. Aku yakin tentang itu!” Balas Atikah masih berharap jawapan dari Umairah. Umairah ketawa jengkel dengan kata-kata Atikah yang cukup jelik pada pendengarannya.

‘Kau ingat kau siapa Atikah sampai aku tak mampu buat kau macam tu.’ Bisik hati Umairah geram.

“ So, kalau bukan aku yang rampas Ifran dari kau siapa? Kau ingat kau hebat bila Ifran masih terkejar-kejar kau? Kau nak berlagak la dengan aku yang kononnya bila Ifran dah kawin dengan aku tapi dia masih syok gila dengan kau? Macam tu? Aku tak heran pon semua tu Tikah sebab walau apa pon yang berlaku kau tetap tak akan dapat bersama Ifran meskipun dia kejar kau sampai ke planet Pluto sekalipun. Sebab dia suami aku dan setahu aku dia takkan ceraikan aku. So kau tak payah nak berlagak sangatlah dengan sikap Ifran tu.  Kalau kau nak duduk kat sini duduk la. Aku tak halang kerana tempat ni bukan tempat aku pun.” Balas Umairah sinis sambil meninggalkan Atikah yang melopong mendengar kata-katanya yang cukup riak. Baru dua langkah yang diturunkan oleh Umairah tiba-tiba gadis itu kembali semula ke arah Atikah... Atikah tersenyum melihat gadis itu kembali semula kepadanya.

“ Pang”. Satu tamparan melekat pada pipi mulus Atikah. Atikah terpaku manakala Umairah tersenyum penuh bangga. Gembira kerana berjaya menampar bekas temannya itu.

“ Hutang masa dekat hospital hari tu...” Belum habis lagi Umairah berkata terasa ada satu tangan menyentuh bahunya pula. Dia memusingkan badannya demi memandang penyentuhnya. Hatinya kuat mengatakan Zizie. Mesti Zizie marah setelah melihat dia menampar Atikah.

“ Pang”. Lima jari melekat pada pipi Umairah. Umairah tersentak dengan tamparan yang tak semena-mena itu.

“ Balasan kerana tampar awek aku...” Ifran berkata keras. Umairah tersenyum sinis meskipun hatinya cukup sakit dengan sikap Ifran. Tergamak Ifran menamparnya hanya kerana Atikah!


“ Kalau kau sayang sangat awek kau ni, beritahu dia lepas ni jangan cari aku lagi. Kalau tak lepas ni aku tak tahu apa yang aku akan buat pada dia. Kalau kau sayang sangat awek kau ni, kau boleh ceraikan aku sekarang dan pergilah bernikah dengan dia. Aku secubit pun tak heran dengan kau mahu pun awek kau ni.” Balas Umairah dengan hati yang cukup sakit. Ditenung bagai ingin ditelan wajah Ifran yang berada didepannya kini. Kalau lah kuasa cerai ada padanya sudah lama dilafazkan talak tiga kepada suaminya... biar mereka langsung tiada apa-apa hubungan lagi.

 Umairah bergegas pergi meninggalkan pasangan kekasih yang cukup memualkan hatinya. Tanpa sedar ada air mata mengalir dikedua belah pipinya. Hatinya teramat kecewa dengan sikap Ifran. Haikal yang kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian sedikit terperanjat dengan pergaduhan yang dilihat antara Umairah, Atikah dan Ifran. namun begitu, satu senyuman terjungkit dibibirnya. Nampaknya peluang untuk dia merebut hati Umairah masih terbuka luas!