Bab 17
“ Nasi goreng USA 2, satu limau ais dan satu teh panas?”
Soal pelayan muda itu setelah mendengar pesanan dari Umairah dan Ifran. Ifran
dan Umairah mengangguk kepalanya tanda betul. Pelayan itu berlalu pergi setelah
pesanan telah dipastikan. Suasana antara Ifran dan Umairah sunyi sepi.
Masing-masing diam tidak berkutik. Umairah mengerling wajah Ifran yang kelat bersamanya.
Raut wajah lelaki itu dipandang lama. Entah kenapa timbul satu rasa aneh yang
mula menggebu didalam hatinya. Perasaan yang pernah mendiami hatinya suatu masa
dahulu.
“ Dah jatuh cinta dekat aku ke?” Sela Ifran yang sempat
menangkap panahan mata dari Umairah yang asyik merenungnya. Umairah tersentak
lalu cepat-cepat mengalih pandangannya. Ada rasa malu mula menggebu didalam
hati.
‘kantoilah pulak...’ Umairah memarahi dirinya sendiri
yang tidak pandai menjaga pandangan mata.
“Perasan!” Kutuk Umairah perlahan. Namun tak dinafikan
hatinya bergetar hebat apabila matanya dan Ifran bertembung antara satu sama
lain.
“Dah curi pandang tak nak mengaku pulak!” Balas Ifran
sedikit mencebik. Tapi secara logiknya Umairah mana mungkin jatuh hati padanya.
Gadis keras hati dan pendendam seperti Umairah pasti tidak tahu erti cinta.
Tapi lebih baik begitu, dia jijik untuk dicintai oleh perempuan seperti
Umairah. Perempuan yang berhati kejam! Umairah diam. Malas bergaduh dengan
Ifran.
“ Kau memang tak masak ke dekat rumah?” Terpancul soalan
yang berlegar di fikiran Umairah. Wajah Ifran yang kelihatan tegang ketika
bersamanya ditatap. Ifran membiarkan soalan dari Umairah dibawa angin lalu. Dia
tidak berminat untuk berborak kosong dengan Umairah. Perasaan benci dan meluat
terhadap gadis ini masih lagi menebal dihatinya. Jangan Umairah fikir
kesudiannya untuk berkongsi rumah bermaksud mereka sudah berbaik. Tak akan
sesekali dia maafkan Umairah kerana tegar merosakkan kebahagiannya dan Atikah
demi kepentingan hati sendiri. Umairah mengeluh kecil dengan respon dingin
Ifran dan akhirnya turut berdiam diri. Hampir 5 minit berlalu, pesanan yang
dibuat telah pun tiba. Setelah mengaminkan doa makan, Ifran dan Umairah mula
menjamu selera. Masing-masing hanya diam seperti orang asing. Langsung tiada
perbualan antara mereka sehinggalah selesai makan dan tiba dirumah.
Umairah memasukkan lima pasang baju kurung dan lima helai
tudung ke dalam bakul baju. Sebentar lagi dia mahu menggosok pakaiannya memandangkan
lagi 2 hari tugasnya sebagai guru akan bermula. Setelah selesai memilih baju
selama seminggu untuk dipakai, Umairah mara ke bilik Ifran. Diketuk daun pintu bilik
suaminya beberapa kali.
“ Nak apa?” Nak tak nak sahaja Ifran bertanya. Raut wajah
Umairah dipandang sepintas lalu.
“Aku nak gosok baju... Bagilah baju kau sekali. Aku
tolong gosokkan. Jimat sikit bil elektrik nanti.” Jelas Umairah dengan lembut. Senyuman
mesra dihadiahkan kepada Ifran meski pon jelas dimatanya Ifran sempat menarik
muka apabila mengadap wajahnya.
“ Kejap...” Balas Ifran sambil menghilangkan diri ke
dalam biliknya. Langsung tidak menolak bantuan yang cuba dihulurkan Umairah.
Alang-alang dah ada orang sudi menolong apa salahnya. Boleh dia kulikan
Umairah. Umairah masih lagi terpacak dihadapan bilik suaminya. Setelah beberapa
minit berlalu, datang Ifran bersama-sama satu bakul baju yang mengandungi baju
kemeja dan seluar slack.
“Nah!” Ifran menyerahkan bakul yang mengandungi baju itu
kepada Umairah. Umairah menelan liur melihat baju dan seluar yang ada dalam
bakul. Banyaknya! Ini stok seminggu ke sebulan?
“ Hanger?” Minta Umairah. Ifran sekali lagi lesap kedalam
biliknya. Membawa penyangkut baju yang cukup dengan bilangan baju yang diberi.
Penyangkut baju bertukar tangan.
“Ada lagi nak apa-apa?” Soalan Ifran berbaur sarkastik.
Umairah terdiam.
“Tak ada apa-apa dah.” Jawab Umairah tenang. Walaupun
sikap Ifran amat menyakitkan hati, namun dia tetap akan berusaha menjadi isteri
yang baik. Dia mahu menebus kesilapannya terhadap lelaki ini walaupun dia sedar
apa yang dilakukan saat ini tidak seberapa berbanding kesilapannya terhadap
suaminya itu. Tanpa tunggu lama, Ifran menutup pintunya kemas setelah mendengar
jawapan dari Umairah meski pun gadis itu masih lagi terpacak didepan pintu
biliknya.
Setelah selesai menggosok bajunya dan Ifran, Umairah mula
mengemas satu persatu baju yang digantung secara rambang. Di ambil baju Ifran
sebanyak 10 helai itu lalu dibawa ke bilik lelaki itu. Kebetulan pula pintu
bilik Ifran terbuka luas memudahkan urusannya untuk menghantar baju tersebut.
“If...” Teriak Umairah sambil melangkah masuk bilik
Ifran. Ifran yang sedang mengadap komputer riba agak terkejut dengan sapaan tak
semena-mena dari Umairah. Darahnya mula mendidih apabila melihat kehadiran
Umairah didalam biliknya tanpa dijemput.
“Siapa bagi kau kebenaran masuk bilik aku?” Tengking
Ifran keras. Mencerlung matanya memandang wajah Umairah yang berubah riak. Takut
dan terkejut!
“ Err.. Maaf!” Minta Umairah serba salah. Cepat-cepat dia
keluar dari bilik jejaka itu. Kecut perutnya melihat amukan Ifran yang tidak
dijangka. Salahnya juga yang memandai sahaja masuk bilik Ifran tanpa kebenaran.
“Kau jangan nak memandai masuk bilik aku... Kau kena
ingat ini rumah aku. Bukan rumah kau. Kau tu menumpang jer!” Ungkit Ifran lagi.
Nada suaranya masih sama seperti sebelum ini. Umairah menelan liur melihat
amarah Ifran. Macamlah kesalahan aku besar sangat!
“ Ini baju kau...” Luah Umairah lambat-lambat sambil
menghulurkan baju yang disangkut elok pada penyangkut baju. Ifran mara kearah
Umairah lalu merampas baju itu kasar. Selepas mendapatkan bajunya yang sudah
siap digosok, pintu bilik dihempas kasar tanda perbualan mereka malam ini telah
tamat. Umairah tersentap. Hancur luluh perasaannya melihat layanan Ifran
terhadapnya. Begitu benci Ifran kepadanya kini. Hanya kesalahan kecil sebegitu
dia ditengking sesenang hati. Tapi apa boleh buat, mungkin ini balasan untuk
kesilapan yang dah dia lakukan terhadap lelaki itu.
Atikah membelek-belek laporan kewangan yang disediakan
beberapa kali. Ingin memastikan tiada kesalahan yang dibuat. Dia tahu pengurus
syarikat mereka seorang cerewet. Salah eja sikit pun tak boleh. Itulah Ifran. Sangat
berbeza waktu bekerja dengan waktu lain. Setelah berpuas hati, Atikah mara
kebilik pengurus syarikat dan bertemu dengan kak Mona iaitu setiausaha Ifran
untuk memberitahu kedatangannya yang ingin bertemu pengurus syarikat Kicap
Tarmizi itu.
“ Kak Mona, saya nak jumpa encik Ifran kejap. Dia ada
tak?” Soal Atikah sopan. Kak Mona yang tua 10 tahun darinya sekadar mengangguk
dan melemparkan senyuman manis kepadanya. Kak Mona memberitahu kehadiran Atikah
kepada Ifran melalui intercom.
“ Encik Ifran ada dekat dalam. Dia suruh masuk.” Balas
kak Mona lembut. Dia memandang lama wajah Atikah yang kini sudah hilang
disebalik pintu. Ada juga dia mendengar gosip antara Atikah dan encik Ifran dan
dia juga pernah juga mendengar encik Ifran itu sudah berkahwin namun sekali pun
dia tidak pernah nampak wajah isteri encik Ifran. Entah-entah Atikah lah isteri
encik Ifran. Dia perasan juga yang encik Ifran seperti ada hati kepada Atikah
dan layanannya terhadap Atikah sangat berbeza dengan layanan untuk pekerja yang
lain. Normal la kan kalau mereka merahsiakan perkahwinan mereka. Mungkin Atikah
tak nak orang mengata dia mendapat jawatannya sekarang kerana suaminya anak bos
syarikat itu.
‘Hmmm.... Logik jugak.’ Desis hati kak Mona membuat
spekulasi.
“ Encik Ifran ni laporan kewangan syarikat kita sekarang.
Kalau kita nak buat rancangan promosi yang encik Ifran cakap tu boleh sangat.”
Atikah memulakan bicara setelah dijemput duduk oleh Ifran. Ifran membelek-belek
fail yang diperolehi. Bagus. Semua maklumat lengkap. Dia ingin tahu kedudukan kewangan
syarikat. Dia tahu promosi yang ingin dilakukan bersempena ulang tahun syarikat Kicap Tarmizi yang ke 25 yang akan menjelma tidak lama lagi agak memakan banyak perbelanjaan namun
pulangannya turut lumayan. Dia menyimpan fail itu. Sempat matanya mengerling
jam di tangan. Sudah pukul 4 petang. Sekejap sungguh masa berlalu.
“ Nanti balik saya hantar.” Tawar Ifran. Atikah yang
sudah bekerja dengannya hampir setengah tahun masih belum mempunyai kereta
sendiri. Katanya belum cukup duit untuk
memiliki kenderaan sendiri. Sebab itulah dia biasanya menaiki kenderaan awam.
“ Tak payah la. Saya boleh balik sendiri.” Tolak Atikah
lembut. Dia tidak suka menumpang Ifran. Dia sebolehnya ingin menjaga
hubungannya sebagai pekerja Ifran tanpa sebarang perasaan lain. Dia tahu Ifran
masih lagi menaruh hati padanya. Dia tak nak memberi sebarang harapan kepada
Ifran setelah hatinya betul-betul telah tertutup untuk hubungan mereka.
“ Alah tak pe la. Rumah kita satu arah je kan. Nanti
dalam pukul 5.30 saya pergi unit awak. Tunggu tau.” Ifran memberi arahan.
Atikah terasa berat hati. Salah satunya kerana Ifran adalah suami Umairah yang
keduanya dia tidak mahu menghangatkan lagi gosip percintaannya dan Ifran di
dalam pejabatnya ini. Gosip liar semata-mata. Namun semua itu kesan daripada
tindak tanduk Iftan yang tidak sudah-sudah mendekatinya.
“ Tak payahlah encik Ifran. Nanti timbul gosip pulak.” Tolak
Atikah lagi. Berharap Ifran akan faham situasinya.
“ Gosip apa pulak?
Kalau diorang nak bergosip pun biar je lah diorang. Saya nak hantar awak balik
aje. Bukan nak buat apa-apa pun.” Jawab Ifran mudah. Atikah mengeluh kasar.
Geram dengan sikap sambil lewa Ifran. Lelaki ini suka mengambil mudah hal-hal
sebegini.
“ Kalau encik Ifran tak kisah, itu urusan encik Ifran....
Tapi saya kisah. Saya tak suka dijadikan bahan gosip diorang. Dah simpan je lah
niat baik encik Ifran tu. Saya balik sendiri.” Tegas Atikah. Bila dia berkata
tidak mahu ini bermaksud dia tidak akan mahu sampai bila-bila. Jadi, usahlah
Ifran menghabiskan masanya dengan memujuknya lagi. Atikah bangun. Dia tidak
mahu mendengar apa-apa lagi.
“ Tak de apa-apa dah kan encik Ifran. saya keluar dulu.”
Minta Atikah. Dia bergegas keluar tanpa menunggu jawapan Ifran. Ifran termenung
sejenak. Memikirkan hubungannya dan Atikah yang tiada tanda-tanda mahu pulih.
Semuanya salah Umairah. Kalaulah Umairah tidak buat onar pasti dia dan Atikah
sedang berbahagia bersama. Dia meneruskan kerjanya yang tertangguh. Dia mahu
fokus kepada tanggungjawabnya ini.
Umairah menghidangkan satu persatu lauk pauk yang dimasak
diatas meja. Setelah berpuas hati dengan susun atur yang dibuat, dia mara ke
arah Ifran yang sedang menonton televisyen.
“Jom makan...” Tegur Umairah setelah tiba disebelah
suaminya. Ifran mengerling kearah Umairah yang tersenyum mesra. Remote tv
dicapai dan ditekan punat ‘off’. Dia mara ke dapur mengekori langkah pantas
Umairah. Ifran sedar Umairah banyak berubah sejak tinggal dengannya. Gadis itu
melayannya dengan amat baik walaupun dia sering membuat perangai tak semenggah.
Apa motif Umairah kali ini? Mahu buat dia jatuh cinta? Adakah Umairah sengaja
menggodanya untuk menyakiti hati Atikah? Apa Umairah fikir aku begitu bodoh untuk
jatuh ke perangkapnya buat kali ke dua.
“ If...” Sapa Umairah sambil melambai-lambaikan tangan
didepan jejaka itu. Ifran tersentak. Baru dia sedar dia dan Umairah sudah pun
mengadap rezeki masing-masing. Jauh sungguh dia mengelamun.
“Bacalah doa.” Arah Umairah perlahan. Bukankah selama ini
Ifran yang membaca doa makan ketika mereka menjamu selera. Ifran tidak membalas
kata-kata Umairah. Dia terus membaca doa memandangkan perutnya yang kebulur
minta diisi.
“ Hmm esok kau nak breakfast apa?” Umairah memecahkan
kesunyian antara mereka. Nasi yang disuap kedalam mulut di kunyah perlahan.
Ifran yang sedang tunduk mengadap pinggan mengangkat wajahnya membalas
pandangan Umairah.
“ Kau buat je la apa-apa pon....” Ujar Ifran malas. Itu
pon dah cukup baik dia melayan setiap pertanyaan dari Umairah. Ikutkan hatinya
mengadap Umairah pun dia tidak sudi. Ifran
kembali menumpukan perhatian pada nasi didalam pinggannya.
“ Erm kau tak memilihkan bab makanan? Tak ada elergik
apa-apa?” Soal Umairah lagi. Dia sebolehnya tak nak memasak makanan yang tidak
dimakan oleh Ifran memandangkan duit dapur telah pon dikongsi bersama. Ifran
merengus kasar. Rimas dengan persoalan yang tak habis-habis dari mulut Umairah.
“ Akukan dah cakap buat je la apa-apa pon.. Tak faham
ke?” Bentak Ifran geram. Apabila berdepan dengan Umairah buat darahnya cepat
mendidih meski pon Umairah bertanya soalan yang mudah sahaja. Umairah mengeluh
kecil. Diketap bibirnya geram.
“Cakap elok-elok tak boleh ke? Susah sangat ke kau nak
jawab soalan aku?” Tingkah Umairah. Matanya merenung tepat wajah Ifran yang
duduk didepannya. Ada rasa sebak mula merantai dihati.
“ Aku punya sukalah nak jawab elok ke tidak. Kalau kau
tak suka cara aku, kau tak payah la nak banyak tanya! Senang citer.” Jerkah
Ifran lagi. Umairah terdiam. Seleranya untuk mengadap makanan semakin tumpul.
“ If... Kita sekarang ni tinggal sekali. Tak boleh ke kau
bertolak ansur sikit dengan aku?” Ifran ketawa jelik dengan persoalan Umairah.
Lucu pula pada halwa telinganya.
“Kau ingat aku nak sangat ke tinggal dengan kau? Kalau
bukan pasal emak dengan abah, jangan harap aku nak terima muka kau kat sini.
Jadi tak payah kau nak berangan hubungan kita akan baik hanya kerana kita tinggal
sekali. Lagi pon, perlu ke aku bertolak ansur dengan perempuan pentingkan diri
sendiri macam kau ni?” Ifran membalas keras. Matanya mencerlung kearah Umairah
yang kelihatan menggigil didepannya. Marah barangkali. Umairah mengepal
tangannya geram, dia sudah tidak tahan lagi untuk mengadap perangai Ifran. Dia
bingkas berdiri dan membawa pinggan nasi yang masih berbaki ke sinki. Dia tidak
dapat membendung hatinya dari merasa kecewa dengan layanan kasar dari Ifran.
Umairah membuka langkah laju meninggalkan meja makan lalu ke biliknya dengan
mata yang sudah berkaca.
Hmmm sian kt Umairah....xsuka la si irfan...sambung lagi yer��
ReplyDeleteHuwarghhh sedih n marah sekali.. sambung cepat huhu
ReplyDelete