Bab 25
Umairah
kerumah mertuanya setelah hampir 3 bulan tinggal bersama suaminya. Itu pon
setelah beberapa kali puan Zaharah menggesanya dan Ifran untuk ke rumah mereka.
Umairah terpaksa menerima pelawaan dengan hati yang kurang ikhlas. Bukan dia
tidak sukakan ibu mertuanya tetapi mengenangkan dia perlu berlagak bahagia
dihadapan keluarga mertuanya memang sesuatu perkara yang sangat memenatkan. Dia
boleh dikatakan rapat dengan ibu mertuanya dan juga adik-adik iparnya. Ifran
merupakan anak sulung dalam keluarga encik Tarmizi dan merupakan cucu
kesayangan neneknya.
Oleh kerana itu, adik-adiknya Anisa, Amira dan Ikmal
sangat menghormati dan menyayanginya. Dalam keluarga Ifran tiada istilah pilih
kasih. Sebab itu hubungan Ifran dan tiga lagi adik beradiknya sangat baik. Umairah
menyalami puan Zaharah, encik Tarmizi dan nenek Juriah diikuti dengan adik-adik
perempuan Ifran yang kini tersenyum senang kearahnya. Setiap kali memandang
wajah keluarga mertuanya pasti hatinya menjadi sayu. Terasa bersalah
menusuk-nusuk ke hatinya.
Dia tidak boleh bayangkan bertapa hancurnya hati
keluarga mertuanya ini apabila dia dan Ifran bercerai suatu hari nanti. Bukan
dia nak perasan, tetapi dia dapat merasakan mereka sudah menganggap dia sebagai
ahli keluarga. Kalau lah dia tahu sebaik ini keluarga Ifran terhadapnya, pasti
dia tidak akan menerima pinangan nenek Juriah dan puan Zaharah suatu ketika
dahulu. Tidak mahu dia mempermainkan hati-hati orang yang terlalu baik budi
pekertinya ini.
“ Dah lama kak long tak datang rumah mak..” Tegur puan Zaharah
menambahkan lagi rasa bersalah dihati Umairah. Dia menjeling kearah Ifran yang
membuat wajah tiada perasaan. Dia tidak tahu apa di fikiran lelaki itu.
“ Maaf mak... Kak long sibuk sikit. Maklumlah baru masuk
sekolah baru..” Umairah membalas perlahan. Dia tidak mampu memandang wajah puan
Zaharah dan nenek Juriah. Terasa sebak dadanya. Umairah membahasakan dirinya
kak long apabila bersama keluarga mertuanya memandangkan Ifran merupakan anak
sulung keluarga ini.
“ Lepas ni Along bawaklah kak long datang sini selalu.. Nenek
rindulah kat cucu nenek ni..” pinta nenek Juriah pula. Permintaan ini dituju
kepada Ifran.
“ Along bukan tak nak nek... Nenek tahu je lah syarikat
abah kan selalu sibuk. Along pun kadang-kadang balik rumah pun dah malam.
Manalah sempat nak datang sini nek.” Balas Ifran. Dia bukan sengaja memberi
alasan tapi memang itulah kenyataannya.
“ Alah kamu ni along... Rumah along dengan rumah ini
bukan jauh sangat pun... Tak sampai 1 jam pun.. Alasan kamu je kan.” Rajuk
nenek Juriah. Memang begitulah nenek Juriah dengan Ifran. Dia memang selalu
berkecil hati dengan cucu sulongnya. Semua ini kerana rasa sayangnya yang tak
terbelah bahagi buat Ifran.
“ Nenek... Ini bukan alasanlah... Memang kenyataan. Kalau
rumah sendiri pun along susah nak lekat ini kan pula rumah kita ni.. Along
janji lepas ni kalau along ada masa along akan sering balik sini.” Janji Ifran
sambil mengangkat tangannya seolah-olah bersumpah.
“ Eh dah la jom masuk rumah... Kita sembang kat dalam.
Tak manis bersembang depan pintu ni.” Arah puan Zaharah lembut. Mereka semua
bergerak kearah ruang tamu.
“ Mak Jah...” Panggil puan Zaharah lantang. Mahu
meyedarkan pembantu rumahnya tentang panggilannya. Kelihatan wanita berusia
hampir 60 tahun mara kearah puan Zaharah.
“ Yer puan...” Soal mak Jah.
“ Buat air.... Nanti bawak sekali cheesecake yang saya
beli semalam.” Minta puan Zaharah.
“ Baik puan.” Patuh mak Jah. Mak Jah sudah berkhidmat
dirumah ini sejak Ifran lahir lagi. Kerana kesibukan puan Zaharah membantu suaminya
membangunkan syarikat kicap milik mereka, puan Zaharah terpaksa menggaji
seorang pembantu demi membantu ibu mertuanya iaitu nenek Juriah dalam menjaga Ifran.
Kini hampir 25 tahun sudah mak Jah berkhidmat dirumahnya.
“ Satu lagi mak Jah... Mak Jah tolong keluarkan bahan
untuk masakan tengahari. Tapi biar saya masak hari ni..” Sambung puan Zaharah
secara tidak langsung menghentikan langkah mak Jah yang menuju kearah dapur.
Mak Jah sekadar mengangguk tanda memahami arahan majikannya.
“ Ibu dan abah kak long apa khabar?” Soal encik Tarmizi
sekadar berbasa basi.
“ Alhamdullilah sihat abah... Abah sihat tak? Hari tu kak
long dengar tekanan darah abah naik lagi.. Dah stabil ke belum?” Soal Umairah
pula. Risau juga dia mendengar cerita tekanan darah bapa mertuanya semakin
tinggi malah bapa mertuanya itu juga mempunyai penyakit jantung.
“ Hari tu kan musim raya haji kak Long.. Abah kamu ni
pula hantu daging, sebab tu naik tinggi sangat tekanan darah tu. Lepas tu mak
tak kasi abah makan makanan yang berkolestrol sangat dalam 2 minggu macam tu..
Alhamdullilah darah dah okey sikit lepas tu.” Balas puan Zaharah bagi pihak
suaminya. Semasa kejadian itu, mereka sekeluarga berpuasa dari makan daging,
lauk bersantan dan berminyak hampir 2 minggu demi menjaga kesihatan encik Tarmizi.
Nasib baik encik tarmizi memberi kerjasama yang baik.
“ Abah jaga la makan elok-elok tau. Banyakkan sayur sayuran,
kalau rajin petang-petang ajak adik pergi jogging dekat taman.” Nasihat Umairah
sambil melirik kearah Ikmal yang merupakan adik bongsu Ifran. Ikmal yang kini
tingkatan 5 sekadar tersengih mendengar kata-kata kakak iparnya. Ifran merenung
wajah isterinya dari sisi. Inilah satu-satunya sikap yang dia suka yang ada
pada Umairah.
Gadis itu ternyata begitu sayang pada keluarganya dan dia tahu Umairah
tidak berpura-pura dengan kasih sayang yang di tunjukkan kini. Kalau di bandingkan
dengan Atikah, Atikah sedikit sebanyak sukar untuk merapatkan diri dengan keluarganya
seperti yang Umairah lakukan kini. Mungkin sebab itu neneknya dan emaknya begitu
berkenan bermenantukan Umairah meskipun mereka tahu siapa Atikah di hatinya.
“ Abah bukan tak nak kak long. Si adik ni haa... Bukannya
nak teman abah pergi berjoging. Sibuk keluar dengan kawan-kawan dia.. Remajalah
katakan.” Encik Tarmizi berkata selamba..
“ Amboi..Amboi..Amboi. Sedap abah kutuk adik. Padahal
tiap-tiap hari adik ajak pergi jogging dia yang kata tak nak. Sekarang salahkan
adik pulak tak temankan abah...” Ikmal berkata separuh merajuk. Sengaja
mengenakan ayahnya.
“ Yang kamu ajak
tu sekali je... Bila masa pulak tiap-tiap harinya. Abah ni ha yang ajak kamu tiap-tiap
hari.” Tempelak encik Tarmizi.. Perbalahan antara encik Tarmizi dan Ikmal
mengundang senyum dibibir setiap ahli keluarga Ifran. Tahu sangat sikap encik Tarmizi
dengan anak bongsunya itu. Malah boleh dikatakan encik Tarmizi paling rapat
dengan Ikmal namun tidak terlalu memanjakan jejaka pujaan pelajar wanita disekolahnya
itu.
“ Abah dengan adik sama aje... Mak tak pernah dengar pun
korang dua orang bincang nak pergi jogging. Pergi makan dekat kedai mamak ada
la.” Kata-kata akhir puan Zaharah mendatangkan gelak semua orang disitu.
Ternyata encik Tarmizi dan Ikmal sama-sama malas jogging. Setelah hampir sejam
bersembang akhirnya Umairah dan Ifran berangkat ke biliknya yang terletak
ditingkat dua rumah dua tingkat milik encik Tarmizi.
Umairah
bersiap-siap memakai tudung sebelum keluar dari biliknya yang dikongsi bersama
Ifran. Dengan wujudnya Ikmal yang ternyata sudah cukup umur itu, terpaksalah
dia memakai tudung didalam rumah mertuanya.
“ Kau nak ke mana?” Soal Ifran tatkala melihat Umairah
mengepin kemas tudungnya. Tudungnya melabuhi dada. Bagus. Detik hati Ifran.
Biasanya Umairah begini apabila mahu keluar dari rumah.
“ Tolong mak masak la apa lagi... Takkan nak jadi menantu
pemalas kot..” Balas Umairah.
“ Dah habis elok la tu kau pakai tudung?” Perli Ifran
dengan senyuman kecil. Umairah tidak mengerti dengan kata-kata Ifran. Elok la
macam ni.. Nak macam mana lagi.
“Eloklah ni... Takkan nak pakai tudung berjambul pulak.
Baik tak payah pakai tudung.” Sela Umairah sinis. Diabaikan kata-kata Ifran
lalu menuju ke daun pintu. Bercakap dengan Ifran, sampai ke esok pon tak habis
nak melayannya. Langkah Umairah yang agak besar terhenti tatkala Ifran memegang
bahunya perlahan. Umairah memalingkan mukanya. Merenung Ifran dengan tanda
tanya.
“Apa lagi? Kesian mak sorang-sorang masak dekat dapur
tu.” Gesa Umairah.
“ Kalau jaga aurat
kat depan elok pon tapi kat belakang terdedah nak buat ape?” Sindir Ifran. Umairah
mengerutkan dahinya. Tidak faham kata-kata suaminya. Tiba-tiba terasa hangat tangan
Ifran menyentuh belakang lehernya lembut. Meremang bulu roma Umairah seketika.
Air liur didalam kerongkongnya seakan terlekat saat ini.
“ Ini haa... Nak tunjuk dekat siapa?” Bebel Ifran lagi sambil
membetul-betulkan tudung Umairah yang sedikit terlipat kedalam. Setelah dia
berpuas hati keadaan tudung Umairah sudah dalam keadaan yang kemas barulah
dihentikan tangannya dari menyentuh belakang kepala isterinya itu. Umairah
terdiam dengan perlakuan Ifran sebentar tadi. Perasaan malu menghimpit jiwanya.
Wajahnya sudah memerah.
Namun begitu ada sedikit perasaan bahagia mulai
mewarnai hati kecilnya. Ifran tersenyum kecil melihat wajah Umairah yang sudah
memerah. Wajah malu gadis itu nampak ayu dimatanya. Dia cepat-cepat
beristighfar. Menghentikan diri dari merasa gembira dari hatinya. Dia cuba
mengingatkan wajah Atikah bagi menghalau jauh perasaan aneh yang mula menapak
dalam hatinya.
“ Terima kasih..” Ucap Umairah sambil mencepatkan langkah
kearah pintu kamar. Dia terasa malu sangat untuk mengucapkan perkataan itu
namun dia tahu dia patut meluahkan setelah Ifran melindungi maruahnya dari
dilihat adik iparnya Ikmal.
“ Tak apa... Aku buat pun supaya dosa aku yang banyak ni tak
makin banyak...” Desis Ifran selamba. Umairah bergegas ke dapur untuk membantu
ibu mertuanya. Tak nak di cop menantu yang tidak boleh diharap.
Umairah
membantu puan Zaharah memotong sayur-sayuran yang bakal di goreng sekejap lagi.
Menu malam ini ialah gulai kari ayam, sayur campur goreng dan ikan siakap tiga
rasa memang betul-betul membuka seleranya. Masakan puan Zaharah memang mantap.
Boleh buka kedai makan bak kata encik Tarmizi.
“ Kak long...” Panggil puan Zaharah lembut. Dia mahu
berbicara perihal wanita dengan menantunya. Setelah dipastikan hanya dia dan Umairah
berada didapur barulah dia berani membuka mulut.
“ Ye mak... Kenapa?” Soal Umairah gusar. Takut ada
kesalahan yang dilakukan. Ditilik sayur yang di potong lama. Aku salah potong
ke? Desis hati Umairah sebelum melabuhkan kembali pandangannya pada wajah puan
Zaharah yang sedang merenung lembut kearahnya. Betul-betul membuatkan dia
teringat puan Zaleha. Ibu yang tersayang.
“ Mak nak tanya sikit. Kak long jangan kecil hati pulak.”
Permulaan kata-kata milik puan Zaharah mendatangkan rasa cuak dihati Umairah.
Apalah yang ingin ditanya oleh ibu mertuanya ini. Tangannya terhenti dari
memotong sawi yang tinggal beberapa batang lagi. Tumpuan diberi sepenuhnya
kepada puan Zaharah.
“ Apa dia mak?” Umairah kian gugup. Berharap ada sesiapa
datang membantunya ketika ini.
“Kak long dengan along merancang ke?” terpancul soalan
cepumas dari mulut puan Zaharah. Berharap sangat jawapan yang bakal dikeluarkan
oleh Umairah ialah TIDAK. Dia kalau boleh mahukan cucu segera. Dia teringin
mendengar riuh suara kanak-kanak. Orang lain yang seusianya sudah 2 hingga 3
orang sudah cucunya. Tapi dia satu pun tiada. Umairah dan Ifran pun sudah kawin
hampir 2 tahun.
“ Tak ada rezeki lagi mak.” Balas Umairah sayu. Sedih
kerana terpaksa berbohong dengan mertuanya ini. Puan Zaharah terasa bersalah
mendengar jawapan dari Umairah yang kedengaran kecewa. Pasti Umairah lebih
sedih berbanding dirinya.
“ Mak minta maaf kak long. Mak tak berniat nak buat kak
long kecil hati. Tapi itu la naluri orang tua. Nak merasa pegang cucu sendiri
pulak.” Pujuk puan Zaharah tatkala melihat wajah mendung Umairah. Umairah makin
sedih apabila mendengar pujukan emak mertuanya. Pasti wanita itu ingat dia
bersedih kerana tiada anak padahal perkara lain yang disedihkan. Dipegangnya
tangan tua milik puan Zaharah.
“ Tak pe mak.. Kak long faham. Ibu dekat kampung pun dah
banyak kali tanya.” Balas Umairah lembut. Cuba mengambil hati puan Zaharah.
“ Kak long tak pergi check kat klinik ke? Ye la kot-kot
ade tersumbat kat mana-mana. Mungkin nak kena perbetulkan kat mana-mana. Bawak
along sekali.” Cadang puan Zaharah. Dia tak bermaksud untuk mengatakan anak
menantunya mandul tapi sekadar memberi cadangan yang dirasakan patut dilakukan
oleh Umairah dan Ifran. Umairah diam. Tidak tahu nak berkata apa lagi. Dia
sudah tidak sampai hati menipu orang tua ini lagi.
“ Nanti kak long bincang dengan along.” Jawapan selamat
diberikan oleh Umairah bagi tidak terus menipu lagi. Tak berdaya rasanya mahu
menipu puan Zaharah yang sudah dianggap seperti ibu kandung.
“ Apa kata kak long dengan along pergi honeymoon. Seingat
mak korang berdua tak pergi honeymoon lagi. Ye la masa kawin hari tu kan sibuk
belajar. Mungkin kalau pergi bercuti ni kurang sikit stress kerja. Jadi anak
pun mudah lekat nanti.” Tambah puan Zaharah lagi. Umairah terdiam sekali lagi.
Tidak tahu bagai mana mahu menjawab kali ini.
“ Kami bukan tak nak pergi mak... Kerja along kat office
tu melambak-lambak.. Student kak long pulak nak menghadapi PMR tak lama lagi. So
kami busy sikitlah.” Balas Ifran yang tiba-tiba muncul didapur. Dia mendengar
semua perbualan antara emaknya dan isterinya sebentar tadi dan dia bersimpati
terhadap Umairah yang seolah-olah tidak tahu bagaimana mahu menjawab bagi setiap soalan-soalan ibunya.
“ Kamu tu along. Busy busy busy.. Cuba luang sikit masa
untuk isteri kamu ni. Mak tengok korang berdua pun tak mesra sangat.. Tak macam
laki bini lain..” Bebel puan Zaharah. Umairah dan Ifran terkejut dengan tuduhan
emak Ifran yang teramat tepat. Mereka menjeling antara satu sama lain. Hati
mereka sama-sama berfikir, adakah puan Zaharah sudah dapat menghidu hubungan
mereka yang tidak pernah elok selama ini.
“ Eh apa mak ni... Kitorang okey je la. Kan sayang kan..”
Balas Ifran gabra sambil memeluk bahu isterinya. Umairah sekadar mengangguk
mengiakan kata-kata suaminya.
“ Kalau okey tak apa la.” Puan Zaharah tidak jadi untuk meneruskan
leteran tatkala mak Jah masuk kembali kedalam rumah bersama ikan yang sudah
siap di siang. Dia tidak mahu menjatuhkan maruah anak menantukan dihadapan mak
Jah meski pun mereka semua sudah menganggap mak Jah sebagai ahli keluarga
sendiri.
Bab 26
Umairah menonton televisyen yang betul-betul setentang
dengannya. Telefon bimbit yang dibawa diletak diatas riba. Kedengaran bunyi pintu
ditolak membuatkan mata Umairah mengerling kearah bilik Ifran. Terjengul wajah
Ifran yang agak lesu mara ke ruang tamu. Mungkin banyak kerja yang perlu dibuat
oleh lelaki itu.
“ Nak minum?” Soal Umairah apabila Ifran melabuhkan diri
disebelahnya. Tumpang menonton slot Lestary.
“ Boleh jugak.” Cepat sahaja Ifran setuju. Bagaikan orang
mengantuk disorongkan bantal.
“ Kejap yer...” Minta Umairah sambil berlalu ke dapur.
Handset yang berada diribaan diletak diatas meja yang terdapat di ruang tamu.
Hampir 5 minit kemudian, muncul Umairah dengan secawan teh panas. Diunjukkan
minuman itu kepada Ifran yang sedang ralit menonton televisyen.
“ Nah...”
“ Terima kasih.” Ucap Ifran ikhlas. Minuman panas itu
diteguk perlahan. Baru hilang rasa penat setelah berjam-jam mengadap laptop.
“ Hmmm... Telefon kau ada berbunyi tadi.” Ujar Ifran
sambil menunjukkan kearah telefon Umairah yang berada diatas meja. Umairah mengerut
dahinya sehingga berlapis-lapis.
“ Siapa pulak cari aku malam-malam macam ni.” Omel
Umairah dengan mulut yang sedikit terjuih ke depan. Telefon bimbit itu dicapai
lalu ditekan. Membaca pesanan ringkas yang masuk didalam hati.
‘ Salam... Kita jumpa esok boleh. Esok hari lahir saya.’
Mesej dari Haikal dibaca. Umairah termenung sejenak. Perlu ke dia jumpa dengan
Haikal? Ahh tak salah rasanya, lagi pon Haikalkan temannya. Esok pula hari
lahir jejaka itu. Tidak patut pulak ditolak ajakkan dari Haikal tanpa alasan.
“ Okey.. Boleh je. Dekat mana nak jumpa?” Balas Umairah
sambil pantas menekan punat telefonnya. Ifran disebelah sudah mula menjeling.
Ada riak tidak senang apabila melihat Umairah khusyuk dengan telefonnya.
“ Teet...” Satu lagi mesej masuk. Umairah cepat-cepat
membuka dan meniliknya.
“ Terminal One... Saya nak cari barang dekat sana.” Itulah yang
pesanan ringkas yang diterima dari Haikal.
“ Nak cari barang pon ajak aku ke? Macam tak ada orang
lain nak ajak.” Rungut Umairah namun tidak terluah. Dia terus membalas ‘okey’
dengan permintaan Haikal. Melayan birthday boy sekali sekala pon apa salahnya.
Sehari dalam setahun.
“ Pukul berapa nak jumpa?” Umairah menghantar sekeping
lagi mesej setelah menyatakan persetujuan. Selang beberapa minit kemudian,
mesej yang dihantar telah pun berbalas.
“ Pukul 3 dekat sana. Jumpa awak esok.” Ifran yang melihat
Umairah diam dengan telefonnya mula panas hati. Dijeling wajah Umairah yang
bersahaja.
“ Kenapa?” Terpancul pertanyaan dari bibir Umairah
apabila menangkap jelingan Ifran. Macam tak puas hati sahaja mimik muka suaminya.
“ Mesej dengan siapa?” Dingin intonasi suara Ifran. Cawan
berisi teh panas diletakkan semula diatas meja.
“ Kawan. Kenapa?”
“ Siapa?” Tekan Ifran lagi. Tidak gemar apabila melihat
Umairah cuba berdalih dengannya.
“ Haikal.” Balas Umairah pendek. Air liur ditelan
sebiji-sebiji. Entah kenapa perasaan takut mula mengisi sekeping hatinya
apabila memberitahu kebenaran kepada Ifran. Lagi-lagi dengan riak muka Ifran
yang mula menegang.
“ Apa boyfriend kau nak?” Sela Ifran geram. Badannya yang
tadi duduk kini sudah bingkas berdiri. Mencerlung kearah Umairah.
“ Kenapa kau nak tahu?” Bidas Umairah pula. Tidak puas
hati dengan amarah Ifran terhadapnya. Salah ke aku nak mesej atau pun jumpa
Haikal? Apa kaitan Haikal dengan Ifran.
“ Kau tu bini aku... Mestilah aku kena tahu semua ni.”
Makin meninggi suara Ifran. Umairah tergelak sinis.
“ Bini atas kertas je pon.” Acuh tak acuh jawapan
Umairah. Disilangkan kakinya supaya lebih selesa. Matanya sudah tidak tertacap
pada kotak televisyen.
“ Bini atas kertas ke, bawah kertas ke kau tetap bini
aku. Dia nak apa?” Jerkah Ifran makin hilang sabar. Mendengar nama Haikal buat
hatinya tidak senang. Ada rasa cemburu mula merantai perasaannya.
“ Dia ajak aku keluar esok.”
“Dah tu kau setuju?” Pintas Ifran tanpa sempat Umairah
selesai menjelaskan perkara sebenar.
“ Kenapa pulak nak tolak? Lagi pon esok birthday dia. Tak
elok pulak tolak ajakkan dia.” Jujur Umairah yang mula mengendurkan suara. Dia
malas bergaduh dengan Ifran hanya kerana perkara kecil.
“ Masa kau setuju tu ada kau tanya aku tak?” Tengking
Ifran lagi. Makin geram dengan jawapan Umairah. Sesenang hati keluar dengan
jantan lain tanpa kebenarannya. Langsung tidak hormat padanya sebagai suami.
“ Nak tanya kau buat apa? Haikal tu bukan kawan kau pon!”
Umairah sedikit mencebik. Kurang faham dengan persoalan dari Ifran.
“ Aku ni siapa dengan kau Mai?” Umairah terkedu.
Teragak-agak untuk menjawab soalan Ifran. Tapi yang pasti kepala otaknya rimas
dan pelik dengan tingkah laku Ifran malam ini. Mungkin tekanan kerja membuatkan
urat kepala Ifran putus! Kutuk hati Umairah sambil matanya mengerling wajah
Ifran yang sudah mencuka.
“ Suami aku!”
“ Kau tak pernah belajar ke tanggungjawab seorang isteri
macam mana? Kalau nak keluar kena minta izin suami. Itu pon nak kena ajar ke?”
Ifran membebel panjang. Umairah mengeluh kecil.
“ Kau merepek apa ni If? Sejak bila pulak rumah tangga
kita ni kena ada tanggungjawab bagai? Bukan ke selama ni kita hidup macam orang
asing? Kau hal kau, aku urusan aku.” Tempelak Umairah. Badannya tadi enak
menyandar pada sofa bingkas bangun. Berura-ura untuk meninggalkan ruang tamu
lalu ke kamar tidurnya. Bingit telinganya untuk menyambung pergaduhan sia-sia
dengan Ifran.
“ Aku tak kisah la macam mana keadaan rumah tangga kita
sebelum ni. Tapi mulai hari ini aku nak kau beritahu aku kalau nak ke mana-mana.
Mintak izin aku dulu. Esok, aku tak benarkan kau jumpa Haikal! Noktah.” Tambah
Ifran apabila melihat Umairah sudah beredar pergi meninggalkannya. Umairah diam
tanpa membalas namun perasaannya teramat sebal dengan sikap Ifran.
“ Dasar lelaki ego!” Bentak Umairah didalam hati. Dia
menutup daun pintu biliknya kemas. Perasaan menyampah dan meluat bertingkat
dihati.
Ifran melemparkan tubuhnya diatas katil. Tangan
diletakkan diatas dahi manakala matanya pula melekat pada siling didalam
biliknya. Pening sungguh kepalanya memikirkan perasaan sendiri. Sejak dua
menjak ini, lain macam sahaja hatinya apabila bersama Umairah.
“ Apa kena dengan aku sebenarnya? Yang aku nak marah
sangat Mai keluar dengan kekasih dia kenapa?” Rungut Ifran dengan perasaan yang
tidak senang. Wajahnya yang terasa berserabut diraup kasar. Cuba melepaskan
rasa rimas yang mencengkam jiwa.
“ Aku cemburu ke?” Soal Ifran pada dirinya sendiri.
Badannya bingkas bangun lalu berdiri sebelum dia mundar mandir mengukur bilik
sendiri.
“ Tak! Aku tak cemburu pon. Aku hanya buat apa yang aku
pernah janji pada Mai. Dia tidak boleh bahagia setelah apa yang dia dah lakukan
terhadap aku dan Atikah.” Ifran meyakinkan diri sendiri. Cuba menolak sebarang
spekulasi yang berlegar dibenaknya. Masakan perasaan lama itu ada lagi?
Bukankah hatinya sudah diberikan kepada Atikah sepenuhnya.
Seperti biasa setelah menghidangkan sarapan, Umairah mara
ke bilik Ifran untuk memanggil suaminya menikmati sarapan bersama. Hari ini, Umairah
berazam untuk mengambil hati Ifran supaya jejaka itu membenarkan dia bertemu
Haikal. Masakan dia mahu memungkiri janji yang dah di buat. Pasti Haikal akan
berkecil hati lagi-lagi hari ini hari lahir lelaki itu.
“ If... Jom sarapan.” Laung Umairah dari luar setelah
mengetuk pintu bilik Ifran beberapa kali. Terdengar bunyi daun pintu ditarik
sebelum wajah Ifran terjengul dimuka pintu. Mereka beriringan menuju ke dapur
untuk menikmati sarapan pagi.
“ Hari ini aku buat coklat panas kegemaran kau.” Jelas
Umairah tanpa dipinta. Secawan coklat panas dihidangkan didepan Ifran. Senyuman
mesra tak lekang dibibir.
“ Baca la doa.” Minta Umairah setelah selesai menghidang
nasi goreng kedalam pinggannya dan Ifran. Wajah Ifran dipandang dengan lembut
dan mesra. Buat-buat lupa pertengkaran mereka semalam. Ifran mengaminkan doa
makan tanpa banyak soal. Dalam diam tertanya-tanya sikap Umairah yang terlebih
baik hari ini. Bukankah baru semalam mereka bergaduh kerana Haikal?
“ Sedap tak?” Desis Umairah memecahkan kesunyian pagi.
Pandangan dihalakan pada wajah Ifran. Jejaka itu hanya diam tidak berkutik.
Sekadar mengangguk sebagai jawapan kepada pertanyaan Umairah.
“ Nak sos cili?” Tanya Umairah sambil bingkas mendapatkan
sos cili yang disimpan di atas rak. Terkedek-kedek dia kembali ke meja makan
dengan sos cili ditangan. Ifran mendengus kecil dengan sikap Umairah pagi ini.
Ini mesti ada apa-apa ni. Baik semacam je. Umairah menuangkan sedikit sos cili
kedalam piring yang dibawa bersama. Diletakkan piring itu ditengah meja makan
untuk memudahkan dia dan Ifran mencalitkan pada nugget ayam. Suasana hening
kembali. Masing-masing memberi tumpuan kepada hidangan pagi ini.
“ Malam karang nak makan apa?” Umairah masih belum
berputus asa untuk menarik perhatian Ifran. Riak Ifran yang bersahaja dipandang
lama.
“ Masak je la apa-apa pon.” Balas Ifran malas. Umairah
mengeluh kecil. Mula ketandusan idea untuk berbicara dengan Ifran. Jejaka ini
langsung tidak berminat untuk berbual dengannya.
“ If...” Panggil Umairah akhirnya. Nasi goreng didalam
pinggan dia dan Ifran sudah hampir habis dibedal. Ifran mengangkat wajahnya
yang menunduk sedari tadi. Membalas pandangan Umairah yang setia merenungnya.
“ Ermmm... Erm.” Tergagap-gagap Umairah ingin menyambung
kata. Takut pula dia ingin mengadap boss besar didepannya saat ini. Buatnya
Ifran mengamuk, tak memasal dia mendapat tengkingan percuma dari Ifran dipagi
hari. Haru biru hidupnya!
“ Apa dia?” Sergah Ifran apabila melihat kekalutan dalam
diri Umairah. Umairah menelan liurnya satu persatu. Berdegup kencang hati dan
perasaannya waktu ini.
“ Bol.. Boleh tak aku...” Terhenti sekali lagi bicara
dari Umairah. Ifran merengus kasar. Mula hilang sabar dengan Umairah yang
berteka-teki. Tersekat-sekat bicara gadis itu bagaikan ada seketul emas didalam mulutnya.
“ Boleh tak apa?” Tinggi suara Ifran buat Umairah kecut
perut. Diketap bibirnya kuat! Cuba mencari keberanian yang hilang.
“ Boleh tak bagi aku keluar dengan Haikal petang nanti?”
Dengan satu nafas Umairah berkata. Fuh! Keluar pon soalan tu. Ifran memandang
lama wajah Umairah. Patutlah baik semacam Umairah pagi ini, rupanya nak meminta
kebenaran untuk bertemu Haikal.
“ Tak boleh!” Bentak Ifran keras. Mahu Umairah sedar yang
dirinya tegas dalam keputusan itu.
“ Boleh la...” Rengek Umairah perlahan. Dikerdip-kerdip
matanya memohon pengertian dari Ifran.
“ Aku kata tak boleh.” Balas Ifran garang. Umairah
menghela nafas panjang, matanya tak lepas dari memandang wajah Ifran.
“ Please.. Kali ni je.. Aku dah berjanji dengan dia
semalam. Tak syok la kalau tiba-tiba aku mungkir janji.” Pujuk Umairah dengan
nada yang rendah. Dia masih lagi memandang wajah Ifran dengan penuh harapan.
“ Aku peduli apa. Yang aku tahu sekarang ni, kau tak
boleh jumpa dia. Aku tak izinkan. Itu sahaja!” Tegas Ifran sekali lagi. Ifran
bingkas bangun lalu meninggalkan meja makan menandakan perbincangan antaranya
dan Umairah telah tamat. Umairah menghantar pemergian Ifran dengan perasaan
menggerutu. Tapi tak apa, selagi belum tengahari selagi itu aku akan usahakan
sampai dia izinkan. Janji Umairah didalam hati.
Waaaaaaaa best2.. wlupon 2 bab tp rs pendek.. x puas baca... huhuhu
ReplyDeletecukup2 la untuk hari ni... esok Eneiy sambung lagi. hehehe.
Deletetq kerana sentiasa menyokong cerita ni.
Hahahahaha sy mmg tamakkk.. jgn layan sgt ketamakkan sy ni.. bile2 ade idea up je.. tp klu hr2 up lg best hehehhehe
DeleteWaaaaa.....tenkiu eniey......dua bab mlm ni....adoiiiii bila la diorg nk berbaikkk....ishhh masing2 keras kpla...ego
ReplyDelete