BAB 45
Umairah terduduk, terkedu sejenak dengan cerita yang
dibawa ibunya. Puan Zaleha sudah lama meninggalkannya bersendirian setelah
menceritakan hal sebenar diantara keluarganya dan keluarga Atikah. Umairah
tarik nafas dalam-dalam, cuba melegakan pelbagai perasaan yang menyerang
dirinya saat ini. Namun sikit pun rasa tenang dapat dirasai malah air mata kian
melimpah ruah membasahi kedua belah pipinya.
“ Ya Allah...” seru Umairah disaat mindanya cukup tepu
dengan pelbagai rasa. Satu persatu cerita tentang Atikah dan puan Zainab
melayari ingatan. Menambahkan beban rasa bersalah yang sudah tak tertanggung
dipundaknya. Menurut ibunya, sebelum ibu berkahwin dengan abah, abah terlebih
dahulu berkahwin dengan puan Zainab namun tanpa restu keluarga. Dek dibenci
keluarga mertua, pelbagai dugaan dihadapi oleh Zainab. Ibunya pula masa itu
cukup disukai oleh keluarga encik Ismail dan kebetulan pula ibu turut menyimpan
hati pada encik Ismail.
Oleh kerana rasa pentingkan diri yang meluap-luap, ibu
bekerjasama dengan keluarga mertua Zainab dalam meruntuhkan istana yang baru
dibina oleh Zainab dan Ismail. Ternyata usaha ibu berhasil, tak sampai 5 bulan,
perkahwinan Zainab dan Ismail berjaya dibubarkan. Semasa bercerai, Ismail tidak
tahu bekas isterinya sudah pun mengandung. Desakan keluarga menyebabkan Ismail
terpaksa menikahi Zaleha beberapa bulan selepas itu. Selepas bercerai, Zainab
telah membawa diri dengan hatinya yang terluka termasuk juga kandungan yang
belum lagi menampakkan rupa. Identiti Atikah terbongkar sewaktu pertembungan
yang tak sengaja antara Zainab dan Ismail sewaktu menghadiri mesyuarat PIBG
disekolahnya sewaktu dia tingkatan 6. Selepas kejadian itu, ibu berusaha keras
untuk membalas segala kekejaman yang telah dilakukan pada Zainab dengan
menyatukan kembali Zainab dan suaminya. Kata ibu, dia cukup menyesal kerana
telah merosakkan kebahagian Zainab dan abahnya sekaligus merosakkan kebahagiaan
Atikah.
“ Astarfirullah hal azim...” Umairah beristighfar
panjang. Rasa bersalah dan berdosa meluap-luap didalam pelipat dada. Wajahnya
yang sudah tidak terurus diraup kasar. Dia masih tercari-cari sinar ketenangan
dalam diri.
“ apa aku dah buat pada Tikah? Apa yang aku dah lakukan
pada dia? Siapa yang keturunan perampas sekarang ni? Bukan dia yang merampas
tapi aku... sudahlah ibu rampas abah dari emaknya, sekarang aku pulak yang
merampas Ifran darinya. Ya Allah... apa dah aku lakukan ni. Bertapa besarnya
dosa aku pada dia.” Luah Umairah dengan kedua belah tapak tangan yang menutupi
keseluruhan wajahnya. Tersedu sedan dirinya sendiri memikirkan segala perbuatan
keji yang telah dilakukan terhadap Atikah. Air matanya makin laju menitis,
membasahi mukanya sehingga terkena pada baju yang dipakai.
“ selama ini aku ingat emak dia yang rampas abah dari
ibu, aku fikir dia yang cuba ambil kasih abah dari aku tapi rupanya aku salah.
Memang patut abah sayang dia lebih dari aku setelah bertahun-tahun mereka tak
bertemu. Memang patut Tikah dapat sepenuhnya kasih sayang itu dari abahnya
memandangkan dia merupakan anak kandung abah. Bukan anak tiri! Yang bersalah
sekarang ni aku, tergamak sakitkan hati Tikah yang langsung tak berdosa, yang
cemburukan Tikah dengan apa yang sememangnya hak dia, yang merampas segala
kebahagiaannya selama ini. Aku yang berdosa, aku yang paling hina sekarang
ni... bukan Tikah!” bentak Umairah memarahi diri sendiri.
Wajahnya
ditampar-tampar keras, ditepuk-tepuk geram kedua belah pipi memikirkan
kesalahan sendiri. Bertapa dia sedar kesalahan yang tak ternilai besarnya sudah
dilakukan kepada Atikah, kakak kandungnya sendiri. Air mata yang laju mengalir
dibiarkan sahaja mencemari muka, kini kepalanya ligat memikirkan cara terbaik
untuk menebus kesalahan yang sudah dilakukan olehnya terhadap Atikah. Dia tahu,
segala kebahagiaan yang dirasai saat ini telah dibina di atas air mata Atikah.
Perempuan keji sepertinya tak layak untuk terus bergembira, dia tak seharusnya
mengecapi bahagia sedangkan pemiliknya yang sebenar sedang mengalir air mata
duka. Kebahagiaan yang dinikmati saat ini perlu dikembalikan kepada tuannya!
Itu janji Umairah.
Umairah bangkit berdiri, wajahnya yang masih lencun
dengan air mata dilap kasar. Langkah gemalai diatur ke biliknya. Dia perlu
rehat! Otak, perasaan dan dirinya sendiri terlalu penat memikirkan perkara yang
baru diketahui. Mungkin dengan rehat yang cukup, otaknya akan dapat berfungsi
dengan baik dan dia juga dapat menyelesaikan kesalahan yang sudah dilakukan
terhadap Atikah. Tanpa pamitan Umairah tolak daun pintu biliknya dengan keluhan
kecil. Masuk sahaja bilik itu terus matanya menangkap imej Ifran yang sedang
tidur diatas katil. Penat barangkali setelah hampir 6 jam memandu kereta dari
Seremban ke Terengganu.
Perlahan-lahan Umairah menghampiri tubuh suaminya yang
tenang dilambung mimpi nan indah. Langsung jejaka itu tidak sedar kehadirannya
saat ini. Tangannya dipanjangkan, dibelai lembut kepala Ifran. Melihat suaminya
saat ini tidak lagi menimbulkan rasa tenang tetapi membuatkan hatinya dipalit rasa
sedih dan kecewa yang tidak terperi. Terasa perpisahan antaranya dan Ifran kian
menghampiri. Dia perlu, dia wajib memulangkan cinta Ifran kepada pemiliknya
yang sebenar. Cinta dan sayang Ifran bukanlah untuknya, cinta jejaka itu
hanyalah untuk Atikah. Dia perlu satukan kembali hati mereka setelah menjadi
orang ketiga yang menyibuk dalam istana cinta yang telah dibina.
Dia yakin,
masih belum terlambat untuk semua itu. Mungkin cinta Ifran padanya tidak
sedalam cinta Ifran pada Atikah suatu masa dahulu. Cinta Ifran juga padanya
terlalu baru, mungkin baru beberapa bulan terdetik rasa sayang lelaki itu
padanya setelah mereka hidup bersama namun cinta Ifran pada Atikah sudah
terlalu lama. Lebih dari 3 tahun Ifran menyemai dan menjaga cintanya pada
Atikah. Malah Atikah adalah cinta pertama Ifran! Pasti kasih dan sayang
terhadap Atikah masih mewangi dihati Ifran. Jadi, seeloknya dia undur diri.
Tidak perlulah dia terus menerus menjadi batu penghalang antara Atikah dan
Ifran. Sudah tiba masanya kebahagiaan yang terhalang antara mereka sebelum ini
dipulangkan kembali. Mungkin, dengan cara ini sahaja kesilapan besar yang sudah
dilakukan terhadap Atikah dan Ifran dapat diampuni. Umairah sentuh jemari kasar
milik Ifran lembut. Ditatap wajah damai suaminya lama-lama. Mungkin ini kali
terakhir untuk dia merasai semua ini. Selepas ini, tiada lagi istilah suami
isteri antara mereka kerana Ifran akan kembali kepada pemilik cinta sejatinya.
“ Mai sayangkan abang sangat-sangat... Mai cintakan abang
sepenuh hati Mai... Maafkan Mai atas segala kesilapan dan kekejaman yang Mai
dah lakukan keatas abang dan Tikah. Maafkan juga segala kesilapan yang Mai
bakal lakukan selepas ini... tapi percayalah, apa yang Mai cuba lakukan saat
ini adalah demi kebahagiaan abang dan Tikah sebab Mai yakin jauh disudut hati
abang masih sayangkan Tikah. Mai harap kita berdua boleh berpisah secara aman
tanpa perlu bermasam muka mahu pun berdendam.” Luah Umairah dengan nada yang
rendah dekat pada pendengaran Ifran. Tangan suaminya dicapai dan dicium lembut.
Mungkin ini kali terakhir dia dapat menyentuh dan menyalami suaminya kerana
selepas ini Ifran bakal bergelar abang iparnya sendiri. Umairah sapu mutiara
hangat yang mula membasahi pipi. Biarlah air mata ini terus mengalir untuk masa
ini kerana selepas ini dia perlu kuat dan tegas dengan keputusan yang sudah
dibuat.
Ifran meliarkan pandangannya kearah dapur, kosong dan
bersih sahaja. Langsung tiada tanda-tanda baru lepas digunakan. Ifran
mengerutkan dahinya, perasaan pelik dan aneh mula merantai hatinya. Mai tak
masak ke hari ni? Soal Ifran pada dirinya sendiri. Perutnya yang kebulur
digosok perlahan. Langkah pantas diatur ke bilik Umairah... Entah-entah Umairah
tidak sihat, sebab itu wanita itu tidak memasak. Biasanya jarang Umairah tidak
memasak melainkan dia makan diluar dan biasanya Umairah akan memberitahunya
terlebih dahulu sekiranya tidak memasak demi memudahkannya mencari makanan
sendiri.
“ Mai...”panggil Ifran lembut sambil memulas tombol daun
pintu bilik Umairah. Sekali lagi kerutan terukir didahi Ifran apabila daun
pintu bilik isterinya berkunci. Tidak pernah sepanjang hayat perkahwinannya dan
Umairah, bilik wanita itu dikunci melainkan ketika mereka bergaduh. Dia yakin
Umairah ada didalam bilik kerana dia dapat mendengar sayup-sayup lagu yang
dipasang memenuhi bilik isterinya.
“ Mai... buka pintu ni.” Pinta Ifran dari luar sambil
mengetuk daun pintu bilik isterinya. Ternanti-nanti jawapan mahu pun sahutan
daripada Umairah namun sayang respon yang diterima dari wanita itu hanyalah
kosong.
“ Mai... buka pintu sayang.” Suruh Ifran lagi. Kali ini
dia mengetuk lebih kuat agar Umairah sedar dan tahu kewujudannya saat ini.
Mungkin Umairah sedang berehat kerana terlalu penat atau pun kerana tidak
sihat. Tidak lama selepas itu daun pintu bilik Umairah terbuka dan terjengul
wajah Umairah yang kelihatan bersahaja tanpa perasaan.
“ Mai tak sihat ke?” dengan nada yang cukup risau dan
gelisah Ifran menyoal. Pantas jemarinya menyentuh dahi Umairah untuk
membandingkan perbezaan suhu antara mereka.” Tak panas pon. Detik Ifran didalam
hati. Umairah tolak kasar jemari suaminya, sengaja buat Ifran sakit hati dengan
tingkah lakunya.
“ Mai sihat jer... abang nak apa?” acuh tak acuh Umairah
menyoal. Langsung wajah Ifran dihadapannya saat ini dipandang. Dia lebih rela
menebarkan renungan ditempat lain.
“ kenapa Mai tak masak hari ni? Mai makan dekat luar ke?”
Ifran cuba bersabar dengan sikap Umairah yang nampak lain daripada biasa.
Memang dia sudah perasan tentang sikap Umairah yang agak aneh semenjak dua
menjak ini. Sejak pulang dari kampung halaman gadis itu beberapa hari lalu,
Umairah jelas kelihatan cuba mengelakkan diri darinya. Malah Umairah sudah
tidak mesra seperti dahulu? Adakah dia sudah buat sesuatu yang menyakitkan hati
Umairah tanpa sedar?
“ Mai malas nak masak hari ni... abang kalau lapar
pergilah makan dekat luar, tak pun masak la maggie yang ada dekat dapur tu. Mai
dah makan.” Tingkah Umairah cukup selamba tanpa rasa bersalah. Habis sahaja
menutur barisan ayat itu, daun pintu biliknya ditutup rapat meski pun si suami
masih lagi tegak berdiri. Perasaan Ifran bertambah keliru, dia yakin dan pasti
memang ada yang tidak kena dengan diri Umairah. Wanita itu kelihatan cukup
dingin dengannya semenjak dua menjak ini. Tapi tak apa, untuk sementara waktu
ini dia akan perhatikan dahulu segala ragam Umairah dan akan dicari dimana
kesilapan yang telah dilakukan.
Jam dinding sudah menunjukkan pukul 10 malam. Umairah
enak bersantai diruang tamu sambil menonton cerita yang dia sendiri tidak tahu
judulnya di kaca televisyen. Sekali-sekala terbit keluhan yang tidak
putus-putus dari mulutnya. Hampir setiap minit matanya mengerling pada jam didinding.
“ mana If ni? Pukul berapa baru nak balik?” soal Umairah
pada diri sendiri. Hatinya mula berbaur kerisauan. Bukan apa, selalunya kalau
Ifran pulang lambat jejaka itu akan memberitahunya terlebih dahulu. Tidaklah
dia tertunggu-tunggu. Umairah jeling jam didinding lagi. Makin risau
perasaannya, mula pelbagai andaian tidak elok melayar dibenaknya. Umairah capai
telefon tangan yang diletakkan diatas meja kopi yang terletak diruang tamu,
ditilik telefon tersebut sekiranya Ifran ada menghantar mesej mahu pun membuat
panggilan kepadanya. Namun sayang, sekeping pun mesej mahu panggilan tak
dijawab diterima dari suaminya itu. Perasaan tidak keruan itu buat Umairah bingkas
berdiri lalu berjalan mengukur ruang tamu. Terfikir-fikir diminda sama ada
perlu atau tidak dihubungi suaminya. Umairah bergerak ke biliknya, diambil
tudung segera yang sentiasa bersangkut dibelakang daun pintu lalu disarung ke
kepalanya. Tanpa buang masa, langkah kaki dibuka dan diaturkan ke halaman
rumah. Kerisauan yang melampau membuatkan Umairah mengambil keputusan untuk
menunggu Ifran diluar rumah.
Setelah menutup daun pintu rumahnya, Umairah
segera melabuhkan punggungnya diatas kerusi kayu yang sememangnya tersedia di
laman rumahnya. Tak sampai 2 minit punggungnya panas dikerusi kayu, dia bingkas
berdiri semula memandang di sekitar jalan di kawasan perumahannya itu. Kot-kot
Ifran sudah pulang. Namun jiwanya kembali hampa, langsung tiada tanda-tanda
Ifran bakal tiba tak lama lagi. Umairah kerling jam yang melilit kemas
dipergelangan tangannya. Melihat jam itu terus ingatannya teringatkan kenangan
sewaktu jam berpasangan itu dibeli oleh Ifran 2 minggu yang lepas. Kenangan
yang cukup manis baginya sepanjang tempoh perkahwinannya dan Ifran. Mungkin
cukuplah kenangan ini menjadi penemannya setelah bergelar janda tidak lama
lagi. Dia tahu dia tidak boleh terus menerus pentingkan diri sendiri,
hubungannya dan Ifran perlu ditamatkan dengan kadar segera dan cinta Atikah dan
Ifran patut dipaut kembali.
“ sayang tunggu abang ke?” desis Ifran yang tiba-tiba
muncul disebelah Umairah. Entah bila lelaki itu memandu masuk kereta ke halaman
rumah pun Umairah tidak pasti. Umairah tatap wajah Ifran yang sudah melabuhkan
diri diatas kerusi batu yang disediakan dihalaman rumah. Riak penat yang
terlukis diwajah jejaka itu mendatangkan rasa simpati. Namun, dia tahu inilah
masa yang paling sesuai untuk terus membakar hubungan mereka.
“ tahu pun abang yang Mai tengah tunggu abang... kenapa
abang tak mesej Mai kalau nak balik lambat? Abang ingat Mai tunggul dekat rumah
ni?” bentak Umairah kasar. Sengaja dia mencurah minyak kedalam bara yang sudah
ada didalam hubungannya dan Ifran. Dia yakin lagi pasti, tidak lama lagi pasti
Ifran akan meluat dengan sikapnya sekaligus menceraikannya. Ifran terkedu
dengan amarah Umairah yang tiba-tiba. Matanya menatap dalam-dalam wajah bengis
Umairah.
“ abang minta maaf Mai... telefon abang habis bateri. Tak
sempat nak beritahu Mai yang syarikat abang ada meeting hari ini.” Pujuk Ifran
lembut. Masih cuba bersabar dengan Umairah yang jelas masih bersikap aneh.
Masuk hari ini sudah 5 hari Umairah melancarkan perang dingin kepadanya
sedangkan dia langsung tidak tahu dimana silapnya. Seingatnya, langsung tiada
perbuatan mahu pun kata-kata terakhir yang mengguriskan hati sang isteri.
Tetapi kenapa Umairah melayannya cukup kasar dua tiga menjak ini. Apa yang
Umairah marahkan sebenarnya?
“ ooo... abang meeting sorang-sorang jer ke dekat pejabat
tu? Tak reti nak pinjam telefon orang lain? Mai ni bukan tunggul dalam rumah
ni, Mai pun banyak lagi perkara nak kena buat, nak kena fikir. Abang jangan nak
fikir pasal diri abang sorang jer boleh tak?” Seranah Umairah lagi. Matanya
terjengil memandang kearah Ifran agar lelaki itu nampak amarahnya saat ini
bukan dibuat-buat. Ifran merengus kasar, makin kurang sabarnya melayan karenah
Umairah yang makin pelik semenjak dua menjak ini. Rasanya sudah tiba masanya
dia berbincang dari hati ke hati dengan Umairah. Dia sudah tidak betah melihat
tingkah Umairah yang aneh. Umairah seperti menyembunyikan sesuatu dari
pengetahuannya!
“ Mai... abang tengah penat ni. Boleh tak Mai tolong
faham sikit keadaan abang macam mana? Kan abang dah minta maaf!” Ifran turut
sama melempiaskan amarah. Geram juga hatinya melihat tingkah Umairah yang
sesedap hati memarahinya atas kesilapan yang tidak sebesar mana. Lagi pun
bukankah dia sudah minta maaf dan menerangkan hal yang sebenar.
“ Mai jer yang nak kena faham abang, tapi abang langsung
tak nak faham perasaan Mai.” Tempelak Umairah kurang senang. Matanya langsung
tidak berganjak dari wajah Ifran, cuba melawan pandangan suaminya. Biar lelaki
itu tahu bertapa marahnya dirinya saat ini meskipun semua itu hanyalah lakonan
semata-mata. Dia sengaja cari masalah dengan Ifran, dia sengaja menaikkan darah
Ifran agar lelaki itu membencinya, memandangnya dengan jelik dan menghilangkan
rasa bersalah yang mungkin ada dihati suaminya untuk menceraikannya suatu hari
nanti. Ifran renung lama wajah Umairah yang kelihatan berang, perlahan-lahan
satu keluhan kasar dilepaskan. Dia tahu dengan pergaduhan pasti tidak akan
berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi saat ini. Dia tahu amarah Umairah
kerana kelewatannya bukanlah kemarahan yang sebenar. Dia tahu Umairah
marahkannya atas sebab yang lain, sebab yang dia sendiri tidak tahu.
“ Mai marah abang pasal apa sebenarnya?” suara Ifran mula
mengendur. Riak garang diwajah Umairah masih lagi ada, langsung tidak beransur
hilang. Kini Umairah memandang kearah lain, tidak sudi memandang wajahnya lagi.
“ abang tanya pulak... Mai marah sebab abang balik lambat
dan tak telefon Mai langsung untuk beritahu sepatah dua yang abang akan balik
lewat malam ni.”
“ bukan tu maksud abang... abang nak tahu kenapa Mai
asyik nak marah-marahkan abang dua tiga menjak ni. Mai dingin sangat dengan
abang sejak kita balik kampung baru-baru ni. Sekarang Mai bukan sahaja tak
masak, malah segala pakaian dan keperluan abang langsung Mai tak ambil peduli.
Mai jauh berbeza dengan Mai yang sebelum ni. Kenapa ni Mai? Apa yang Mai nak
marah dengan abang sebenarnya?” panjang lebar soalan yang sudah lama berlegar
difikiran Ifran diluahkan. Ifran tidak peduli, malam ini segala masalah
antaranya dan Umairah perlu diselesaikan. Dia nak tahu apa yang sedang
mengganggu benak Umairah.
“ sejak bila pulak tugas isteri kena masak, basuh baju
dan gosok baju semua tu? Mai isteri abang bukannya orang gaji!”tingkah Umairah
sinis. Langsung wajah Ifran dihadapannya saat ini dipandang. Dia lebih rela
berpeluk tubuh dan memandang kearah lain. Dirinya tidak kuat untuk terus
menerus mencari pasal dengan Ifran.
“ Jadi Mai marah abang sebab kena buat semua tu? Mai rasa
diri Mai macam orang gaji? Macam tu?” Ifran mengembalikan lebih banyak
persoalan kepada Umairah. Untung sambut timbul segala salah faham yang berlaku
antara mereka berdua dapat diselesaikan dengan kadar segera. Umairah diam tak
berkutik. Mencari-cari jawapan yang lebih pedas untuk sakitkan hati Ifran.
“ kalau Mai tak suka semua tu kenapa tak bincang dengan abang...
abang boleh faham, dan abang boleh tolong kalau Mai nak suruh abang buat
apa-apa. Tapi janganlah pendam perasaan sakit hati Mai sampai hubungan kita
jadi hambar macam ni. Lepas ni abang janji, semua kerja rumah kita akan bahagi.
Kita buat sama rata!” janji Ifran sekaligus cuba melembutkan hati isterinya.
Tersedar kekhilafannya sendiri yang membiarkan Umairah melakukan segala urusan
rumah tangga tanpa bantuannya sedangkan mereka berdua sama-sama sibuk bekerja.
Umairah diam lagi. Tidak tahu bagaimana caranya untuk terus menyakitkan hati
Ifran seterusnya membuatkan jejaka itu membencinya.
“ sekarang apa lagi yang Mai tak puas hati dengan abang?
Mai luahkan jer semuanya agar abang boleh faham dan baiki mana yang patut.”
Minta Ifran tatkala melihat tiada riak gembira terukir diwajah Umairah meski
pun dia baru sahaja selesai mengayam janji. Pada amatannya, bebanan menguruskan
rumah tangga bukanlah salah satu faktor yang membuatkan Umairah sakit hati
dengannya. Kalau betul Umairah marah kerana hal itu, pasti wanita itu sudah
terpujuk dengan janji yang baru dilafazkan sebentar tadi.
“ Mai dah bosan hidup dengan abang... Mai nak abang
ceraikan Mai.” Jawapan tanpa perasaan dari Umairah bagaikan halilintar membelah
jantung Ifran. Terpana dirinya sekejap dengan kata-kata Umairah yang terlalu
berat untuk diterima akalnya.
“ Umairah!” teriak Ifran tegas. Menjengil matanya melihat
reaksi bersahaja isterinya yang langsung rasa tidak bersalah setelah menuturkan
kata-kata yang tidak disukainya.
“ tolong jangan sebut perkataan tak elok macam tu...
abang tak nampak pon apa masalah rumah tangga kita sekarang ni sampai Mai perlu
sebut perkataan macam tu.” Keras suara Ifran sekali lagi memarahi Umairah agar
isterinya itu tidak mengulangi kesilapan itu lagi. Matanya membulat memandang
wajah santai Umairah yang langsung tidak terkesan dengan amarahnya.
“ suka hati abanglah nak kata apa pon... tapi Mai tetap
nakkan perpisahan antara kita. Mai dah penat hidup dengan abang.” Sela Umairah
tanpa rasa gentar. Kali ini ditatap anak mata Ifran dengan riak paling yakin.
Sebolehnya dia mahu Ifran nampak dirinya serius dengan keinginan yang
disampaikan saat ini. Ifran terkesima. Makin risau perasaannya saat ini apabila
melihat kesungguhan Umairah yang inginkan perpisahan.
“ Mai... apa yang abang dah buat sampai Mai cakap macam
ni?” tanya Ifran masih belum mengerti. Apa yang sudah dilakukan pada Umairah
sampai wanita itu berubah sepenuhnya. Bukankah baru beberapa hari lalu Umairah
mengakui perasaannya cintanya yang tidak berbelah bagi tetapi kenapa waktu ini
Umairah berubah mendadak. Sudah hilangkah perasaan cinta Umairah padanya?
“ abang tak cintakan Mai... abang cintakan Tikahkan.”
Luah Umairah cukup yakin. Air muka Ifran berubah mendadak. Tidak senang dengan
tuduhan yang Umairah lemparkan padanya.
“ Mai merepek apa ni... kan abang dah cakap...”
“ tak... abang masih cintakan dia. Mai yakin, jauh
disudut hati abang masih ada nama dia. Mungkin abang keliru dengan perasaan
abang pada Mai.” Potong Umairah sekaligus mematikan bicara Ifran.
“ Mai tak percayakan cinta abang ke?” lirih sahaja suara
Ifran buat Umairah terdiam memikir sejenak. Timbul rasa sebak yang mula
menguasai diri. Namun kali ini dia perlu kuat, apa yang dilakukan saat ini
adalah untuk Ifran jua. Dia yakin lagi pasti perasaan sayang pasti masih ada
dihati Ifran terhadap Atikah. Cuma dia sahaja yang menjadi penghalang cinta
antara kedua pasangan itu. Mungkin cinta Ifran beralih arah kepadanya kerana
kecewa dengan penolakkan Atikah yang tidak mahu jadi orang ketiga dalam perkahwinannya
dan Ifran.
“ untuk pengetahuan abang Mai kahwin dengan abang sebab
Mai bencikan Tikah. Mai rampas abang dari Tikah sebab Mai sakit hati kerana dia
dah rampas kasih sayang abah dari Mai, ibu dia rampas kasih abah dari ibu Mai.
Mai nak dia rasa bagaimana perasaan sakitnya apabila kasih orang yang disayang
dirampas. Tapi sekarang Mai dah sedar, apa yang berlaku bukan salah Tikah malah
Tikah memang berhak dengan apa yang diambil dari Mai. Mai menyesal sekarang
sebab sakitkan hati dia, Mai menyesal sebab dah rampas abang dari dia dan
sekarang Mai nak kita kembali seperti sediakala seperti mana disaat abang dan
Tikah masih bercinta dan Mai hanyalah kawan baik abang dan Tikah.” Jelas
Umairah dengan nada yang rendah. Saat ini matanya tidak lagi merenung bening
mata Ifran yang kelihatan terkedu dengan bicaranya. Umairah tarik nafas
dalam-dalam, dia memohon pada Allah agar diberi kekuatan dalam diri untuk menempuhi
saat perpisahan antaranya dan Ifran yang semakin menjemput. Dia juga mahu kuat
untuk bertegas dalam keputusan yang sudah dibuat.
“ jadi sekarang bila Mai dah menyesal dengan kesilapan
Mai yang lalu, Mai nak abang kembali pada Tikah, macam tu?” soal Ifran inginkan
kepastian. Umairah angguk kepalanya. Langsung matanya tidak menyapa sinar mata
Ifran. Hatinya sudah tidak betah, malah entah sampai bila dia boleh bertahan
dihadapan Ifran.
“ abang ni tak ada nilai ke dihati Mai? Bila Mai bencikan
Tikah, Mai rampas abang dari dia. Bila Mai dah menyesal, Mai nak pulangkan
abang semula pada Tikah? Kenapa semua keputusan yang Mai buat mesti berkait dengan
Tikah? Mai langsung tak peduli perasaan abang yang dah macam barang boleh di
pass sana sini.” Desis Ifran dengan nada yang cukup terkilan. Tergamaknya
Umairah buat dia macam ni, apa Umairah langsung tiada hati padanya? Umairah
renung wajah Ifran yang kelat dihadapannya. Kolam matanya sudah mula dipenuhi
air hangat.
“ Mai buat semua ni untuk abang juga. Mai dah seksa hati
abang dengan memisahkan abang dan Tikah. Sekarang, abang dan dia boleh bersama
kembali, bukankah itu yang abang nak selama ini. Mai tahu dalam hati abang
masih ada nama Tikah. Mai tahu abang masih sayangkan dia. Cinta abang pada dia
terlalu dalam, hampir 3 tahun abang pertahankan cinta abang pada dia sedangkan
abang terima Mai hanya kerana kecewa dengan penolakkan cinta Atikah. Kalau
abang ceraikan Mai, Tikah pasti akan terima abang semula sebab abang bukan
suami orang, abang bukan suami Mai lagi.”
“ Jadi Mai memang tak pernah percayakan cinta abang pada
Mai la?” kata-kata dari Umairah dibalas dengan persoalan. Suasana antara mereka
sunyi untuk seketika, Umairah diam berfikir, dia sendiri tidak tahu apa yang
perlu dijawab dengan soalan Ifran. Ifran pandang Umairah lama, dia masih tidak
sangka nama Atikah masih lagi menjadi peneraju utama dalam perkahwinannya dan
Umairah. Jelas lagi nyata Umairah hanya menerima cintanya sebelum ini kerana
Atikah dan apabila wanita itu mula menyesal dengan kesilapannya terus cintanya
juga ditolak.
“ satu je abang nak tanya... apa perasaan Mai yang
sebenarnya terhadap abang? Kalau Tikah tak wujud diantara kita, apa sebenarnya
yang Mai rasa pada abang?” tambah Ifran sekali lagi. Umairah telan liur satu
persatu, lama matanya berbalas pandang dengan mata Ifran. Timbul rasa sayang
yang tak berbelah bagi pada suaminya itu namun semua itu sudah tidak penting
lagi. Dia tak mahu terus menerus menjadi manusia yang mementingkan diri
sendiri. Ifran pasti lebih berbahagia bersama Atikah kerana wanita itulah
dicintai suaminya selama ini. Bukan dia! Dia hanyalah suatu persinggahan disaat
hati jejaka itu kecewa, tidak lebih dari itu. Melihat kebisuan Umairah buat
hati Ifran hancur luluh, tanpa tunggu lama langkah longlai diatur menuju ke
pintu rumahnya. Dia sudah tidak mampu untuk terus mengadap wajah Umairah yang
cukup kejam mempermainkan perasaannya selama ini.