IKLAN NUFFNANG

Saturday, October 25, 2014

Tetap Kau Yang Satu bab 45

BAB 45

Umairah terduduk, terkedu sejenak dengan cerita yang dibawa ibunya. Puan Zaleha sudah lama meninggalkannya bersendirian setelah menceritakan hal sebenar diantara keluarganya dan keluarga Atikah. Umairah tarik nafas dalam-dalam, cuba melegakan pelbagai perasaan yang menyerang dirinya saat ini. Namun sikit pun rasa tenang dapat dirasai malah air mata kian melimpah ruah membasahi kedua belah pipinya.

“ Ya Allah...” seru Umairah disaat mindanya cukup tepu dengan pelbagai rasa. Satu persatu cerita tentang Atikah dan puan Zainab melayari ingatan. Menambahkan beban rasa bersalah yang sudah tak tertanggung dipundaknya. Menurut ibunya, sebelum ibu berkahwin dengan abah, abah terlebih dahulu berkahwin dengan puan Zainab namun tanpa restu keluarga. Dek dibenci keluarga mertua, pelbagai dugaan dihadapi oleh Zainab. Ibunya pula masa itu cukup disukai oleh keluarga encik Ismail dan kebetulan pula ibu turut menyimpan hati pada encik Ismail. 

Oleh kerana rasa pentingkan diri yang meluap-luap, ibu bekerjasama dengan keluarga mertua Zainab dalam meruntuhkan istana yang baru dibina oleh Zainab dan Ismail. Ternyata usaha ibu berhasil, tak sampai 5 bulan, perkahwinan Zainab dan Ismail berjaya dibubarkan. Semasa bercerai, Ismail tidak tahu bekas isterinya sudah pun mengandung. Desakan keluarga menyebabkan Ismail terpaksa menikahi Zaleha beberapa bulan selepas itu. Selepas bercerai, Zainab telah membawa diri dengan hatinya yang terluka termasuk juga kandungan yang belum lagi menampakkan rupa. Identiti Atikah terbongkar sewaktu pertembungan yang tak sengaja antara Zainab dan Ismail sewaktu menghadiri mesyuarat PIBG disekolahnya sewaktu dia tingkatan 6. Selepas kejadian itu, ibu berusaha keras untuk membalas segala kekejaman yang telah dilakukan pada Zainab dengan menyatukan kembali Zainab dan suaminya. Kata ibu, dia cukup menyesal kerana telah merosakkan kebahagian Zainab dan abahnya sekaligus merosakkan kebahagiaan Atikah.

“ Astarfirullah hal azim...” Umairah beristighfar panjang. Rasa bersalah dan berdosa meluap-luap didalam pelipat dada. Wajahnya yang sudah tidak terurus diraup kasar. Dia masih tercari-cari sinar ketenangan dalam diri.

“ apa aku dah buat pada Tikah? Apa yang aku dah lakukan pada dia? Siapa yang keturunan perampas sekarang ni? Bukan dia yang merampas tapi aku... sudahlah ibu rampas abah dari emaknya, sekarang aku pulak yang merampas Ifran darinya. Ya Allah... apa dah aku lakukan ni. Bertapa besarnya dosa aku pada dia.” Luah Umairah dengan kedua belah tapak tangan yang menutupi keseluruhan wajahnya. Tersedu sedan dirinya sendiri memikirkan segala perbuatan keji yang telah dilakukan terhadap Atikah. Air matanya makin laju menitis, membasahi mukanya sehingga terkena pada baju yang dipakai.

“ selama ini aku ingat emak dia yang rampas abah dari ibu, aku fikir dia yang cuba ambil kasih abah dari aku tapi rupanya aku salah. Memang patut abah sayang dia lebih dari aku setelah bertahun-tahun mereka tak bertemu. Memang patut Tikah dapat sepenuhnya kasih sayang itu dari abahnya memandangkan dia merupakan anak kandung abah. Bukan anak tiri! Yang bersalah sekarang ni aku, tergamak sakitkan hati Tikah yang langsung tak berdosa, yang cemburukan Tikah dengan apa yang sememangnya hak dia, yang merampas segala kebahagiaannya selama ini. Aku yang berdosa, aku yang paling hina sekarang ni... bukan Tikah!” bentak Umairah memarahi diri sendiri. 

Wajahnya ditampar-tampar keras, ditepuk-tepuk geram kedua belah pipi memikirkan kesalahan sendiri. Bertapa dia sedar kesalahan yang tak ternilai besarnya sudah dilakukan kepada Atikah, kakak kandungnya sendiri. Air mata yang laju mengalir dibiarkan sahaja mencemari muka, kini kepalanya ligat memikirkan cara terbaik untuk menebus kesalahan yang sudah dilakukan olehnya terhadap Atikah. Dia tahu, segala kebahagiaan yang dirasai saat ini telah dibina di atas air mata Atikah. Perempuan keji sepertinya tak layak untuk terus bergembira, dia tak seharusnya mengecapi bahagia sedangkan pemiliknya yang sebenar sedang mengalir air mata duka. Kebahagiaan yang dinikmati saat ini perlu dikembalikan kepada tuannya! Itu janji Umairah.




Umairah bangkit berdiri, wajahnya yang masih lencun dengan air mata dilap kasar. Langkah gemalai diatur ke biliknya. Dia perlu rehat! Otak, perasaan dan dirinya sendiri terlalu penat memikirkan perkara yang baru diketahui. Mungkin dengan rehat yang cukup, otaknya akan dapat berfungsi dengan baik dan dia juga dapat menyelesaikan kesalahan yang sudah dilakukan terhadap Atikah. Tanpa pamitan Umairah tolak daun pintu biliknya dengan keluhan kecil. Masuk sahaja bilik itu terus matanya menangkap imej Ifran yang sedang tidur diatas katil. Penat barangkali setelah hampir 6 jam memandu kereta dari Seremban ke Terengganu. 

Perlahan-lahan Umairah menghampiri tubuh suaminya yang tenang dilambung mimpi nan indah. Langsung jejaka itu tidak sedar kehadirannya saat ini. Tangannya dipanjangkan, dibelai lembut kepala Ifran. Melihat suaminya saat ini tidak lagi menimbulkan rasa tenang tetapi membuatkan hatinya dipalit rasa sedih dan kecewa yang tidak terperi. Terasa perpisahan antaranya dan Ifran kian menghampiri. Dia perlu, dia wajib memulangkan cinta Ifran kepada pemiliknya yang sebenar. Cinta dan sayang Ifran bukanlah untuknya, cinta jejaka itu hanyalah untuk Atikah. Dia perlu satukan kembali hati mereka setelah menjadi orang ketiga yang menyibuk dalam istana cinta yang telah dibina. 

Dia yakin, masih belum terlambat untuk semua itu. Mungkin cinta Ifran padanya tidak sedalam cinta Ifran pada Atikah suatu masa dahulu. Cinta Ifran juga padanya terlalu baru, mungkin baru beberapa bulan terdetik rasa sayang lelaki itu padanya setelah mereka hidup bersama namun cinta Ifran pada Atikah sudah terlalu lama. Lebih dari 3 tahun Ifran menyemai dan menjaga cintanya pada Atikah. Malah Atikah adalah cinta pertama Ifran! Pasti kasih dan sayang terhadap Atikah masih mewangi dihati Ifran. Jadi, seeloknya dia undur diri. Tidak perlulah dia terus menerus menjadi batu penghalang antara Atikah dan Ifran. Sudah tiba masanya kebahagiaan yang terhalang antara mereka sebelum ini dipulangkan kembali. Mungkin, dengan cara ini sahaja kesilapan besar yang sudah dilakukan terhadap Atikah dan Ifran dapat diampuni. Umairah sentuh jemari kasar milik Ifran lembut. Ditatap wajah damai suaminya lama-lama. Mungkin ini kali terakhir untuk dia merasai semua ini. Selepas ini, tiada lagi istilah suami isteri antara mereka kerana Ifran akan kembali kepada pemilik cinta sejatinya.

“ Mai sayangkan abang sangat-sangat... Mai cintakan abang sepenuh hati Mai... Maafkan Mai atas segala kesilapan dan kekejaman yang Mai dah lakukan keatas abang dan Tikah. Maafkan juga segala kesilapan yang Mai bakal lakukan selepas ini... tapi percayalah, apa yang Mai cuba lakukan saat ini adalah demi kebahagiaan abang dan Tikah sebab Mai yakin jauh disudut hati abang masih sayangkan Tikah. Mai harap kita berdua boleh berpisah secara aman tanpa perlu bermasam muka mahu pun berdendam.” Luah Umairah dengan nada yang rendah dekat pada pendengaran Ifran. Tangan suaminya dicapai dan dicium lembut. Mungkin ini kali terakhir dia dapat menyentuh dan menyalami suaminya kerana selepas ini Ifran bakal bergelar abang iparnya sendiri. Umairah sapu mutiara hangat yang mula membasahi pipi. Biarlah air mata ini terus mengalir untuk masa ini kerana selepas ini dia perlu kuat dan tegas dengan keputusan yang sudah dibuat.




Ifran meliarkan pandangannya kearah dapur, kosong dan bersih sahaja. Langsung tiada tanda-tanda baru lepas digunakan. Ifran mengerutkan dahinya, perasaan pelik dan aneh mula merantai hatinya. Mai tak masak ke hari ni? Soal Ifran pada dirinya sendiri. Perutnya yang kebulur digosok perlahan. Langkah pantas diatur ke bilik Umairah... Entah-entah Umairah tidak sihat, sebab itu wanita itu tidak memasak. Biasanya jarang Umairah tidak memasak melainkan dia makan diluar dan biasanya Umairah akan memberitahunya terlebih dahulu sekiranya tidak memasak demi memudahkannya mencari makanan sendiri.

“ Mai...”panggil Ifran lembut sambil memulas tombol daun pintu bilik Umairah. Sekali lagi kerutan terukir didahi Ifran apabila daun pintu bilik isterinya berkunci. Tidak pernah sepanjang hayat perkahwinannya dan Umairah, bilik wanita itu dikunci melainkan ketika mereka bergaduh. Dia yakin Umairah ada didalam bilik kerana dia dapat mendengar sayup-sayup lagu yang dipasang memenuhi bilik isterinya.

“ Mai... buka pintu ni.” Pinta Ifran dari luar sambil mengetuk daun pintu bilik isterinya. Ternanti-nanti jawapan mahu pun sahutan daripada Umairah namun sayang respon yang diterima dari wanita itu hanyalah kosong.

“ Mai... buka pintu sayang.” Suruh Ifran lagi. Kali ini dia mengetuk lebih kuat agar Umairah sedar dan tahu kewujudannya saat ini. Mungkin Umairah sedang berehat kerana terlalu penat atau pun kerana tidak sihat. Tidak lama selepas itu daun pintu bilik Umairah terbuka dan terjengul wajah Umairah yang kelihatan bersahaja tanpa perasaan.

“ Mai tak sihat ke?” dengan nada yang cukup risau dan gelisah Ifran menyoal. Pantas jemarinya menyentuh dahi Umairah untuk membandingkan perbezaan suhu antara mereka.” Tak panas pon. Detik Ifran didalam hati. Umairah tolak kasar jemari suaminya, sengaja buat Ifran sakit hati dengan tingkah lakunya.

“ Mai sihat jer... abang nak apa?” acuh tak acuh Umairah menyoal. Langsung wajah Ifran dihadapannya saat ini dipandang. Dia lebih rela menebarkan renungan ditempat lain.

“ kenapa Mai tak masak hari ni? Mai makan dekat luar ke?” Ifran cuba bersabar dengan sikap Umairah yang nampak lain daripada biasa. Memang dia sudah perasan tentang sikap Umairah yang agak aneh semenjak dua menjak ini. Sejak pulang dari kampung halaman gadis itu beberapa hari lalu, Umairah jelas kelihatan cuba mengelakkan diri darinya. Malah Umairah sudah tidak mesra seperti dahulu? Adakah dia sudah buat sesuatu yang menyakitkan hati Umairah tanpa sedar?

“ Mai malas nak masak hari ni... abang kalau lapar pergilah makan dekat luar, tak pun masak la maggie yang ada dekat dapur tu. Mai dah makan.” Tingkah Umairah cukup selamba tanpa rasa bersalah. Habis sahaja menutur barisan ayat itu, daun pintu biliknya ditutup rapat meski pun si suami masih lagi tegak berdiri. Perasaan Ifran bertambah keliru, dia yakin dan pasti memang ada yang tidak kena dengan diri Umairah. Wanita itu kelihatan cukup dingin dengannya semenjak dua menjak ini. Tapi tak apa, untuk sementara waktu ini dia akan perhatikan dahulu segala ragam Umairah dan akan dicari dimana kesilapan yang telah dilakukan.


Jam dinding sudah menunjukkan pukul 10 malam. Umairah enak bersantai diruang tamu sambil menonton cerita yang dia sendiri tidak tahu judulnya di kaca televisyen. Sekali-sekala terbit keluhan yang tidak putus-putus dari mulutnya. Hampir setiap minit matanya mengerling pada jam didinding.

“ mana If ni? Pukul berapa baru nak balik?” soal Umairah pada diri sendiri. Hatinya mula berbaur kerisauan. Bukan apa, selalunya kalau Ifran pulang lambat jejaka itu akan memberitahunya terlebih dahulu. Tidaklah dia tertunggu-tunggu. Umairah jeling jam didinding lagi. Makin risau perasaannya, mula pelbagai andaian tidak elok melayar dibenaknya. Umairah capai telefon tangan yang diletakkan diatas meja kopi yang terletak diruang tamu, ditilik telefon tersebut sekiranya Ifran ada menghantar mesej mahu pun membuat panggilan kepadanya. Namun sayang, sekeping pun mesej mahu panggilan tak dijawab diterima dari suaminya itu. Perasaan tidak keruan itu buat Umairah bingkas berdiri lalu berjalan mengukur ruang tamu. Terfikir-fikir diminda sama ada perlu atau tidak dihubungi suaminya. Umairah bergerak ke biliknya, diambil tudung segera yang sentiasa bersangkut dibelakang daun pintu lalu disarung ke kepalanya. Tanpa buang masa, langkah kaki dibuka dan diaturkan ke halaman rumah. Kerisauan yang melampau membuatkan Umairah mengambil keputusan untuk menunggu Ifran diluar rumah.

 Setelah menutup daun pintu rumahnya, Umairah segera melabuhkan punggungnya diatas kerusi kayu yang sememangnya tersedia di laman rumahnya. Tak sampai 2 minit punggungnya panas dikerusi kayu, dia bingkas berdiri semula memandang di sekitar jalan di kawasan perumahannya itu. Kot-kot Ifran sudah pulang. Namun jiwanya kembali hampa, langsung tiada tanda-tanda Ifran bakal tiba tak lama lagi. Umairah kerling jam yang melilit kemas dipergelangan tangannya. Melihat jam itu terus ingatannya teringatkan kenangan sewaktu jam berpasangan itu dibeli oleh Ifran 2 minggu yang lepas. Kenangan yang cukup manis baginya sepanjang tempoh perkahwinannya dan Ifran. Mungkin cukuplah kenangan ini menjadi penemannya setelah bergelar janda tidak lama lagi. Dia tahu dia tidak boleh terus menerus pentingkan diri sendiri, hubungannya dan Ifran perlu ditamatkan dengan kadar segera dan cinta Atikah dan Ifran patut dipaut kembali.

“ sayang tunggu abang ke?” desis Ifran yang tiba-tiba muncul disebelah Umairah. Entah bila lelaki itu memandu masuk kereta ke halaman rumah pun Umairah tidak pasti. Umairah tatap wajah Ifran yang sudah melabuhkan diri diatas kerusi batu yang disediakan dihalaman rumah. Riak penat yang terlukis diwajah jejaka itu mendatangkan rasa simpati. Namun, dia tahu inilah masa yang paling sesuai untuk terus membakar hubungan mereka.

“ tahu pun abang yang Mai tengah tunggu abang... kenapa abang tak mesej Mai kalau nak balik lambat? Abang ingat Mai tunggul dekat rumah ni?” bentak Umairah kasar. Sengaja dia mencurah minyak kedalam bara yang sudah ada didalam hubungannya dan Ifran. Dia yakin lagi pasti, tidak lama lagi pasti Ifran akan meluat dengan sikapnya sekaligus menceraikannya. Ifran terkedu dengan amarah Umairah yang tiba-tiba. Matanya menatap dalam-dalam wajah bengis Umairah.

“ abang minta maaf Mai... telefon abang habis bateri. Tak sempat nak beritahu Mai yang syarikat abang ada meeting hari ini.” Pujuk Ifran lembut. Masih cuba bersabar dengan Umairah yang jelas masih bersikap aneh. Masuk hari ini sudah 5 hari Umairah melancarkan perang dingin kepadanya sedangkan dia langsung tidak tahu dimana silapnya. Seingatnya, langsung tiada perbuatan mahu pun kata-kata terakhir yang mengguriskan hati sang isteri. Tetapi kenapa Umairah melayannya cukup kasar dua tiga menjak ini. Apa yang Umairah marahkan sebenarnya?

“ ooo... abang meeting sorang-sorang jer ke dekat pejabat tu? Tak reti nak pinjam telefon orang lain? Mai ni bukan tunggul dalam rumah ni, Mai pun banyak lagi perkara nak kena buat, nak kena fikir. Abang jangan nak fikir pasal diri abang sorang jer boleh tak?” Seranah Umairah lagi. Matanya terjengil memandang kearah Ifran agar lelaki itu nampak amarahnya saat ini bukan dibuat-buat. Ifran merengus kasar, makin kurang sabarnya melayan karenah Umairah yang makin pelik semenjak dua menjak ini. Rasanya sudah tiba masanya dia berbincang dari hati ke hati dengan Umairah. Dia sudah tidak betah melihat tingkah Umairah yang aneh. Umairah seperti menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya!

“ Mai... abang tengah penat ni. Boleh tak Mai tolong faham sikit keadaan abang macam mana? Kan abang dah minta maaf!” Ifran turut sama melempiaskan amarah. Geram juga hatinya melihat tingkah Umairah yang sesedap hati memarahinya atas kesilapan yang tidak sebesar mana. Lagi pun bukankah dia sudah minta maaf dan menerangkan hal yang sebenar.

“ Mai jer yang nak kena faham abang, tapi abang langsung tak nak faham perasaan Mai.” Tempelak Umairah kurang senang. Matanya langsung tidak berganjak dari wajah Ifran, cuba melawan pandangan suaminya. Biar lelaki itu tahu bertapa marahnya dirinya saat ini meskipun semua itu hanyalah lakonan semata-mata. Dia sengaja cari masalah dengan Ifran, dia sengaja menaikkan darah Ifran agar lelaki itu membencinya, memandangnya dengan jelik dan menghilangkan rasa bersalah yang mungkin ada dihati suaminya untuk menceraikannya suatu hari nanti. Ifran renung lama wajah Umairah yang kelihatan berang, perlahan-lahan satu keluhan kasar dilepaskan. Dia tahu dengan pergaduhan pasti tidak akan berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi saat ini. Dia tahu amarah Umairah kerana kelewatannya bukanlah kemarahan yang sebenar. Dia tahu Umairah marahkannya atas sebab yang lain, sebab yang dia sendiri tidak tahu.

“ Mai marah abang pasal apa sebenarnya?” suara Ifran mula mengendur. Riak garang diwajah Umairah masih lagi ada, langsung tidak beransur hilang. Kini Umairah memandang kearah lain, tidak sudi memandang wajahnya lagi.

“ abang tanya pulak... Mai marah sebab abang balik lambat dan tak telefon Mai langsung untuk beritahu sepatah dua yang abang akan balik lewat malam ni.”

“ bukan tu maksud abang... abang nak tahu kenapa Mai asyik nak marah-marahkan abang dua tiga menjak ni. Mai dingin sangat dengan abang sejak kita balik kampung baru-baru ni. Sekarang Mai bukan sahaja tak masak, malah segala pakaian dan keperluan abang langsung Mai tak ambil peduli. Mai jauh berbeza dengan Mai yang sebelum ni. Kenapa ni Mai? Apa yang Mai nak marah dengan abang sebenarnya?” panjang lebar soalan yang sudah lama berlegar difikiran Ifran diluahkan. Ifran tidak peduli, malam ini segala masalah antaranya dan Umairah perlu diselesaikan. Dia nak tahu apa yang sedang mengganggu benak Umairah.

“ sejak bila pulak tugas isteri kena masak, basuh baju dan gosok baju semua tu? Mai isteri abang bukannya orang gaji!”tingkah Umairah sinis. Langsung wajah Ifran dihadapannya saat ini dipandang. Dia lebih rela berpeluk tubuh dan memandang kearah lain. Dirinya tidak kuat untuk terus menerus mencari pasal dengan Ifran.

“ Jadi Mai marah abang sebab kena buat semua tu? Mai rasa diri Mai macam orang gaji? Macam tu?” Ifran mengembalikan lebih banyak persoalan kepada Umairah. Untung sambut timbul segala salah faham yang berlaku antara mereka berdua dapat diselesaikan dengan kadar segera. Umairah diam tak berkutik. Mencari-cari jawapan yang lebih pedas untuk sakitkan hati Ifran.

“ kalau Mai tak suka semua tu kenapa tak bincang dengan abang... abang boleh faham, dan abang boleh tolong kalau Mai nak suruh abang buat apa-apa. Tapi janganlah pendam perasaan sakit hati Mai sampai hubungan kita jadi hambar macam ni. Lepas ni abang janji, semua kerja rumah kita akan bahagi. Kita buat sama rata!” janji Ifran sekaligus cuba melembutkan hati isterinya. Tersedar kekhilafannya sendiri yang membiarkan Umairah melakukan segala urusan rumah tangga tanpa bantuannya sedangkan mereka berdua sama-sama sibuk bekerja. Umairah diam lagi. Tidak tahu bagaimana caranya untuk terus menyakitkan hati Ifran seterusnya membuatkan jejaka itu membencinya.

“ sekarang apa lagi yang Mai tak puas hati dengan abang? Mai luahkan jer semuanya agar abang boleh faham dan baiki mana yang patut.” Minta Ifran tatkala melihat tiada riak gembira terukir diwajah Umairah meski pun dia baru sahaja selesai mengayam janji. Pada amatannya, bebanan menguruskan rumah tangga bukanlah salah satu faktor yang membuatkan Umairah sakit hati dengannya. Kalau betul Umairah marah kerana hal itu, pasti wanita itu sudah terpujuk dengan janji yang baru dilafazkan sebentar tadi.

“ Mai dah bosan hidup dengan abang... Mai nak abang ceraikan Mai.” Jawapan tanpa perasaan dari Umairah bagaikan halilintar membelah jantung Ifran. Terpana dirinya sekejap dengan kata-kata Umairah yang terlalu berat untuk diterima akalnya.

“ Umairah!” teriak Ifran tegas. Menjengil matanya melihat reaksi bersahaja isterinya yang langsung rasa tidak bersalah setelah menuturkan kata-kata yang tidak disukainya.

“ tolong jangan sebut perkataan tak elok macam tu... abang tak nampak pon apa masalah rumah tangga kita sekarang ni sampai Mai perlu sebut perkataan macam tu.” Keras suara Ifran sekali lagi memarahi Umairah agar isterinya itu tidak mengulangi kesilapan itu lagi. Matanya membulat memandang wajah santai Umairah yang langsung tidak terkesan dengan amarahnya.

“ suka hati abanglah nak kata apa pon... tapi Mai tetap nakkan perpisahan antara kita. Mai dah penat hidup dengan abang.” Sela Umairah tanpa rasa gentar. Kali ini ditatap anak mata Ifran dengan riak paling yakin. Sebolehnya dia mahu Ifran nampak dirinya serius dengan keinginan yang disampaikan saat ini. Ifran terkesima. Makin risau perasaannya saat ini apabila melihat kesungguhan Umairah yang inginkan perpisahan.

“ Mai... apa yang abang dah buat sampai Mai cakap macam ni?” tanya Ifran masih belum mengerti. Apa yang sudah dilakukan pada Umairah sampai wanita itu berubah sepenuhnya. Bukankah baru beberapa hari lalu Umairah mengakui perasaannya cintanya yang tidak berbelah bagi tetapi kenapa waktu ini Umairah berubah mendadak. Sudah hilangkah perasaan cinta Umairah padanya?

“ abang tak cintakan Mai... abang cintakan Tikahkan.” Luah Umairah cukup yakin. Air muka Ifran berubah mendadak. Tidak senang dengan tuduhan yang Umairah lemparkan padanya.

“ Mai merepek apa ni... kan abang dah cakap...”

“ tak... abang masih cintakan dia. Mai yakin, jauh disudut hati abang masih ada nama dia. Mungkin abang keliru dengan perasaan abang pada Mai.” Potong Umairah sekaligus mematikan bicara Ifran.

“ Mai tak percayakan cinta abang ke?” lirih sahaja suara Ifran buat Umairah terdiam memikir sejenak. Timbul rasa sebak yang mula menguasai diri. Namun kali ini dia perlu kuat, apa yang dilakukan saat ini adalah untuk Ifran jua. Dia yakin lagi pasti perasaan sayang pasti masih ada dihati Ifran terhadap Atikah. Cuma dia sahaja yang menjadi penghalang cinta antara kedua pasangan itu. Mungkin cinta Ifran beralih arah kepadanya kerana kecewa dengan penolakkan Atikah yang tidak mahu jadi orang ketiga dalam perkahwinannya dan Ifran.

“ untuk pengetahuan abang Mai kahwin dengan abang sebab Mai bencikan Tikah. Mai rampas abang dari Tikah sebab Mai sakit hati kerana dia dah rampas kasih sayang abah dari Mai, ibu dia rampas kasih abah dari ibu Mai. Mai nak dia rasa bagaimana perasaan sakitnya apabila kasih orang yang disayang dirampas. Tapi sekarang Mai dah sedar, apa yang berlaku bukan salah Tikah malah Tikah memang berhak dengan apa yang diambil dari Mai. Mai menyesal sekarang sebab sakitkan hati dia, Mai menyesal sebab dah rampas abang dari dia dan sekarang Mai nak kita kembali seperti sediakala seperti mana disaat abang dan Tikah masih bercinta dan Mai hanyalah kawan baik abang dan Tikah.” Jelas Umairah dengan nada yang rendah. Saat ini matanya tidak lagi merenung bening mata Ifran yang kelihatan terkedu dengan bicaranya. Umairah tarik nafas dalam-dalam, dia memohon pada Allah agar diberi kekuatan dalam diri untuk menempuhi saat perpisahan antaranya dan Ifran yang semakin menjemput. Dia juga mahu kuat untuk bertegas dalam keputusan yang sudah dibuat.

“ jadi sekarang bila Mai dah menyesal dengan kesilapan Mai yang lalu, Mai nak abang kembali pada Tikah, macam tu?” soal Ifran inginkan kepastian. Umairah angguk kepalanya. Langsung matanya tidak menyapa sinar mata Ifran. Hatinya sudah tidak betah, malah entah sampai bila dia boleh bertahan dihadapan Ifran.

“ abang ni tak ada nilai ke dihati Mai? Bila Mai bencikan Tikah, Mai rampas abang dari dia. Bila Mai dah menyesal, Mai nak pulangkan abang semula pada Tikah? Kenapa semua keputusan yang Mai buat mesti berkait dengan Tikah? Mai langsung tak peduli perasaan abang yang dah macam barang boleh di pass sana sini.” Desis Ifran dengan nada yang cukup terkilan. Tergamaknya Umairah buat dia macam ni, apa Umairah langsung tiada hati padanya? Umairah renung wajah Ifran yang kelat dihadapannya. Kolam matanya sudah mula dipenuhi air hangat.

“ Mai buat semua ni untuk abang juga. Mai dah seksa hati abang dengan memisahkan abang dan Tikah. Sekarang, abang dan dia boleh bersama kembali, bukankah itu yang abang nak selama ini. Mai tahu dalam hati abang masih ada nama Tikah. Mai tahu abang masih sayangkan dia. Cinta abang pada dia terlalu dalam, hampir 3 tahun abang pertahankan cinta abang pada dia sedangkan abang terima Mai hanya kerana kecewa dengan penolakkan cinta Atikah. Kalau abang ceraikan Mai, Tikah pasti akan terima abang semula sebab abang bukan suami orang, abang bukan suami Mai lagi.”

“ Jadi Mai memang tak pernah percayakan cinta abang pada Mai la?” kata-kata dari Umairah dibalas dengan persoalan. Suasana antara mereka sunyi untuk seketika, Umairah diam berfikir, dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dijawab dengan soalan Ifran. Ifran pandang Umairah lama, dia masih tidak sangka nama Atikah masih lagi menjadi peneraju utama dalam perkahwinannya dan Umairah. Jelas lagi nyata Umairah hanya menerima cintanya sebelum ini kerana Atikah dan apabila wanita itu mula menyesal dengan kesilapannya terus cintanya juga ditolak.

“ satu je abang nak tanya... apa perasaan Mai yang sebenarnya terhadap abang? Kalau Tikah tak wujud diantara kita, apa sebenarnya yang Mai rasa pada abang?” tambah Ifran sekali lagi. Umairah telan liur satu persatu, lama matanya berbalas pandang dengan mata Ifran. Timbul rasa sayang yang tak berbelah bagi pada suaminya itu namun semua itu sudah tidak penting lagi. Dia tak mahu terus menerus menjadi manusia yang mementingkan diri sendiri. Ifran pasti lebih berbahagia bersama Atikah kerana wanita itulah dicintai suaminya selama ini. Bukan dia! Dia hanyalah suatu persinggahan disaat hati jejaka itu kecewa, tidak lebih dari itu. Melihat kebisuan Umairah buat hati Ifran hancur luluh, tanpa tunggu lama langkah longlai diatur menuju ke pintu rumahnya. Dia sudah tidak mampu untuk terus mengadap wajah Umairah yang cukup kejam mempermainkan perasaannya selama ini.



No comments:

Post a Comment